Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Aisyah raih inspirasi dari semangat baru Aliff di pentas GV8

Adik-beradik selebriti saling beri perangsang pada kerjaya seni masing-masing
Nov 20, 2021 | 05:30 AM



Esok, akan 'bergegar' semula Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan suara merdu 13 peserta Gegar Vaganza 8 (GV8). Di ambang peraduan realiti Astro Ria ini, BERITA HARIAN mendapatkan pandangan penonton setia GV di Singapura yang merupakan anak seni untuk berkongsi harapan mereka. Apa pula kata-kata semangat penyanyi Aisyah Aziz buat abangnya, Aliff Aziz, yang juga memasuki gelanggang pertandingan sekali lagi susuli kejayaan 14 tahun lalu di Anugerah 2007? Ikuti laporan berikut.



ADIK mana yang tidak teruja dan bersyukur apabila abangnya diberi rezeki dan peluang kedua kembali ke pentas nyanyian setelah melalui tempoh mencabar dalam kehidupan yang boleh menggugat keyakinan diri.



Lantaran itu, sokongan dari kejauhan kota Singapura akan diberi penyanyi setempat Aisyah Aziz, buat abang tersayang Aliff Aziz yang bakal bertanding di medan vokal Gegar Vaganza 8 (GV8) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam esok.



Aliff, 30 tahun, juara Anugerah 2007 anjuran Mediacorp Suria, adalah salah seorang daripada 13 peserta yang akan bersaing di hadapan juri terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.



Ketika dihubungi Berita Harian menerusi Zoom, Aisyah, 27 tahun, berkata:



"Saya memang sudah lama menanti untuk menyaksikan Abang Aliff kembali menyanyi di pentas.



"Beliau adalah anak seni yang berbakat, bukan sahaja dalam bidang lakonan tetapi nyanyian juga. Menyanyi adalah cinta sejatinya.



"Alhamdulillah, setelah sekian lama, pada usia 30 tahun yang matang, Abang kembali dalam gelanggang pertandingan nyanyian.



"Ia waktu yang sangat tepat. Abang pun dah banyak menampakkan perubahan... dia lebih cool down (bertenang) kini serta temui jalan kerohanian dan pencerahan hidup.



"Jadi memang saya dan seisi keluarga tak sabarlah nak tengok beliau di pentas GV8. Walau menonton televisyen dan tidak dapat bersama di PICC, kami akan bersamanya dengan doa dan kata-kata perangsang."



Menurut Aisyah yang dikenali dengan lagu Mimpi dan Bila Entah, beliau terinspirasi dengan semangat positif Aliff yang melalui fasa perubahan demi cinta pada keluarga serta keinginan cari rezeki buat mereka.



"Saya sebenarnya teruja buatnya. Harapan saya Abang tak lupa untuk nikmati perjalanan bertanding dalam GV8 yang merupakan platform terbaik buat mereka yang sudah lama tidak naik ke pentas berseni semula.



"Apa yang saya boleh katakan, mudah-mudahan, apabila sempadan antara Singapura dan Malaysia dibuka kelak, kita boleh berjumpa lagi. Buat sementara ini, kami di Singapura akan bantu-bantu juga beri idea dan maklum balas tentang susunan lagu atau bentuk persembahan.



"Di dalam hati saya, ada keyakinan kuat Abang Aliff boleh pergi jauh dalam pertandingan ini. Terima kasih buat semua yang mendoakan yang baik-baik buat beliau," tambah Aisyah yang pernah menembusi pasaran Malaysia dan merupakan peserta Singapura pertama dalam peraduan realiti Astro, Akademi Fantasia (AF) 2013.



Kisah Aliff yang pernah mengharungi ujian silam meliputi masalah sosial dan rumah tangga pernah mencetus kontroversi di media seberang Tambak dan media sosial.



Beliau kemudian berusaha bangkit semula dalam perjalanan hidupnya setelah menemui jalan ketenangan bergaul dengan beberapa sahabat yang mengajaknya ke arah kebaikan.



Ketika ditemui Kosmo! Online di sidang akhbar GV8 baru-baru ini, Aliff berkata:



"Saya minta doa yang baik-baik. Minta dijauhkan daripada perkara-perkara yang membuatkan saya keluar landasan mencari rezeki buat keluarga.



"Niat saya memang nak cari rezeki untuk keluarga. Lagipun dapat masuk pertandingan yang boleh buat orang ingat saya sememangnya seorang penyanyi, saya percaya itu perkara yang bagus."



Memberi kata-kata perangsang buat Aliff, juara SG Mania 2, Nana Karia berkata:



"Saya doakan agar Aliff berjaya dalam GV8 dan terus membuat kami di Singapura bangga. Aliff mempunyai banyak unsur positif tetapi kalau saya pilih untuk menyebut salah satu daripadanya, ia adalah daya bingkas atau daya tahan.



"Beliau terus membangkitkan semangat barunya untuk berjuang dalam dunia seni dan kehidupan dan tiada yang menghambatnya, walau apa halangan yang datang.



"Saya doakan Aliff agar terus beristiqamah dan konsisten dalam usahanya. Industri hiburan ini cepat berubah-ubah. Moga Aliff terus menjadi sumber inspirasi buat mereka di luar sana."




 • GV8 akan disiarkan di Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) mulai 9 malam esok.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >