Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Tiger Woods bergelar juara semula

Menangi Masters Amerika sekali gus akhiri tempoh hitam 11 tahun yang dibayangi skandal rumah tangga dan kecederaan yang mengancam kerjayanya
Apr 16, 2019 | 05:30 AM



PEMAIN yang menyemarak golf selepas memenangi gelaran Masters pertama pada 1997, kini bergelar juara kejohanan Major sekali lagi.



Tiger Woods memenangi Masters Amerika Syarikat semalam - gelaran Major ke-15 miliknya - mengakhiri tempoh hitam 11 tahun yang dibayangi skandal rumah tangga dan kecederaan yang mengancam bukan sahaja kerjaya, bahkan hidupnya.



Kemenangan Woods di Augusta 22 tahun lalu memperluas pangkalan penyokong golf sedunia.



Imej Woods, atlit Amerika yang memakai kemeja polo-T merah, memberi inspirasi bagi generasi baru pemain golf dan memenanginya kontrak tajaan bernilai jutaan dolar.



Pada usia 25 tahun, Woods menjadi lelaki pertama menyandang gelaran Terbuka Amerika, Terbuka British, Kejohanan PGA dan kejohanan Masters pada masa yang sama - pencapaian yang digelar 'Tiger Slam' selepas beliau melengkapkan koleksi kejuaraan di Augusta pada 2001.



Pada 2002, beliau menjejak langkah Nick Faldo dan Jack Nicklaus untuk memenangi dua kejohanan Masters bagi dua tahun berturut-turut.



Pada 2008, beliau mengatasi kecederaan pinggang dan tulang belakang untuk menewaskan Rocco Mediate dan memenangi Terbuka Amerika - kejohanan Major ke-14 bagi Woods.



Ketika itu, tanggapan umum adalah Woods tidak bermasalah memecah rekod 18 Major yang dimenangi Nicklaus.



Namun pada November 2009, kemalangan jalan raya di luar rumahnya di Florida mendedahkan perbuatannya bermain 'kayu tiga' - perbuatan yang meruntuhkan rumah tangganya.



Dengan penaja juga menarik diri, Woods memutuskan untuk berehat bagi tempoh yang tidak ditentukan dan hanya kembali ke padang golf pada 2010.



Namun, beliau perlu menanti sehingga 2013 untuk mendaki ke puncak ranking dunia sekali lagi.



Malangnya, takhta yang direbutnya itu tidak berkekalan.



Selang setahun, Woods mengalami masalah pinggang yang memaksanya berehat bagi tempoh lanjut.



"Saya dalam keraguan, berhubung apa yang berlaku setahun dua yang lalu," kata Woods, apabila ditanya sama ada beliau terfikir dapat memenangi kejohanan Major atau menyambung kerjayanya.



"Saya sukar berjalan, tidak boleh duduk. Saya tidak boleh baring.



"Sebenarnya, saya tidak mampu melakukan apa-apa," kata Woods.



Pada April 2017, Woods menjalani pembedahan untuk mencantum semula sebahagian tulang belakangnya yang terputus - langkah terdesak untuk pulih.



Namun, selang sebulan, beliau menjadi bahan akhbar lagi, selepas ditangkap polis kerana tertidur semasa memandu.



Woods telah menggunakan ubat yang terlampau kuat untuk menahan sakit.



Namun, pembedahan itu ternyata berjaya dan Woods berkata 'ia memberinya peluang untuk menjalani hidup biasa'.



"Saya bertuah kerana diberi satu lagi peluang untuk melakukan perkara yang saya cintai," kata Woods.



"Lagi penting lagi, saya dapat melibatkan diri dalam kehidupan anak saya dengan cara yang tidak saya mampui sejak beberapa tahun lalu.



"Kini, saya boleh bermain dengan mereka, bersukan bersama. Ia antara perkara yang paling saya rindui," ujar Woods lagi.



Rupa-rupanya, golf juga merindui Woods.



Di PGA Tour 2018, kehadiran Woods sebagai peserta menambah jumlah penonton di television dan mengundang perhatian media.



Beliau akhirnya memenangi kejohanan PGA Tour Amerika September lalu.



Namun, kemenangan yang dinanti-nantikan - di kejohanan Major - muncul semalam.



Dan Woods berteriak gembira dan menumbuk udara selepas membuat pukulan putt kemenangan di Augusta.



Laungan peminat "Tiger, Tiger, Tiger' juga memenuhi ruang angkasa. - AFP.




"Saya percaya, bahawa jika saya berupaya pulih, saya masih mempunyai tangan (keupayaan) untuk memenangi Major.

Tubuh saya tidak seperti dulu lagi, tetapi tangan saya masih baik (untuk bermain golf)."

- Tiger Woods, menjawab soalan sama ada beliau pernah sangsi boleh menyambung kerjaya dan memenangi kejohanan utama selepas mengalami kecederaan serius.




JATUH BANGUN TIGER WOODS



Ogos 1996



Jadi profesional dan dinamakan sebagai pendatang baru PGA terbaik.



Apr 1997



Menang gelaran Major pertama di Masters Amerika Syarikat. Jadi pemain nombor satu dunia pada Jun.



Jun 2008



Menang Terbuka Amerika, gelaran Major ke-14. Jalani pembedahan lutut dan berehat bagi baki musim.



Nov 2009



Kisah Woods 'main kayu tiga' terpampang di media. Lanjutkan tempoh rehat tanpa tetapkan tarikh kembali beraksi.



Ogos 2013



Menang gelaran PGA Tour ke-79 di Undangan WGC-Bridgestone.



Mac 2014



Cedera semasa bertanding di Honda Classic dan jalani pembedahan pinggang.



Mei 2017



Ditangkap polis kerana memandu dalam keadaan mabuk.



Apr 2017



Jalani satu lagi pembedahan untuk rawat pinggang dan kaki.



23 Sept 2018



Menang Kejohanan Tour - gelaran pertama dalam lebih lima tahun. Loncat ke tangga ke-13 di ranking dunia.



14 April 2019



Menang Masters Amerika, Major pertama sejak 2008. Woods kini telah memenangi 15 kejuaraan Major, kurang tiga berbanding rekod Jack Niklaus.



Sumber: AFP




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >