Subuh
5:37
Syuruk
6:54
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:09
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

ARTIS INDONESIA

Album 'See You Someday' rakam rindu semasa pandemik

May 19, 2021 | 05:30 AM

DI dalam kesulitan pandemik Covid-19, penyanyi dan penggubah lagu Indonesia, Rendy Pandugo, yang digelar 'John Mayer Indonesia', rindu bertemu peminatnya dalam acara 'live'.

Maka, terhasillah album EP Inggeris, See You Someday, yang dijadikan penawar segala rasa sedih dan kejauhan daripada mereka yang banyak menyokong kerjayanya.

Lima lagu dalam EP ini adalah Home, Far, Secret, B.Y.L dan Mr Sun.

Pasang surut kehidupan khususnya sebagai anak seni memang tidak dapat dielakkan Rendy, 36 tahun.

Dalam sesi Zoom bersamanya baru-baru ini, Rendy bercerita tentang usahanya berkongsi irama santai menceriakan atau menginsafkan yang mengingatkan pendengar agar tidak mudah berputus harap.

"Sewaktu pandemik, saya putuskan agar berehat sebentar daripada muzik. Namun dalam tempoh rehat itu, saya menggubah lagu yang makan masa hanya 15 minit sahaja untuk siap. Ia datang daripada hati seorang manusia biasa yang penuh harapan.

"Terus terang, saya amat rindu pada peminat. Maka, album EP ini bertajuk See You Someday kerana ia adalah kata-kata yang terpantul dari mulut saya setiap kali tamat persembahan.

"Kini, 'someday' itu memberi harapan akan ada harinya, walau kita tak tahu bila pandemik ini akan berakhir," ceritanya.

Menceritakan tentang beberapa lagu dalam album ini yang bermakna buatnya, beliau berkata Home menggambarkan pengalamannya yang selalu berjauhan dari keluarga kerana terlibat dalam konsert jelajah di merata Indonesia.

"Dalam tempoh prapandemik Covid-19, saya memang tidak banyak peluang duduk di rumah bersama keluarga. Saya tulis lirik lagu ini ketika di hotel. Ada rasa suram dan sunyi yang menyelubungi jiwa apabila anda dengar lagu ini," katanya.

Mr Sun pula adalah mengenai cara orang ramai menganggap sang mentari sebagai membebani hidup mereka dengan bahang panas yang 'menggigit' dan tidak menyelesakan.

"Aneh ya? Orang selalu anggap mentari itu bikin rasa tidak selesa dan menyusahkan. Kerja manusia asyik mengadu dan berkeluh-kesah tentang bahang panas yang terasa kerana mentari.

"Bayangkan kalau tiada mentari menyinari. Pesan saya, usah... jangan bikin ribut. Bersyukur sahajalah," tambah Rendy.

Di sebalik lagu santai yang disajikan, ada juga pengamatan penyanyi yang asalnya gitaris band ini tentang kehilangan orang tersayang.

"B.Y.L itu cerita sedih teman saya. Isterinya tiba-tiba tinggalkannya dan anak mereka. Teman saya masih tidak berputus harap menanti isterinya kembali. Sebagai teman, saya hanya menyampaikan rasa sedihnya dalam lagu ini.

"Kadangkala ada perkara tidak diduga berlaku dalam hidup kita," jelasnya.

Menurut Rendy yang bermula dari wadah edaran audio dalam talian SoundCloud lebih sedekad lalu, pandemik mengajar manusia agar lebih mensyukuri mereka masih miliki keluarga dan tempat berteduh.

Ditanya pernahkah ada ketika beliau ingin menggantung sahaja mikrofon dan beralih arah ke pekerjaan lain, Rendy berkata:

"Sekitar 2013 atau 2014, saya hampir bekerja sahaja di pejabat dengan rasa bimbang sebab saya tidak pernah buat kerja lain selain muzik.

"Pada waktu itu, muzik saya tidak mendatangkan hasil. Saya berpindah dari Surabaya ke Jakarta.

"Saya beritahu isteri saya, saya mahu kerja sahaja di pejabat. Tak tahu apa nak buat. Paling tidak, jadi pelayan restoran.

"Mujurlah, ada peluang bermain muzik di pusat beli-belah. Dari situ, perlahan-lahan, peluang saya dalam bidang seni terbuka sampai sekarang."

Sekarang ini era di mana segalanya mesti dihasilkan cepat. Beliau yang miliki kelulusan ekonomi akur harus tangkas pelajari kemahiran baru untuk terus hidup.

"Malah, saya bangga untuk katakan sewaktu pandemik ini, saya jadi kontraktor dan tukang kayu tanpa sebarang pengetahuan dan kelulusan seni bina," tambahnya. 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3