KECEDERAAN pemain utamanya tidak sedikit pun membuat Ole Gunnar Solksjaer tampak goyah, malah beliau menggunakan krisis ini bagi memperkenalkan pemain muda anak didik akademi kelabnya dalam kesebelasan utama.
Scott McTominay dan Andreas Pereira antara pemain yang mendapat manfaat daripada kecederaan yang melanda Nemanja Matic, Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard. Sementara itu, Tahith Chong, Mason Greenwood dan Angel Gomes mengisi tempat barisan simpanan Manchester United, malah Chong dan Greenwoord sempat bermain pada 10 minit hingga 20 minit terakhir termasuk 9 minit masa kecederaan di Parc Des Princes, Paris.
Bukan itu sahaja, Romelu Lukaku turut diberi kepercayaan oleh Ole sebagai penyerang utama akibat kecederaan Anthony Martial.
Kebijaksanaan Ole dalam menangani krisis kecederaan pasukannya dan terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga ini pasti semakin mencerahkan peluangnya sebagai pilihan utama dalam mengisi jawatan pengurus tetap Manchester United.
Malah, beliau juga membuktikan kemampuan taktikalnya ketika menentang Liverpool di Old Trafford, dengan beliau kehilangan bukan satu malah tiga pemain utamanya akibat kecederaan dalam separuh masa utama, tetapi tetap mendapat keputusan yang diharapkan. Ini pasti buka mata keluarga Glazer, pemilik pasukan Manchester United dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan iaitu Ed Woodward.
Dengan cabaran seterusnya ialah pasukan Arsenal yang kini berada satu mata di belakang Manchester United, Ole pasti bermotivasi terus mengekalkan rekod tanpa kalahnya dengan sekurang-kurangnya mencuri satu mata berharga di kota London, atau tiga mata jika segalanya mengikut perancangan.
Kemenangan di Emirates sangat penting bagi menjarakkan pasukannya daripada pencabar terdekatnya iaitu Arsenal yang kini di tangga kelima, dan Chelsea yang berada di tangga keenam, namun hanya berada dua mata di belakang dengan kelebihan satu permainan dalam tangan.
STRATEGI, FORMASI & KESEBELASAN UTAMA
Berdasarkan strategi dalam beberapa perlawanan Manchester United yang terdahulu, Ole dijangka menggunakan formasi 4-3-3, namun rupanya jika diamati dengan teliti, beliau sebenarnya menggunakan formasi 4-4-2 dalam bentuk permata. Ini diakui sendiri oleh beberapa penganalisis bola sepak antarabangsa lain.
Ini bermakna beliau menggunakan empat pemain tengah, dengan seorang di hadapan pertahanan tengah, manakala dua di bahagian tengah padang dan seorang lagi di belakang dua penyerang kembar.
Jika formasi ini digunakan pada perlawanan menentang Arsenal kelak, McTominay dijangka kekal di posisi pertahanan defensif, manakala Andreas Pereira bermain di belakang dua pemain penyerang mereka iaitu Romelu Lukaku dan Marcus Rashford. Sementara itu, Paul Pogba dan Fred akan bergandingan sebagai pemain tengah 'box to box'.
Kedua-duanya akan saling bertukar ganti naik ke atas membantu serangan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, tunggak pertahanan hampir pasti diterajui oleh Victor Lindelof dan Chris Smalling sebagai bek tengah. Smalling, khususnya, semakin mendapat kepercayaan Ole sejak akhir-akhir ini dalam perlawanan besar. Barisan ini dijangka disempurnakan oleh Ashley Young dan Luke Shaw atau Diogo Dalot/Eric Bailly.
Ole kini semakin bijak dalam menggunakan sistem giliran buat pasukannya, kemahiran yang mungkin diperolehi daripada mentornya, Sir Alex Ferguson. Siapa sahaja yang diturunkan kelihatan sangat dahaga bagi menunjukkan persembahan terbaik mereka. Beliau juga kelihatan sangat percaya kepada pemainnya dan tidak ragu-ragu memilih pemain muda seperti Pereira dalam perlawanan besar.
Sebagai balasannya, pemainnya memberikan sepenuh tenaga demi Ole dan mengikut segala arahan pengurus mereka. Jika ini berlaku, boleh dijangkakan sekali lagi mereka mengekalkan rekod tanpa kalah, dan tidak mustahil pulang dengan membawa mata penuh.
PEMAIN YANG PERLU DIBERIKAN PERHATIAN - Romelu Lukaku
Dengan 12 gol liga setakat ini, Romelu Lukaku merupakan penjaring terbanyak Manchester United, walaupun hanya memulakan permainan sebanyak 16 kali sahaja daripada keseluruhan 29 perlawanan liga musim ini.
Beliau juga merupakan pemain paling 'form' dalam pasukan Manchester United ketika ini dengan 6 gol jaringannya diperolehi pada tiga perlawanan terakhirnya termasuk 2 gol beliau ketika membantu membenamkan PSG di Paris pada Khamis pagi lalu dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Tidak hairanlah beliau kini sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama, selepas hanya muncul sebagai pemain sampingan sahaja pada awal pengurusan Ole. Namun, dengan kecederaan pemain hadapan Manchester United seperti Anthony Martial dan Jesse Lingard telah membuka peluang ini, dan Lukaku menyahut kesempatan ini dengan tangan terbuka dan tidak pandang belakang lagi.
Walaupun kini beliau semakin gempal dan berat, Lukaku menggunakan kekuatan fizikalnya ini sebagai satu kelebihan bagi mengucar-kacirkan pertahanan lawan. Namun, sebenarnya faktor utama di sebalik prestasi cemerlang ini, Lukaku kini memperolehi semula keyakinan dalam menyudahkan peluang jaringan yang diperolehi. Sebagai penyerang, keyakinan merupakan faktor yang paling penting dalam menjaringkan gol.
Jika Lukaku terus mengekalkan purata 2 jaringan gol yang diperolehi pada tiga perlawanan terakhir ini ke kota London pula, maka usah terkejut jika Manchester United mencatatkan 'double' ke atas Arsenal musim ini di Emirates, selepas menang pada Januari lepas pada pusingan keempat Piala FA.