Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anak Melayu menang vokal terbaik peraduan cipta lagu Cina

Gabungan lirik Mandarin, Melayu serta paluan tabla turut bawa kemenangan anugerah pertukaran budaya
Dec 06, 2021 | 05:30 AM



SEJAK di bangku sekolah rendah, karyawan pengiklanan digital Yohannis Kasmani sudah tertarik menonton drama Cina di Channel 8 dan mendengar cakera padat muzik pop Mandarin (Mandopop) yang diputar abangnya.



Dari situlah, beliau yang kini berusia 29 tahun mempelajari bahasa Mandarin untuk menghayati lirik dalam lagu Cina yang didengari dan kemudian dinyanyikan sebagai hobi.



Sedekad lalu, Yohannis, lulusan ijazah komunikasi dan media baru daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) pernah mengambil bahagian dalam adu bakat Cina di Channel 8.



Kerana terlupa lirik, beliau gagal berganjak ke peringkat lanjutan adu bakat itu dan hanya sampai ke peringkat suku akhir.



Bagaimanapun, tahun ini merupakan rezeki buatnya apabila percubaan sulung memasuki peraduan ciptaan lagu SG:SW I Write The Songs membawa pada kejayaan dua anugerah di peringkat akhir.



Dengan mempertaruhkan lagu Cina dengan sisipan lirik Melayu, Love Deserter, Yohannis mencipta sejarah sebagai peserta Melayu pertama yang menerima Anugerah Persembahan Vokal Terbaik dalam peraduan tersebut.



Beliau dan komposer lagu ini, Ti Kiang Heng, 50 tahun, seorang usahawan teknologi pendidikan, juga menerima Anugerah 'Singapore Chinese Cultural Xchange' kerana faktor silang budaya yang diterapkan.



Selain lirik Cina dan Melayu, terdapat penggunaan alat muzik genderang tradisional masyarakat India iaitu tabla yang disertakan dalam melodi lagu ini lantas memberinya semacam perisa Singapura yang ketara.



Peraduan ini dianjurkan bersama Pusat Kebudayaan Cina Singapura (SCCC), Ocean Butterflies Music (OB Music) serta Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass) dalam usaha memupuk dan mencungkil bakat muzik tempatan dengan menyediakan mereka wadah mengetengahkan kerja seni asli.



Sebanyak 306 penyertaan diterima bagi peraduan tahun ini dengan 10 lagu peringkat akhir berlegar di sekitar tema yang rencam meliputi budaya kedai kopi, anak autistik, jualan 'livestream', astrologi dan ketagihan pada permainan video.



Ketika dihubungi Berita Harian menerusi sidang Zoom, Yohannis berkata:



"Sebenarnya, saya tidak begitu yakin akan menjulang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik kerana ada ramai lagi finalis yang memiliki suara yang merdu.



"Lagi pun, saya berasakan persembahan saya pada peringkat akhir itu bukan yang terbaik."



Pencinta bahasa itu mendengar bermacam genre lagu dalam pelbagai bahasa daripada Korea, Jepun hinggalah Thailand di samping meneroka kekayaan budaya setiap masyarakat.



Apa yang menarik, beliau dan Ti hanya baru tiga bulan saling mengenali menerusi aplikasi TikTok dan langsung membina keserasian untuk memasuki peraduan ini.



"Pada waktu itu, saya baru mencuba TikTok dan sedang cuba menambah kandungannya. Saya ternampak video Kiang Heng menyanyi lagu Cina. Saya langsung berduet dengannya. Tak sangka pula apabila beliau mengirim pesanan kepada saya sambil sertakan lagu ciptaannya. Beliau bertanya jika saya ingin nyanyikan lagu itu untuk satu peraduan yang akan disertainya. Saya terfikir, mengapa tidak?" cerita Yohannis.



Ti pula kagum dengan suara merdu Yohannis, penguasaan bahasa dan sebutan lirik Mandarin yang disifatkan jauh lebih baik daripada dirinya sendiri serta emosi yang diterapkan dalam dendangan tersebut.



"Yohannis miliki takrifan peribadi tentang lagu ini. Ia menjadikannya berbeza bukan kerana beliau wanita Melayu yang menyanyikan lagu Cina tetapi lebih kerana cara beliau membawa lagu ini dengan cukup menyentuh jiwa," tambah Ti.



Love Deserter yang dicipta Ti tahun lalu merupakan lagu balada tentang lelaki yang bercinta tetapi belum bersedia memberi komitmen untuk menjalin hubungan jangka panjang dengan seorang wanita.



"Ia satu kebiasaan yang kita lihat di mana si lelaki akan cuba mengelak apabila topik 'bila nak kahwin' diutarakan si wanita. Saya biasa dengar cerita-cerita teman-teman mengenainya," tambah Ti.



Walaupun hanya tiga baris ayat Melayu perlu dikarang untuk dimuatkan dalam lagu Love Deserter ini, Yohannis menganggapnya sebagai satu lagi cabaran kerana terdengar kejanggalannya.



"Saya dapatkan nasihat ibu yang lebih baik penguasaan bahasa Melayunya daripada saya. Maksud lagu ini tidak boleh lari. Saya perlu cari perkataan ringkas. Lagi pun, saya tidak terlatih dalam bidang muzik.



"Kalau tanya pernahkah saya mencipta lagu, saya akan kata, ia dibuat secara rambang dengan saya petik gitar atau main papan nada dan menyanyi untuk suka-suka sahaja," jelas Yohannis.



Kemenangan ini juga memberi semangat baru buat Ti yang berhenti main muzik kerana pekerjaan dan komitmen keluarga bagi tempoh masa yang panjang.



Hanya tiga tahun lalu, beliau kembali pada nyala rasa asalnya mencipta lagu dan menyanyi.



Sungguhpun memenangi anugerah vokal, Yohannis tiada perancangan merakam 'single' sendiri kerana menganggap muzik hanya wadah suka-suka meluah rasa.



"Mungkin saya akan muatkan kandungan berupa suara saya dalam media sosial, baik YouTube atau TikTok. Saya tiada hasrat memburu muzik secara profesional.



"Kalau ada peluang mendatang, saya anggapnya sebagai bonus. Langkah selanjutnya adalah menyiapkan video muzik bagi Love Deserter," kata Yohannis.



Ditanya tentang impak penyanyi Malaysia, Shila Amzah,yang menembusi pasaran China sembilan tahun lalu setelah menjuarai peraduan realiti Asian Wave, Yohannis berkata:



"Saya pastinya memberi pujian buat Shila kerana keberaniannya mengambil risiko.



"Walau banyak susah payah dan hambatan yang dihadapi, cukup menyentuh jiwa apabila Shila diterima baik dengan tangan terbuka di China dan dalam kalangan penggemar muzik Cina.



"Beliau bertudung, tiada isu warna kulit... pasaran muzik Cina menerima kehadirannya yang menyegarkan. Shila pastinya adalah teladan dan inspirasi buat kaum minoriti yang ingin menyeberangi dan menembusi pasaran muzik bukan Melayu."




"Sebenarnya, saya tidak begitu yakin akan menjulang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik kerana ada ramai lagi finalis yang memiliki suara yang merdu. Lagi pun, saya berasakan persembahan saya pada peringkat akhir itu bukan yang terbaik."
- Yohannis Kasmani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >