MANCHESTER: Gol-gol jaringan Victor Moses dan Diafra Sakho menamatkan rekod 11 kemenangan berturut-turut Manchester City yang kalah mengejut 1-2 kepada West Ham United dalam satu pertarungan Liga Perdana England awal pagi tadi (20 September).
Ia juga adalah kekalahan pertama City selepas memenangi lima perlawanan pembukaan musim ini untuk berada selesa di tangga teratas liga.
Tanpa tunggak bek tengah dan kapten, Vincent Kompany, gawang City juga dibolosi buat pertama kali musim ini oleh West Ham - pasukan yang kini menunjukkan prestasi hebat selepas turut menewaskan Arsenal dan Liverpool dalam dua perlawanan awalnya.
Ketinggalan dua gol awal - jaringan sulung bintang muda Belgium, Kevin De Bruyne, yang baru berpindah ke City, sejurus sebelum wisel rehat memberikan harapan kepada City untuk bangkit dan melancarkan serangan bertubi-tubi dalam babak kedua permainan.
Namun, 'The Citizens' gagal mendapatkan gol penyamaan yang dicari-cari itu ke atas pasukan lawan pimpinan Slaven Bilic yang begitu teratur, berdisiplin dan menunjukkan komitmen tinggi.
Kekalahan City tentunya membawa senyuman kepada pengurus Chelsea, Jose Mourinho, yang melihat pasukannya menghidupkan semula saingan mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal, malam tadi (19 September).
Kedudukan Steve McClaren sebagai pengurus Newcastle pula semakin goyah selepas pasukannya kekal di corot liga - kali ini mengalami kekalahan 1-2 kepada Watford, pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana musim ini. - AFP.