Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Aktivis mahu universiti seni SG perluas skop pengajian, tingkat kesenimanan

Mar 16, 2021 | 05:30 AM



GENAP 15 tahun lalu, penerbit drama dan telefilem, Cik Nusaibah Rahim, tamat pengajian media dengan pengkhususan televisyen di Universiti Westminster di London.



Beliau ke luar negara kerana tiada ijazah khusus tentang penerbitan televisyen yang dapat memperkasa nyala rasanya di sini.



Justeru, apabila mendapat berita universiti seni pertama Singapura bakal dibangunkan menerusi perikatan antara Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dengan Maktab Seni Lasalle, Cik Nusaibah mengalu-alukannya.



"Sepatutnya sudah lama Nafa dan Lasalle menerima status universiti yang membolehkan mereka memberi pentauliahan ijazah sendiri dan bukan hasil kerjasama universiti luar negara.



"Saya berharap dengan adanya universiti seni baru ini, ijazah tukikan penerbitan televisyen dan kandungan media sosial dapat diperkenalkan. Ia amat diperlukan dalam perkembangan pesat dunia menjana kandungan," kata pemilik bersama syarikat penerbitan Poetry In Motion.



Penubuhan universiti seni pertama di Singapura itu diumumkan Menteri Pendidikan, Encik Lawrence Wong.



Menurutnya, MOE memberi kuasa pentauliahan ijazah buat Lasalle dan Nafa melihat pada mutu dan piawaian tinggi dua institusi ini.



Nafa dan Lasalle kekal sebagai pusat pengajian tinggi swasta yang disokong pemerintah dan menawarkan program berasingan.



Langkah membangun perikatan itu adalah agar lebih banyak peluang tersedia buat pelajar mengambil modul silang institusi serta menikmati perkongsian sumber.



Namun, tidak dapat dipastikan bila universiti baru itu akan dibuka.



Mantan pengerusi Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Duta Kelana Profesor Chan Heng Chee mengetuai jawatankuasa perikatan baru itu.



Jika ijazah penerbitan televisyen diperkenalkan di universiti baru itu, Cik Nusaibah berharap unsur praktikal penerbitan lebih ditekankan daripada teori semata.



"Saya tidak perlu duduki peperiksaan di luar negara. Gred ditentukan daripada tugasan penerbitan dan esei. Ramai teman saya di United Kingdom kemudian mendapat pekerjaan sebagai penerbit, pengarah dan pengarah fotografi dengan syarikat besar seperti BBC.



"Agak kecewa juga apabila teman kursus media di Singapura menjelaskan mereka perlu menghafal nota kuliah dan buku untuk peperiksaan. Tidak banyak unsur praktikal ditekankan," tambahnya.



Cik Nusaibah juga melihat kepentingan bagi universiti seni mengenalkan kursus memahami fenomena pendigitalan dan cita rasa pasaran masa kini menerusi kajian trend dan analitik.



"Pastinya ia bukan kursus mengajar pelajar untuk jadi terkenal dan tular!" tambahnya.



Penyanyi Hyrul Anuar pula berharap universiti seni itu dapat mengubah stigma bahawa sektor seni kurang penting berbanding sektor lain.



"Usah ketepikan peranan penting seni dan budaya dalam membangun kelompok kreatif. Saya yakin bidang seni menyediakan peralatan buat karyawan reka bentuk dan media menggarap kemahiran.



"Sinergi dalam ekosistem kreatif ini memperkasa mobiliti kemahiran dan mempertingkat mutu kerja seni menerusi perkongsian idea.



"Moga universiti seni ini akan membuka lebih banyak peluang menaik taraf kemahiran pelajar, menarik bakat global dan perniagaan. Bakat kita juga boleh pasarkan kepakaran ke luar negara.



"Saya harap usaha ini memperkukuh sektor seni Singapura sebagai industri berkesinambungan. Siapa tahu, kerja seni boleh dibuat sepenuh masa dan masyarakat lebih menghargai seni?" tambahnya.



Beliau ingin lihat kursus seni tradisional dan kontemporari Melayu baik dalam muzik, tarian, teater, filem atau seni lukis dikendalikan.



"Lebih baik jika kita memiliki institusi khusus seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Kuala Lumpur yang menawarkan pengajian jangka panjang bagi mengutuhkan identiti seni kita yang boleh diuar-uarkan ke pasaran global," kata Hyrul.



Guru vokal Nana Karia menaruh harapan tinggi sektor seni Singapura dapat diiktiraf sewajarnya dengan penubuhan universiti seni itu.



"Saya lihat kebanyakan kursus Nafa dan Lasalle lebih pada aspek teknikal muzik dan persembahan. Justeru, harapan saya kursus lebih mendalam tentang perniagaan dan pemasaran muzik dapat diperkenalkan.



"Saya percaya penggiat muzik perlu ilmu bangun etika bisnes positif dan kemahiran berhubung dengan label rakaman, media dan orang awam demi kerjaya yang perkasa," tambah Nana.



Pemilik balai seni Maya Gallery, Cik Masturah Sha'ari mempunyai anak sulung Mariessa Jeffrey, 19 tahun, yang baru tamat pengajian tarian dari Sekolah Seni Singapura (Sota).



Mariessa bagaimanapun ingin meneruskan pengajian dalam bidang ekonomi dan perniagaan di Universiti Nasional Singapura (NUS) atau Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Beliau tidak berminat meneruskan kursus tari di luar negara kerana kurikulumnya lebih fokus pada balet dan bukan tarian hip- hop, jalanan dan kontemporari.



Anak kedua Cik Masturah, Johanns, 16 tahun, juga di Sota mengambil seni visual dan ingin meneruskan pengajian seni lukis, reka bentuk dan media di NTU.



"Dengan adanya universiti seni di Singapura, pelajar kita mempunyai satu lagi pilihan meneruskan pengajian seni di sini sahaja. Kos pengajian lebih mampu dibiaya berbanding kos ke luar negara.



"Universiti seni yang baik di Singapura harus disejajarkan dengan taraf universiti seni luar negara seperti Sekolah Seni Glasgow di Scotland atau Universiti Goldsmith di London.



"Kursusnya juga harus menyeluruh meliputi bidang kurator seni muzium, keusahawanan seni, kepimpinan seni, pengurusan seni dan sejarah seni.



"Harapan saya universiti seni itu kelak boleh mengadakan ceramah secara tetap bagi wakil kumpulan seni setempat berkongsi pengalaman," kata Cik Masturah.



Di sebalik segalanya, aktivis teater Encik Saiful Amri Ahmad Elahi masih tertanya-tanya mampukah kerjaya dalam bidang seni dijana dalam persada seni kecil Singapura yang tidak boleh dipanggil industri ini.



"Secara jujur, dengan tertubuhnya universiti ini, mampukah kita mempunyai ekosistem yang dapat membekalkan lulusan seni dengan pekerjaan tetap?



"Ramai karyawan seni bebas kini bertarung dalam keadaan tidak menentu. Ada juga lulusan seni yang terpaksa cari kerja dalam bidang yang tiada kena-mengena dengan ijazah mereka.



"Mengejar segulung ijazah begitu dipentingkan di Singapura. Apakah penggiat seni cemerlang yang sedia ada akan ketinggalan jika mereka tiada kelulusan ini?



"Cuma apa yang saya harapkan, kursus yang ditawarkan dapat kembali pada asal-usul, identiti dan tradisi budaya kita. Moga ada pengkhususan dalam bangsawan, opera Cina dan tarian klasikal India, 'karthakali' agar anak muda kita kenali jati diri mereka," katanya.




"Saya tidak perlu duduki peperiksaan di luar negara. Gred ditentukan daripada tugasan penerbitan dan esei.



Ramai teman saya di United Kingdom kemudian mendapat pekerjaan sebagai penerbit, pengarah dan pengarah fotografi dengan syarikat besar seperti BBC.



Agak kecewa juga apabila teman kursus media di Singapura menjelaskan mereka perlu menghafal nota kuliah dan buku untuk peperiksaan. Tidak banyak unsur praktikal ditekankan."
- Penerbit drama dan telefilem, Cik Nusaibah Rahim, tamat pengajian media dengan pengkhususan televisyen di Universiti Westminster di London.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >