'BULAT air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.'
Itulah yang sering diusahakan oleh Masjid Darul Makmur bersama kumpulan akar umbi di kawasan Yishun agar dapat menyampaikan mesej dan memupuk sifat ihsan di kalangan penduduk Melayu/Islam dan kaum lain.
Pengurus Strategik Masjid Darul Makmur, Ustaz Ruhaizan Abdullah, berkata:
"Antara tumpuan strategik masjid adalah untuk memupuk semangat kemasyarakatan yang kuat. Ini dapat dijadikan kenyataan dengan usaha pihak masjid bekerjasama dengan jemaah, pelbagai rakan kongsi, pihak berkepentingan dan juga kumpulan akar umbi serta Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC)."
Antara program yang telah dianjurkan pihak masjid sempena Ramadan ini adalah pengagihan bubur kepada penduduk secara percuma di empat kawasan kejiranan Yishun selain di masjid sahaja.
Inisiatif ini dimulakan sejak 2015, apabila pihak masjid mendapati langkah ini merupakan satu usaha yang baik untuk menghubungkan masjid dengan kawasan kejiranan di sekeliling Yishun.
Lebih menarik lagi, pengagihan bubur ini dilakukan kepada semua bangsa dan agama, tidak hanya kepada masyarakat Melayu/Islam sahaja.
Pengerusi MAEC Chong Pang, Cik Selina Salleh, berkata:
"Warga kerja masjid menggembleng tenaga dan turun padang untuk mengagihkan bubur di kejiranan Yishun dengan kerjasama sukarelawan daripada kumpulan MAEC.
"Pihak kami mendapat sambutan yang amat baik daripada penduduk apabila mereka melihat usaha ini dilakukan sewaktu bulan Ramadan sejak 2015."
Berkongsi matlamat utama pengagihan bubur Ramadan di luar kawasan masjid pula, Ustaz Ruhaizan berkata:
"Selain kelebihan dan anjuran memberi makanan di sisi agama, kami juga ingin masjid berada bersama masyarakat majmuk dengan ikatan terkait rapat. Semoga usaha ini akan mewujudkan persefahaman dan kemakmuran masyarakat berbilang bangsa."
Pengerusi MAEC Nee Soon East, Encik Zakariah A. Jabar, pula berkata:
"Usaha ini memudahkan warga emas yang mungkin terasa jauh untuk ke masjid. Justeru, dengan agihan kami di kawasan kejiranan terbuka ini, ia memudahkan penduduk berdekatan mendapatkan bubur.
"Tambahan lagi, pihak masjid juga berkesempatan memberikan sedikit penerangan kepada penduduk bukan Melayu/Islam yang teruja untuk mengetahui sejarah di sebalik amalan berpuasa sewaktu interaksi pihak asatizah masjid bersama mereka."
Masjid Darul Makmur mengalu-alukan sumbangan derma oleh masyarakat bagi menampung kos projek Ramadan tahun ini dengan menghulurkan derma buat pengagihan bubur di masjid dan kejiranan Yishun, beserta dengan pek jamuan yang dihantar ke rumah penerima zakat yang berdaftar bersama pihak masjid.
Tahun ini merupakan Ramadan terakhir sebelum masjid bakal ditutup untuk menjalani kerja peningkatan bermula hujung tahun ini.
PENGAGIHAN BUBUR
Bermula 4 petang pada Sabtu dan Ahad (selagi stok masih ada
1. Kolong Blok 137 Yishun Ring Road
2. Kawasan berhadapan Blok 293 Yishun Street 22
3. Nee Soon Central CC (berdekatan Pusat Pertukaran Bas di NorthPoint City)
4. Kolong Blok 714 Yishun St 71 (Jumaat & Sabtu sahaja)
DERMA PROJEK RAMADAN
- PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Ref: Ramadan)
- Pemindahan wang ke Akaun: OCBC Current 581-652138001 (Ref: Ramadan)
- 'Scan & Pay' pada aplikasi iBanking anda (Sumbangan melalui No 1-3, sila hantar tangkap skrin transaksi, nama dan e-mel anda ke WhatsApp 9789-4148
- Melalui cek ke atas nama: 'MASJID DARUL MAKMUR' dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099
- Hadir ke Pejabat Masjid Darul Makmur, 950 Yishun Avenue 2 (pada waktu pejabat).