Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anak Salim I teruskan legasi ayah

Mereka berusia 30-an dan 40-an tahun serta bukan dilahirkan pada era kegemilangan Tan Sri P. Ramlee dan pop-yeh-yeh. Namun, kerana sekitaran mereka dibesarkan mahupun pendedahan pada lagu 'orang lama', dua bakat Singapura ini cenderung menghasilkan versi 'cover' lagu lama seperti 'Dalam Air Terbayang Wajah'. BERITA HARIAN melaporkan tentang pelbagai usaha mengembalikan lagu nostalgia buat pendengaran generasi muda.
Jan 09, 2021 | 05:30 AM



JIWA 'orang lama' begitu menebal dalam diri Rudi Salim kerana dewasa melihat ayahnya, penyanyi pop-yeh-yeh, Salim I, membuat persembahan.



Selain mengasaskan band tradisional Nobat Kota Singa yang terkenal kerana memberi sentuhan keroncong pada lagu 'berhantu' Hael Husaini, Jampi, Rudi, 42 tahun, juga menggerakkan band The Wisma II sebagai meneruskan perjuangan ayahnya.



Salim yang meninggal dunia pada usia 71 tahun kerana barah paru-paru pada 2008 merupakan anggota kugiran The Wisma pada zaman kegemilangannya.



Lewat tahun lalu, Rudi pula terlibat dalam segmen malar segar rancangan dalam talian Lepakustika.



Beliau berpadu suara dengan gandingan serasinya, Rahimah Mohamad, 32 tahun, dalam lagu P. Ramlee dan Saloma, Dalam Air Terbayang Wajah.



Lagu ini merupakan runut bunyi bagi filem Masam-Masam Manis.



Rudi membawa watak Cikgu Sha'ari (lakonan P. Ramlee) manakala Rahimah yang lebih dikenali dengan nama pentas Imma Pink adalah Cik Norkiah (lakonan Sharifah Hanim).



Penggambaran klip video terbitah pemuzik Khairul Ilham dibuat di XY Hotel Bugis.



Kebetulan, mereka mendapat tajaan hotel bagi projek lain lantas memanfaatkan peluang berada di sana bagi membuat penggambaran video yang cukup nostalgik.



Video tersebut sudah ditonton lebih 1,000 kali sejak dimuatnaikkan lewat November lalu.



Ketika dihubungi menerusi Zoom, Rudi, anak bongsu lima beradik, berkata:



"Saya memang biasa bekerjasama dengan Khairul Ilham dan Imma. Jadi keserasian sudah terbina.



"Muzik lama ini mudah dihadam kerana dari segi susunan lagu dan liriknya pun mudah dengan penggunaan kiasan bagi melambangkan suasana kebahagiaan sesebuah percintaan. Senang 'melekat' di hati pendengar.



"Kami pun ikut macam mana dalam filem Masam-Masam Manis. Ramai yang bertanya mengapa saya tiba-tiba tinggalkan watak yang dibawa Imma di penghujung video.



"Tapi kalau kita perhatikan dalam filem pun, Cikgu Sha'ari tinggalkan Cik Norkiah selepas babak mereka menyanyi... tak tahulah dia ke mana."



Rudi sudah mula menyanyi sejak usia 10 tahun. Sebagai anak bongsu, beliau sibuk mengikuti bapanya ke sesi rakaman mahupun persembahan di Singapura dan Malaysia pada saat-saat akhir kehidupan Allahyarham.



"Sayangnya, bapa saya orangnya pendiam. Beliau tidak banyak meninggalkan pesan. Saya dan abang mendapat inspirasi meneruskan warisan seninya dengan memerhatikan perjuangannya," kongsinya lagi.



Rudi mula mengikuti abangnya menyanyi dan bermain muzik di majlis kahwin dan menerusi band rok.



Pada 2011, atas keinginan menyatukan teman-temannya yang ingin mempelajari irama Melayu tradisional, kumpulan Nobat Kota Singa dibentuk.



"Teman-teman saya main muzik rok dan rege. Mereka ingin cuba main muzik Melayu tradisional. Maka, saya usulkan agar kita gerakkan Nobat Kota Singa bersama. Mereka main melodi, saya main genderang.



"Asas lagu Melayu pun rebana dan gendang. Tahun ini, kami mencecah usia 10 tahun. Maka banyak yang dapat kami usahakan bagi meraikan pencapaian sedekad.



"Antara yang payah dilupakan adalah projek pertama 'Aspirasi Inspirasi' di mana kami memberi sentuhan keroncong pada lagu Jampi.



"Tak sangka ia tular dan mendapat sambutan di luar jangkaan daripada pencinta muzik di Nusantara," tambahnya.



Sejak dimuatnaikkan di YouTube, klip keroncong Jampi itu sudah disaksikan lebih 108,000 kali.



Rudi yang juga pernah mengusahakan persembahan menjunjung budi Pujaan Hatiku bagi menyajikan lagu-lagu arwah bapanya di Esplanade pada 2015 berharap banyak penganjur akan tampil mengembalikan nostalgia lagu klasik.



"Kami sebagai generasi yang sukakan lagu-lagu lama berharap usaha mengembalikan lagu lama 1950-an dan 1960-an pada 2021 ini dapat dirancakkan dengan penganjur acara memberi ruang buat irama sebegini yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas," tambahnya.




“Muzik lama ini mudah dihadam kerana dari segi susunan lagu dan liriknya pun mudah dengan penggunaan kiasan bagi melambangkan suasana kebahagiaan sesebuah percintaan. Senang ‘melekat’ di hati pendengar.”
– Rudi Salim.




"Apabila saya memulakan sajian hiburan dalam talian yang saya panggil Lepakustika, saya tak sangka pendekatan yang diambil dalam menghasilkan 'cover' lagu-lagu lama ini menarik perhatian ramai.

Ada bakat lama yang ingin kembalikan nostalgia dengan meminta saya menghasilkan klip video buat mereka.

Ada juga anak muda yang berminat menghidupkan semula muzik retro dengan sentuhan mereka sendiri.

Saya kira inilah masanya lagu-lagu lama yang mudah dihadam dengan lirik berkiasan tentang alam bercinta atau kehidupan dapat benar-benar memberi impak pada pelbagai lapisan generasi.

Di Barat atau mana-mana pun, lagu lama kekal malar segar dan digemari generasi muda yang inginkan kelainan."

- Pemuzik dan pengendali program mengenang nostalgia dalam talian 'Lepakustika', Khairul Ilham.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >