Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

23 anak seni mapan dibantu acara Kami Peduli

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

23 anak seni mapan dibantu acara Kami Peduli

Nov 28, 2020 | 05:30 AM

KEIHSANAN masyarakat Melayu/Islam setempat dalam menyalur bantuan kewangan buat anak seni yang meniti usia senja dengan ujian penyakit begitu menebal.

Hasilnya, sebanyak $23,000 dapat disalurkan kepada 23 penggiat seni mapan yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik, pelakon dan mantan deejay Singapura menerusi Kempen Kami Peduli.

Sebanyak $18,000 dikumpulkan menerusi jualan amal nasi beriani dam dan double lamb shank serta nasi tomato dan bamia pada Hari Raya Aidiladha lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Orange Events and Media, Encik Syah Ibrahim dan Pengarah Urusan Life Records, Encik Osman Ariffin, sebagai penggerak Kempen Kami Peduli pula menyumbangkan $5,000 kepada jumlah terkumpul.

Projek amal ini turut dijayakan pengurus syarikat Nazreen Catering, Syed Hafiz.

Kelmarin, satu majlis penyampaian habuan berupa $1,000 bagi setiap anak seni atau anggota keluarga mereka telah diadakan di Istana Ballroom, Tanjong Katong Complex.

Majlis silatulrahim itu turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Kempen Kami Peduli sudah diusahakan selama 15 tahun dengan sekitar 100 aktivis seni dibantu.

Tahun lalu, jumlah terbanyak sekitar $42,000 dikumpulkan buat mantan penyiar dan personaliti setempat, Riz Sunawan menampung kos rawatan penyakit motor neuron (MND) atau lebih dikenali sebagai Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS).

Ketika ditemui di majlis kelmarin, Dr Faishal berkata Kempen Kami Peduli adalah satu usaha kemasyarakatan yang menggembleng tenaga usahawan, aktivis seni dan orang ramai yang peka dengan keadaan anak seni yang meniti usia senja, dilanda penyakit atau memerlukan sokongan.

"Saya terkesan dengan nilai-nilai yang kita boleh hayati daripada kempen ini.

"Kita lihat Syah dan Osman sebagai usahawan yang juga berurusan dengan penggiat seni dalam tugasan mereka bersama Syed Hafiz menggalak masyarakat agar mengingati jasa dan sumbangan anak seni.

"Melalui projek ini, kita dapat ambil tahu perkembangan dan kehidupan anak seni mapan yang sakit atau memerlukan sokongan.

"Alangkah baik jika nilai ihsan dan semangat membantu dalam projek buat anak seni ini dapat ditebarkan pada kehidupan kita sebagai insan. Anak-anak seni yang pernah menjadi teman penghibur kita akan rasa lebih dihargai dengan adanya usaha seperti ini," jelas Dr Faishal.

Encik Osman menjelaskan projek sukarela yang diusahakannya bersama Encik Syah bukanlah institusi formal dengan jawatankuasa dibentuk.

"Kami menggerakkannya kerana melihat wujud sebilangan artis Singapura yang memerlukan dari segi kewangan dan keperluan kesihatan, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini.

"Memandangkan tiada badan khusus yang menjaga kebajikan artis Melayu Singapura di sini, maka inilah usaha kecil kami dalam meringankan beban mereka.

"Apa yang terkumpul dari projek amal, kami segera kenal pasti individu yang memerlukan malah memperluaskannya bagi kegunaan anggota keluarga mereka yang sakit.

"Kami misalnya berniat nak beri habuan kepada biduan R. Ismail sewaktu hayatnya tetapi tidak kesampaian. Maka habuan diserahkan kepada balunya," katanya.

Encik Syah pula berkata Kempen Kami Peduli diteruskan kerana pihaknya akur ada sebilangan artis yang dalam keadaan kesempitan tetapi tidak tahu di mana mereka boleh mendapatkan bantuan atau segan meminta pertolongan.

"Melihat wajah mereka yang dibantu tersenyum gembira, senang hati kita dapat menceriakan hati mereka walaupun kita tahu jumlah ini tidak cukup bagi menampung segalanya.

"Namun Alhamdulillah, ramai yang bersyukur dan terharu mereka masih diingati. Malah selepas projek amal pun, ada anggota masyarakat yang ingin menderma lagi.

"Hidup ini ibarat roda. Ada hari kita memberi, ada hari kita menerima. Kita sendiri tak tahu keadaan kita apabila berusia kelak bagaimana. Sambil kita membantu, kita juga turut fikirkan tentang pelan persaraan kita - apa yang perlu kita lakukan kini sebagai perancangan awal meniti usia senja."

Pelawak Alias Kadir, 57 tahun, yang disifatkan sebagai anak seni serba boleh yang tidak putus-putus berjuang berlakon dan menyanyi meskipun dilanda penyakit kencing manis, dipotong kaki dan menggunakan kaki palsu berkata dengan nada sebak:

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kempen Kami Peduli kerana prihatin dengan nasib anak seni yang memerlukan.

"Saya juga hargai usaha Osman yang selalu panggil saya bagi acara-acara seni agar saya dapat terus cari rezeki."

Hussein Ismail, 84 tahun, yang mempopularkan lagu Oh Poniah yang dilanda strok tahun lalu sempat menceritakan kepada hadirin keadaan dirinya sambil berseloroh:

"Dulu kena strok sampai senget-senget (raut wajah). Sekarang, Alhamdulillah dah tak lagi.

"Walau bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kerana ada pihak seperti Osman dan Syah yang prihatin dengan nasib artis-artis lama dan usahakan projek amal melibatkan sumbangan masyarakat ini.

"Saya pun terfikir dan beritahu kepada Osman kalau boleh nak buat lagu lagi agar saya terus berseni macam dulu."

Dalam pada itu, Encik Osman dan Encik Syah mengalu-alukan kehadiran artis baru bagi menyingsing lengan dalam menjayakan Kempen Kami Peduli ini sebagaimana yang dilakukan artis veteran, Jorah Ahmad, yang tampil membantu sejak 15 tahun lalu.

Bagi penyanyi dangdut, Zaleha Hamid yang dilanda strok dan menetap di seberang Tambak, wang akan dipindahkan ke akaun bank beliau kerana sekatan kembara dek Covid-19.

Encik Osman dan Encik Syah juga akan menyerahkan secara peribadi wang habuan kepada mantan deejay, Ibrahim Jamil, yang mengalami strok ringan, peneraju Black Dog Bone, Razzi M yang berpenyakit ginjal serta Wahid Satay yang uzur dan tidak dapat hadir di acara kelmarin.


Saya terkesan dengan nilai-nilai yang kita boleh hayati daripada kempen ini. Kita lihat Syah dan Osman sebagai usahawan yang juga berurusan dengan penggiat seni dalam tugasan mereka bersama Syed Hafiz menggalak masyarakat agar mengingati jasa dan sumbangan anak seni. Melalui projek ini, kita dapat ambil tahu perkembangan dan kehidupan anak seni mapan yang sakit atau memerlukan sokongan. Alangkah baik jika nilai ihsan dan semangat membantu dalam projek buat anak seni ini dapat ditebarkan pada kehidupan kita sebagai insan. Anak-anak seni yang pernah menjadi teman penghibur kita akan rasa lebih dihargai dengan adanya usaha seperti ini.
- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.


KEMPEN KAMI PEDULI

Seramai 23 anak seni yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, mantan deejay dan pemuzik diberi bantuan $1,000 seorang kelmarin.

Mereka diberi peruntukan wang sebagai tanda penghargaan kerana beberapa faktor seperti keadaan kesihatan, keadaan kewangan atau keperluan lain seperti pemergian suami yang merupakan penggiat seni.

Ada yang merupakan sukarelawan Kempen Kami Peduli yang sama-sama menyingsing lengan membantu manakala ada pula merupakan anggota keluarga penggiat seni yang memerlukan.

1. Alias Kadir

2. Mahadi Shor

3. Zamberi Abdul Patah

4. Roslan Karli

5. Fatimah M. Amin

6. Hussein Ismail

7. Selamat Sunani (suami pelawak Zaliha Hamid)

8. Cik Rabiyah (isteri Saha Lovehunters)

9. Zaleha Hamid

10. Manisah Ahmad (Band Last Minute)

11. Jeffrey Brown (Jive Talkin')

12. Cik Rokiah Mat Shukor (balu R. Ismail)

13. Zainon Ismail (Mak Otek)

14. Jorah Ahmad

15. Zubir Abdullah

16. Abdullah Ahmad

17. Aminah Siregar

18. Ibrahim Jamil

19. Wahid Satay

20. M. Masnawi

21. Razzi M

22. Hamid Black Dog Bone

23. M. Wari

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3