Topik diikuti
Pergi ke BHkuZulfahmi: Bak mimpi jadi nyata
Pemain nasional teruja ikat kontrak dengan kelab liga utama Thailand

Zulfahmi: Bak mimpi jadi nyata
BEBERAPA hari selepas beliau menjadi pemain Chonburi FC, pemain nasional Zulfahmi Arifin akur beliau bagaikan tidak percaya akan beraksi dalam liga utama Thailand musim depan.
Zulfahmi, 26 tahun, menandatangani kontrak setahun dengan kelab Liga Satu Thai (TL1) itu kelmarin, menjadi pemain Singapura ketiga yang beraksi di peringkat tertinggi di sana.
"Memang menjadi impian saya buat sekian lama untuk menguji keupayaan saya di Thailand," kata Zulfahmi, yang juga menerima tawaran kontrak daripada kelab Liga Dua Thai (TL2) Angthong FC.
"Lantaran itu, saya sudah bersedia menerima tawaran kelab divisyen dua itu, tetapi segala-galanya berubah apabila Chonburi juga menawarkan saya kontrak.
"Kegembiraan saya tidak terhingga... macam susah nak percaya pun ada," tambah Zulfahmi.
Zulfahmi menjadi pemain Chonburi, yang menduduki tangga ketujuh dalam TPL musim lalu, selepas menyerlah semasa ujian beberapa hari di sana minggu lalu, termasuk dalam satu perlawanan persahabatan.
Berkongsi pengalamannya, Zulfahmi berkata bola sepak di Thailand dimainkan dengan lebih pantas, tetapi beliau berharap tidak akan menghadapi masalah dalam menyesuaikan diri.
"Saya bertekad untuk pantas menyesuaikan diri dengan cara permainan, dan beraksi dengan baik musim ini, supaya dipilih menyertai skuad nasional bagi Piala Suzuki pada tahun depan," kata Zulfahmi yang kini meneruskan cuti di Singapura, sebelum menyertai pasukan bulan depan untuk menjalani latihan pramusim di Indonesia.
Zulfahmi, yang telah 33 kali menyarung jersi nasional, pertama kali menarik perhatian apabila beliau menganggotai pasukan LionsXII yang menjuarai Liga Super Malaysia pada 2013 dan Piala FA Malaysia dua tahun lalu.
Dikenali sebagai pemain midfield bijak yang mempunyai kaki kidal yang berbahaya daripada set-piece, Zulfahmi berpindah semusim ke Home United selepas LionsXII dibubarkan di akhir 2015, sebelum menyarung jersi Hougang United musim lalu.
Chonburi FC, yang juga dikenali sebagai The Sharks, kini dipimpin oleh jurulatih sementara Jakkaphan Punpee, yang mengambil alih daripada Therdsak Chaiman, bekas pemain SAF FC (kini Warriors FC) yang memenangi anugerah Pemain Terbaik Liga S pada 2003.
Zulfahmi adalah pemain nasional ketiga yang akan beraksi di Thailand musim depan.
Dua penjaga gawang nasional Izwan Mahbud (Nongbua Pitchaya) dan Hassan Sunny (Army United) akan beraksi dalam TL2.