PERDANA Menteri Lee Hsien Loong kongsi rasa bangga dan merakam penghargaan buat srikandi renang para Singapura, Yip Pin Xiu, yang mempertahankan pingat emasnya dalam acara kuak lentang 50 meter S2 wanita di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Khamis (2 September).
Ini merupakan pingat emas Yip yang kedua di acara sukan gah itu. Minggu lalu, perenang berusia 29 tahun itu meraih pingat emas dalam acara kuak lentang 100 meter S2 wanita.
"Ini adalah Sukan Paralimpik keempat Yip dan dengan kemenangan terkininya, beliau kini mempunyai lima pingat emas Paralimpik dalam genggaman termasuk satu yang diraihnya minggu lalu. Singapura bangga dengan pencapaian anda, Pin Xiu!" tulis Encik Lee di Facebook.
Menurutnya, kempen bagi Team Singapore pada acara sukan tahun ini hampir tamat.
"Perenang Toh Wei Soong akan bertanding dalam acara kuak kupu-kupu 50 meter S7 lelaki esok. Kami mengucapkan selamat maju jaya buatnya!" tambah Encik Lee.
Yip, 29 tahun, mempertahankan pingat emasnya yang diraih di Sukan Paralimpik Rio pada 2016 dalam masa 1 minit 2.04 saat.
Di Rio 2016, Yip merupakan johan dalam masa rekod dunia 1:00.33.
Melangkah ke peringkat akhir, Yip muncul perenang terpantas daripada sembilan pesaing dalam pusingan saringan, menca tat masa 1:03.62 pada awal pagi Khamis.
Minggu lalu, Yip mempertahankan takhtanya dalam acara final kuak lentang 100 meter S2 wanita. Beliau meraih pingat emas dalam masa 2:16.61, di depan Tamada (2:26.18) dan warga Mexico Fabiola Ramirez (2:36.54).
Beliau juga memegang rekod dunia 2:07.09 bagi acara ini, yang dicatat di Sukan Rio 2016.
Dalam Sukan Paralimpik kali ini, Singapura diwakili 10 atlet para dalam enam cabang sukan – angkat berat, atletik, berbasikal, ekuestrian, memanah dan renang.
Sukan Paralimpik Tokyo, yang berlangsung sejak 24 Ogos lalu, akan menutup tirainya pada Ahad (5 September).