Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

FOKUS ATLET

Varane ibarat Rolls-Royce yang dapat perkukuh benteng MU

Aug 10, 2021 | 05:30 AM



MANCHESTER (England): Pemindahan Raphael Varane dari Real Madrid ke Manchester United telah mendapat banyak perhatian.



Ramai tidak menjangka bahawa pemain berkualiti seperti Varane dapat diperolehi dengan harga begitu berpatutan - £34 juta ($64 juta) - sehingga ada yang menganggap pemain pertahanan itu seperti jenama kereta mewah Rolls-Royce.



Beliau akan menyertai rakan sepasukan baru di Old Trafford, Jadon Sancho, yang ditandatangani dari Borussia Dortmund dengan harga £73 juta, serta pemain yang didapatkan secara percuma, Tom Heaton, sedang pengurus pasukan Ole Gunnar Solskjaer membangunkan satu pasukan yang mampu memperbaiki kedudukan kedua mereka dalam saingan Liga Perdana England (EPL) musim lalu.



Jika pemeriksaan kesihatan ke atasnya mendapat kelulusan dan semua terma peribadi dipersetujui, pembelian Varane bermakna United hampir membelanjakan £400 juta untuk mendapatkan pemain baru sejak Solskjaer dilantik pada Mac 2019.



Jumlah tersebut melebihi perbelanjaan yang dibuat Manchester City (£298 juta), Chelsea (£262 juta), Tottenham (£255 juta) Arsenal (£243 juta) dan Liverpool (£119 juta) dalam tempoh yang sama, menurut laman Transfermarkt.



Namun, mampukah Varane membantu juara EPL sebanyak 13 kali itu merapatkan jurang dan mencabar musuh terdekat, City, bagi takhta musim baru nanti?



Adakah United kini boleh dianggap sebagai pencabar utama piala EPL sedang mereka menyasarkan untuk mengakhiri penantian lapan tahun untuk menjadi juara liga sekali lagi?



'BENTENG AKAN BANTU MENANGI PIALA'



Sir Alex Ferguson pernah berkata: "Jentera serangan membantu anda memenangi perlawanan, tetapi benteng pertahanan akan membantu anda menjulang kejuaraan."



Kebanyakan juara EPL dibina dengan asas benteng pertahanan yang kukuh, dan seperti yang dapat dibuktikan oleh Liverpool dan City, menandatangani pemain bek tengah yang tepat dapat meningkatkan peluang kejayaan mereka.



Pada musim 2016-17, setahun sebelum Liverpool mendapatkan Virgil van Dijk, gawang pasukan 'Reds' itu telah dibolosi sebanyak 42 kali dalam 38 perlawanan liga. Selepas beraksi dalam musim penuhnya, pemain Belanda itu telah membantu mengurangkan jurang itu kepada 22 gol.



Selepas menamatkan musim 2017-18 di tempat kedua, Liverpool dinobat juara pada musim seterusnya buat kali pertama sejak 30 tahun.



Meskipun kesan Ruben Dias tidak begitu ketara berbanding Van Dijk, beliau telah menjalin persefahaman hebat dengan rakan sepasukan John Stones hingga membantu City menjulang piala musim lalu.



Dengan adanya Dias dalam kesebelasan utama, pasukan kendalian Pep Guardiola berjaya memenangi 38 daripada 50 perlawanan mereka.



Kehadiran Dias juga menyaksikan City mencatat 25 perlawanan tanpa dibolosi gol, sekali gus membantu mereka menjulang kejuaraan EPL kelima, Piala Carabao keempat dan melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim lalu.



Justeru, dengan mendapatkan tenaga dan pengalaman Varane, Solskjaer berharap pemain itu dapat membantu mengubah nasib pasukannya.



Pemain tengah berusia 28 tahun itu dijangka digandingkan dengan Harry Maguire sebagai dua pemain pertahanan utama United.



Bekas pemain tengah Everton, Don Hutchinson, memberitahu siaran BBC Radio Live's Football Daily:



"United beruntung dapat menandatangani pemain hebat itu dengan harga yang murah. Beliau pemain yang pernah memenangi banyak piala dan akan ke United sebagai seorang pemain lengkap. Beliau juga merupakan seorang pemain bek tengah yang paling pantas.



"Anda dapat membayangkan gandingannya dengan Harry Maguire akan menjadi begitu mantap.



"Sebelum ini, mungkin ramai yang mempertikaikan pemain yang dibeli United, namun kini dengan adanya Varane dan Sancho, ia menunjukkan keinginan sebenar pasukan itu."



APA YANG DAPAT VARANE BERIKAN PADA UNITED?



Jika dibandingkan dengan statistik musim lalu, Varane merupakan satu peningkatan daripada Victor Lindelof dan Eric Bailly dan pemain itu membawa bersamanya pengalaman dan kemahiran yang lebih baik berbanding kededua pemain tersebut.



Kekuatannya menanduk keluar bola dari kotak sendiri dan ketangkasannya akan menjadi aset penting bagi benteng pertahanan United.



Dengan adanya pemain antarabangsa Perancis itu, Solskjaer kini boleh mengubah taktiknya dan melakukan serangan yang bermula daripada pertahanan.



Juara Piala Dunia dengan pasukan Perancis pada 2018, Varane mencatatkan jumlah terkaman atau tackle dan kejayaan menyekat serangan lawan yang sama seperti Maguire dan United semestinya berharap kedua-dua pemain itu dapat melengkapkan antara satu sama lain.



'UNITED KELIHATAN SEBAGAI PENCABAR TAKHTA UTAMA'



Solskjaer belum pernah memenangi sebarang trofi sejak mengambil alih pada Disember 2018, dengan kekalahan di tangan Villareal dalam saingan Liga Europa musim lalu melanjutkan lagi penantian tersebut.



Namun, dengan adanya Varane dan Sanco, bekas pemain Everton Leon Osman percaya pasukan United kini tidak boleh dipandang remeh.



Berkongsi di podcast Football Daily, beliau berkata: "Sebelum ini kita melihat pasukan United dan berkata mereka hanya perlukan dua pemain lagi - seorang pemain bek tengah dan seorang pemain sayap kanan.



"Dan mereka telah mendapatkan dua pemain itu, seperti yang akan dilakukan sebuah kelab hebat. Kini mereka benar-benar kelihatan sebagai pencabar utama liga musim depan.



"Masalah yang mereka hadapi sekarang adalah Chelsea, Manchester City dan Liverpool juga mempunyai skuad yang hebat.



"Jadi apakah saya rasa United mampu menjadi juara? Tentunya tidak. Tetapi anda hanya boleh mengharapkan sesebuah pasukan itu membuat peningkatan dan Manchester United telah melakukan hal tersebut."



Sementara itu, Hutchinson berkata: "Kita boleh menjangkakan satu saingan sengit empat penjuru dalam merebut piala EPL musim depan." - Agensi berita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >