LONDON: Pengurus Manchester United, mengakui bahawa beliau berminat membawa balik Cristiano Ronaldo ke Old Trafford - enam tahun selepas 'superstar' Portugal itu berpindah ke Real Madrid.
Dipetik oleh beberapa akhbar British hari ini (22 November), Van Gaal berkata:
"Kami sedang meneliti beberapa pemain, bukan hanya Ronaldo. Tetapi pemain-pemain ini memang sukar didapatkan.
"Mengenai Ronaldo, perlulah tunggu dan berharap tetapi tiada jurulatih di dunia ini yang tidak gemarkan beliau. Beliau beraksi di sayap... tangkas dengan bola dan (kerap) menjaringkan gol."
Ronaldo berpindah ke Sepanyol dengan rekod bayaran dunia ketika itu - £80 juta ($172 juta) - tetapi beliau akan mencecah usia 31 tahun pada Februari depan dan kelihatan kecewa dengan Real yang mengalami kekalahan memalukan 0-4 kepada musuh tradisi Barcelona dalam pertarungan La Liga semalam (21 November).
Kehadiran semula Ronaldo di Old Trafford tentunya akan menyemarakkan perjuangan United yang kerap dibidas kerana permainan yang berhati-hati dan membosankan musim ini.
United melompat ke tangga teratas liga buat sementara - sebelum digantikan Leicester - menyusuli kemenangan 2-1 ke atas Watford tetapi Van Gaal akur prestasi pasukannya jauh daripada memuaskan.