Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Anak titipan lahir ceria dalam hidup

Feb 21, 2021 | 05:30 AM



KEHIDUPAN pasangan suami isteri Cik Nur Halimah Ali dan Encik Muhammad Najib Mohyah, kededuanya 37 tahun berubah pada 2018, selepas permohonan mereka untukmenjadi ibu bapa titipan diluluskan.



Pasangan itu, yang tidak mempunyai cahaya mata, memutuskan untuk menjadi ibu bapa titipan selepas menghadiri satu pameran bergerak mengenai Skim Keluarga Titipan anjuran Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).



Skim tersebut, yang memadankan kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah dengan keluarga titipan, bertujuan menyediakan tempat jagaan sementara yang selamat bagi kanak-kanak sedemikian.



"Selepas berbincang, hati kami terbuka untuk menghulur bantuan dengan menyediakan sekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dalam skim itu.



"Kami juga mendapat restu kededua ibu bapa kami, kata Cik Nur Halimah, yang menjual mentega berperisa dari rumah.



Kini, anak titipan yang dijaga pasangan tersebut sejak anak itu berusia 16 bulan, menghadiri tadika seperti ramai kanak-kanak lain yang seusianya.



Ternyata hubungan antara pasangan itu dengan anak titipan mereka amat mesra.



Anak titipan mereka memilih untuk memanggil Cik Nur Halimah dengan gelaran 'mummy' sementara Encik Muhammad Najib digelarnya 'daddy'.



"Kami banyak meluangkan masa dengannya di rumah atau taman permainan. Dia seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif dan bersikap ingin tahu," ujar Cik Nur Halimah.



Kehidupan keluarga kecil itu kini stabil, tetapi semasa anak titipan itu mula-mula dijaga, pasangan tersebut menghadapi cabaran.



Bagi beberapa bulan pertama, anaknya itu akan terjaga daripada lena pada tengah malam dan menangis tanpa henti.



"Kami percaya ia saat mencabar buatnya kerana dia sedang cuba menyesuaikan diri dengan sekitaran baru dan mungkin berasa kehilangan. Tapi keadaan ini hanya ketara pada waktu malam dan bukan pada siang hari, di mana dia ceria dan bermain seperti kanak-kanak lain.



"Justeru, kami bersabar dan cuba memperoleh kepercayaannya dengan melayan kerenahnya, bermain dan berkomunikasi dengannya," jelas Cik Nur Halimah.



Di samping itu, Cik Nur Halimah dan suaminya juga mendapat sokongan keluarga selain meminta nasihat dan perkongsian daripada ibu bapa titipan lain cara menambat hati anak titipan itu.



Cik Nur Halimah masih ingat lagi saat pertama beliau bertemu anak titipannya itu.



"Saya berasa ghairah dan gentar pada masa yang sama. Suami saya pula terpaksa bekerja dan tidak dapat bercuti pada hari tersebut.



"Mujurlah adik ipar perempuan saya yang bertugas sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak dapat menemani saya.



"Saya ingat lagi, wajah kanak-kanak kecil berusia 16 bulan yang comel dan bertutur "bahasa" bayi itu," kata Cik Nur Halimah, lalu tersenyum, senang hati.



Tahun lalu, Cik Nur Halimah mendapati anaknya itu mengalami kesukaran untuk meluahkan emosi dan sebaliknya mencubit dirinya sendiri jika dia berasa marah atau kecewa.



Atas nasihat pekerja sosial, Cik Nur Halimah memberi anak titipan mereka sebiji lemon untuk digenggam, sebagai alat menenangkan diri dan juga untuk mengalihkan perhatiannya kepada benda lain.



Kaedah itu tampaknya telah membantu anak mereka itu, kata Encik Najib.



"Kami juga berhubungan dengan keluarga titipan yang lain supaya kami boleh mendapat tip atau nasihat pada saat-saat memerlukan," ujarnya.



Dari mula perjalanan sebagai ibu bapa titipan, beliau dan isteri masih mendapat sokongan daripada pusat titipan Oasis yang dikendalikan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).



PPIS Oasis, yang ditubuhkan pada 2017, adalah agensi titipan ketiga yang dilantik MSF.



Antara lain, pusat itu menyediakan khidmat sokongan, pengurusan kes kerja dan terapi bagi ibu bapa titipan sepanjang perjalanan mereka menjaga anak titipan.



"Kami bersyukur kerana pekerja sosial PPIS Oasis akan menghubungi atau mengunjungi kami di rumah untuk bertanya khabar dan memastikan agar kami tidak mengalami sebarang masalah," kata Cik Nur Halimah.




CIRI-CIRI JADI IBU BAPA TITIPAN



Anda dan pasangan anda layak jika anda:



- Sudah berkahwin

- Sihat secara medikal

- Boleh memastikan sekitaran yang selamat untuk kanak-kanak

- Berpendidikan minimum sekolah menengah

- Pendapatan isi rumah minimum $2,000 dan pendapatan per kapita minimum $700

- Berusia 25 tahun ke atas



APAKAH SOKONGAN YANG AKAN DITERIMA IBU BAPA TITIPAN?



- Sesi latihan

- Sokongan tetap daripada pegawai sosial

- Talian kecemasan 24 jam

- Manfaat cuti jagaan anak

- Kad Pengecualian Yuran Perubatan (MFEC) untuk kegunaan kanak-kanak itu di poliklinik dan hospital pemerintah

- Subsidi bagi jagaan kanak-kanak dan jagaan pelajar

- Elaun bulanan untuk membiayai perbelanjaan kanak-kanak titipan



JIKA BELUM BERSEDIA, ANDA JUGA BOLEH:



- Jadi relawan

- Kongsi maklumat mengenai ibu bapa titipan dengan rakan atau ahli keluarga

- Hubungkan pusat Oasis dengan kumpulan masyarakat atau rakan kerja anda




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >