Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

BAHASA & BUDAYA

100 pendidik bincang strategi ajar anak prasekolah dwibahasa

Panel pakar kongsi pendekatan dalam webinar 'Strategi Pengajaran Dwibahasa' anjuran Berita Harian dan Yayasan Mendaki
Mar 01, 2021 | 05:30 AM



SEKITAR 100 pendidik prasekolah telah menyertai webinar 'Strategi Pengajaran Dwibahasa' anjuran Berita Harian dan Yayasan Mendaki pada 24 Februari lalu.



Webinar tersebut, yang diadakan secara dalam talian, membincangkan pendekatan yang boleh diambil pendidik prasekolah untuk mengajar dwibahasa, dengan strategi dikongsi oleh panel pakar Profesor Madya Dr Mukhlis Abu Bakar dan Cik Sanesa Salleh.



Dr Muhklis merupakan Penolong Ketua (Bahagian Bahasa Melayu) Kumpulan Akademik (AG) Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC) Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sementara Cik Sanesa pula pakar bahasa Melayu divisyen pendidikan profesional Pusat Yayasan Masyarakat PAP (PCF).



Memulakan perbincangan, Dr Mukhlis berkongsi model pembelajaran dan pengajaran dwibahasa utama yang wujud serta metod berinteraksi dalam dwibahasa.



Beliau turut menekankan kepentingan pendedahan bahasa bukan sahaja di sekolah, malah di rumah.



"Tugas membangunkan kanak-kanak yang berdwibahasa bukan terletak pada bahu guru bahasa Melayu atau guru bahasa ibunda sahaja, tetapi pada seluruh sekolah.



"Di mana mungkin, saya menggalakkan pendedahan sekurang-kurangnya 50-50 masa kurikulum Inggeris dan Melayu atau bahasa ibunda," katanya.



Menyentuh tentang persekitaran sekolah pula, Dr Mukhlis memberi contoh bahawa papan tanda yang terdapat dalam kawasan sekolah kebanyakannya berbahasa Inggeris dan ini sedikit sebanyak mempengaruhi pelajar bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang lebih penting berbanding bahasa ibunda mereka.



"Kita perlu memastikan landskap linguistik di sekolah lebih saksama di antara bahasa Inggeris dengan bahasa ibunda," ujar beliau.



Dalam perkongsian Cik Sanesa pula, beliau mengetengahkan beberapa teknik dan strategi dalam bilik darjah yang boleh dilakukan guru-guru prasekolah.



Ini termasuk pendekatan bacaan bersama, nyanyian dan pergerakan serta bercerita dan berinteraksi.



Yang penting, katanya, guru mesti menjadikan kelas bahasa Melayu menarik dan seronok bagi para pelajar, termasuk membenarkan mereka belajar melalui permainan.



"Murid-murid harus rasa seronok apabila berada dalam kelas bahasa Melayu dan mereka mahu datang ke kelas," katanya.



Ditanya oleh seorang peserta webinar sama ada guru patut membiarkan murid-murid menggunakan bahasa Inggeris dalam kelas bahasa ibunda, Cik Sanesa menjawab:



"Jika awak sentiasa memperbetulkan mereka setiap kali mereka menggunakan bahasa Inggeris, ia akan memalapkan keinginan murid itu mempelajari bahasa Melayu sebab tidak ada orang yang suka diperbetulkan sahaja setiap masa.



"Suntikan elemen keseronokan, tak ada masalah jika anak itu tidak berbual dalam bahasa Melayu, tetapi sekurang-kurangnya dia mengalu-alukan datang ke kelas anda, itu langkah yang pertama," ujar beliau.



Akur dengan pandangan tersebut, Dr Mukhlis menjelaskan: "Kita tidak mahu guru meminggirkan mana-mana murid.



"Saya rasa anda boleh mula dengan, pertama menerima apa yang mereka katakan dalam bahasa Inggeris dan kemudian meneruskan perbualan tersebut (dalam bahasa Melayu).



"Jika anda dapat meneruskan perbualan itu walaupun guru dan murid menggunakan bahasa berbeza, ia satu petanda bahawa murid itu boleh memahami bahasa (Melayu), jika mereka faham, itu adalah langkah pertama menggunakan bahasa tersebut."



Lama-kelamaan, setelah murid lebih selesa dengan guru, dia akan sedar bahawa dia juga boleh berbual dalam bahasa ibunda tersebut, tambah Dr Mukhlis.



Dalam pada itu, tetamu terhormat yang menyertai webinar tersebut, Setiausaha Parlimen (Kesihatan) Cik Rahayu Mahzam, berkata beliau harap lebih banyak usaha dapat diteruskan untuk menggalak penggunaan dwibahasa di kalangan anak-anak kita.



"Kita semua tahu dan setuju bahawa usaha memulakan dari awal untuk mengajar anak-anak kita kepentingan bahasa dan menggunakannya amat bermanfaat.



"Saya harap kita dapat teruskan usaha ini dan sama-sama melihat anak-anak kita, mereka yang akan melestarikan penggunaan bahasa kita dan juga mereka yang akan meningkatkan aktiviti dalam arena ini... saya rasa ini akan menguatkan kemampuan mereka untuk terus maju ke hadapan," ujar beliau.



Webinar 'Strategi Pengajaran Dwibahasa' itu dianjurkan hasil kerjasama NIE, Institut Pendidikan Awal Kanak-kanak (NIEC) dan Perikatan Karyawan Prasekolah Mendaki (MAPP), dengan sokongan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB).




"Kita semua tahu dan setuju bahawa usaha memulakan dari awal untuk mengajar anak-anak kita kepentingan bahasa dan menggunakannya amat bermanfaat.

Saya harap kita dapat teruskan usaha ini dan sama-sama melihat anak-anak kita, mereka yang akan melestarikan penggunaan bahasa kita dan juga mereka yang akan meningkatkan aktiviti dalam arena ini... saya rasa ini akan menguatkan kemampuan mereka untuk terus maju ke hadapan."

- Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, tetamu terhormat Webinar 'Strategi Pengajaran Dwibahasa'.




"Tugas membangunkan kanak-kanak yang berdwibahasa bukan terletak pada bahu guru bahasa Melayu atau guru bahasa ibunda sahaja, tetapi pada seluruh sekolah.

Di mana mungkin, saya menggalakkan pendedahan sekurang-kurangnya 50-50 masa kurikulum Inggeris dan Melayu atau bahasa ibunda.

Kita perlu memastikan landskap linguistik di sekolah lebih saksama di antara bahasa Inggeris dengan bahasa ibunda."

- Profesor Madya Dr Mukhlis Abu Bakar, Penolong Ketua (Bahagian Bahasa Melayu) Kumpulan Akademik (AG) Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC) Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >