Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

PREVIU ARSENAL LWN MAN UNITED

Unggul lawan form terbaik

Arsenal turun padang dengan hanya satu kekalahan dalam EPL... tapi pada United
Jan 22, 2023 | 05:30 AM



MAHKOTA Liga Perdana England (EPL) milik Arsenal musim ini. Demikian menurut beberapa pemerhati bola sepak, walapun perlawanan separuh kedua musim ini belum berlangsung.



Megah bertenggek di puncak liga dengan kelebihan lima mata ke atas pencabar terdekatnya Manchester City, anak didik Mikel Arteta akan tetap berada di atas seandainya anak buah Erik ten Hag merampas tiga mata daripada mereka di Stadium Emirates malam ini.



Namun, sudah tentu Arteta tidak mahu jurang antara Arsenal dengan United mengecut. Itulah matlamat ten Hag. Arteta mahu kelebihan lapan mata ke atas United yang dimilikinya pada masa ini menjadi semakin besar.



Yang menarik, pemenang pertarungan dua pesaing utama kejuaraan liga ini sukar diramal.



Arteta dan Arsenal menjadi kayu ukur keunggulan dalam EPL musim ini, dengan 15 kemenangan - dan hanya satu kekalahan - daripada 18 perlawanan.



Ia telah menjaringkan 42 gol - paling banyak - dan melepaskan 14 gol, paling sedikit selepas Newcastle United.



Tetapi, Manchester United adalah pasukan yang mempunyai form terbaik dalam EPL menjelang perlawanan ini, dan penyerang utamanya Marcus Rashford menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam tujuh perlawanan yang dimenangi United menyusuli Piala Dunia.



ten Hag telah berjaya membentuk sebuah pasukan yang enggan mengaku kalah dalam masa yang singkat, dengan pemergian bintang Cristiano Ronaldo - yang dilaporkan mempunyai pengaruh toksik dalam bilik rehat - menjadi mangkin pengkukuhan itu.



Bagaimanapun, United perlu bermain melebihi form mereka itu untuk menewaskan Arsenal, bak kata bekas kapten England Gary Lineker, yang kini pemerhati bola sepak bersama BBC, Arsenal musim ini adalah bakal juara sebenar EPL.



"Arsenal begitu hebat. Ia pastinya akan memenangi EPL tahun ini," kata Lineker, sejurus selepas bekas pasukannya Tottenham Hotspur tewas kepada Arsenal.



SUKAR DIRAMAL



Pemain United akan melangkah masuk ke dalam padang dengan penuh kesedaran mereka bakal bertarung dengan pasukan yang tewas hanya sekali setakat ini.



Tetapi yang menundukkan "bakal juara sebenar EPL" itu ialah United - 3-1 di Old Trafford September lalu.



Pada perlawanan itu, Antony membuka tirai jaringan sebelum Rashford menambah dua gol untuk United mencuri tiga mata daripada Arsenal.



Keyakinan diri pemain United juga kini begitu tinggi, terutama selepas ia bangkit setelah ketinggalan untuk menewaskan juara bertahan Manchester City dalam derby minggu lalu.



Kemenangan itu bermakna United merapatkan jurangnya dengan City kepada satu mata, dan menyusuli itu, mereka melangkau City dengan kemenangan ke atas Crystal Palace.



Pemain tunggak United, Bruno Fernandes, berkata beliau tidak terkejut akan prestasi United mendaki tangga liga secara konsisten selepas permulaan musim yang mengecewakan.



"Semua pemain berasa kami telah mengatasi satu rintangan mental selepas kami menewaskan Liverpool di Old Trafford," kata Fernandes.



"Kekalahan kepada City di Stadium Etihad betul-betul mengecewakan. Tapi kami telah membuktikan kami boleh bangkit dan meraih keputusan baik untuk diri kami.



"Namun, kami enggan melihat terlalu jauh ke hadapan, dan hanya boleh membuat persiapan dari satu perlawanan ke perlawanan selanjutnya."



PERLAWANAN PENENTU JUARA



Arteta enggan menjawab soalan wartawan yang mencadangkan perlawanan menentang United ini penting kerana ia boleh menentukan hala tuju trofi EPH pada akhir musim.



ten Hag juga enggan mengulas mengenai perkara itu selepas perlawanan menentang Palace pada pertengahan minggu.



Namun musim ini adalah peluang terbaik bagi kededuanya - United atau Arsenal - merampas mahkota liga yang sejak beberapa musim lalu dibolot City dan Liverpool.



Walaupun City kini memiliki senjata baru dalam bentuk 'jentera gol' Erling Haaland, ia gagal memenangi beberapa perlawanan yang seharusnya dimenanginya dan akibatnya, ia kini terpaksa asyik mengejar Arsenal.



Liverpool pula sedang mengharungi krisis mini disebabkan kurang keyakinan diri dan kurang keupayaan menggantikan pemain yang telah meninggalkan kelab itu atau tidak dapat bermain dek cedera.



Mungkin perlawanan antara Arsenal dan United ini juga penting kerana ia membuka laluan bagi mengembalikan era pertarungan hebat antara mereka semasa masing-masing dipimpin Arsene Wenger dan Alex Ferguson.



Mungkin, di Stadium Emirates malam ini, satu lembaran persaingan kuasa baru, atau kebangkitan kuasa lama, dalam EPL akan berputik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >