Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Andalus, Cordova progresif, mantap dan diyakini masyarakat

Dec 12, 2020 | 05:30 AM



MELALUI pengajian di Pusat Pendidikan Andalus (Andalus), ketiga-tiga anak Cik Rohana Jaynon Abidin, 43 tahun, suri rumah, telah mengamalkan apa yang mereka pelajari di rumah.



Demikian yang diperhatikan Cik Rohana terhadap anak-anaknya yang telah menyertai program Andalus sejak peringkat awal - anak sulung dan keduanya memasuki Andalus sejak peringkat prasekolah, manakala anak bongsunya bermula dengan program Kelas Bimbingan Kanak-kanak.



Kini, anak-anaknya, Encik Imad Fayez, pelajar politeknik, berada di program Diploma Pengajian Islam (DPIA); Iyad Syarf yang telah menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O', mengikuti program Kelas Bimbingan Menengah (KBM); dan Ifad Aayan, bakal memulakan pengajian peringkat menengah satu di kededua sekolah pemerintah dan Andalus pada tahun depan.



"Oleh kerana saya dan suami inginkan anak-anak kami mempunyai ilmu duniawi dan ukhrawi, kami telah menghantar mereka ke kelas agama sejak mereka kecil lagi.



"Kami memilih Andalus kerana ia adalah salah satu pusat pendidikan Islam yang boleh dipercayai, mempunyai program yang sistematik dan teratur. Para asatizah mereka juga bertauliah dan terdaftar di bawah ARS," kata Cik Rohana.



ARS merujuk pada Skim Pengiktirafan Asatizah.



"Ustazah kami juga memastikan agar kami tidak merasa bosan di dalam kelas dengan mengadakan kuiz atau perbincangan kumpulan tentang sesuatu topik dan mempersembahkan topik tersebut di dalam kelas," kata Iyad Syarf yang berminat melanjutkan pengajian Islam ke peringkat diploma.



Di Fasa Dua (selepas litar putus), kelas Iyad Syarf dibahagikan kepada dua kumpulan, di mana, sebuah kumpulan akan menghadiri kelas secara fizikal, manakala kumpulan kedua akan belajar secara online. Ini bagi memastikan jarak selamat terjaga dan pengajian dapat terus diikuti secara efektif.



Seorang lagi pelajar Andalus tidak berasa segan kembali mempelajari pengajian Islam asas walaupun sudah lanjut usia sekitar tiga tahun lalu.



Cik Zaiton Begum Sardar Mohamad, 54 tahun, guru prasekolah, berasa terdorong untuk mempertingkatkan ilmu ukhrawi dengan lebih lanjut selepas beliau mengikuti kursus sijil pendidikan Islam anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) buat pendidik aLIVE.



"Saya berasa diri saya seakan kekurangan pengetahuan dan bertekad hendak mempelajari pengajian Islam secara berstruktur. Jadi, saya mendaftar di Andalus dan disarankan agar saya mula dengan program Pra Diploma Pengajian Islam," kata Cik Zaiton, ibu kepada tiga anak berusia 21, 22 dan 24 tahun.



Program Pra Diploma Pengajian Islam (PPI) Andalus adalah program pengajian Islam separuh masa peringkat dewasa. Program ini juga ditawarkan di Pusat Pendidikan Cordova.



Pusat Pendidikan Cordova merupakan syarikat kerabat Andalus yang telah ditubuhkan pada 1999 dan turut mengelolakan program pengajian Islam dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa.



Sejurus selesai program PPI, Cik Zaiton kini melanjutkan pengajian pula di peringkat Diploma menerusi program Diploma Pengajian Islam Andalus (DPIA). Di samping pengajian ilmu-ilmu teras agama dalam pengkhususan tersendiri seperti al-Quran, al-Hadith dan al-Syariah dan Aqidah, DPIA juga menekankan aspek mengaplikasikan ilmu-ilmu dalam konteks semasa.



"Apabila saya bercampur dengan orang lebih muda, saya dapat mengetahui cara mereka berfikir dan saya juga boleh berkongsi pengalaman saya sebagai seorang yang lebih berumur," ujar Cik Zaiton.



Menurut Pengurus Kanan Andalus Cawangan Tampines 1, Ustazah Zulaikha Ishak, kurikulum yang ditawarkan dalam program-program Andalus berstruktur sesuai dengan keperluan dan konteks di Singapura. Buku-buku teks pelajar juga adalah hasil terbitan dari syarikat kerabat Andalus, Darul Andalus.



Menggalakkan pendidikan Islam bermula dari peringkat awal kanak-kanak, Ustazah Zulaikha berkata:



"Dengan cabaran yang ada, di mana anak-anak sudah terdedah dengan pelbagai pengaruh sejak awal lagi, pendidikan Islam dapat menjadi bekalan buat anak-anak. Pada usia kecil, kanak-kanak lebih mudah menyerap ilmu.



"Justeru, adalah baik jika kita dapat mendedahkan anak-anak pada kepentingan agama sejak awal lagi. Misalnya, jika mereka pergi ke kelas agama seminggu sekali, mereka didedahkan dengan nilai-nilai Islam dan meraih pengalaman yang berbeza", kata Ustazah Zulaikha.



Andalus mula beroperasi pada tahun 1996 di Bukit Batok dan kini beroperasi di 16 buah cawangan serata Singapura. Manakala, Cordova pula mempunyai lapan cawangan di dua lokasi (Pasir Ris dan Hougang)".



Cawangan-cawangan tersebut diurus oleh pengetua-pengetua yang berkelulusan dan berkemahiran. Mereka dibantu oleh para asatizah dari latar belakang pelbagai universiti Islam dan mempunyai sijil kelayakan ARS.



Ia menawarkan pengajian Islam berstruktur mengikut urutan peringkat dari peringkat awal untuk kanak-kanak hingga ke golongan dewasa.




"Dengan cabaran yang ada, di mana anak-anak sudah terdedah dengan pelbagai pengaruh sejak awal lagi, pendidikan Islam dapat menjadi bekalan buat anak-anak. Pada usia kecil, kanak-kanak lebih mudah menyerap ilmu.''
- Ustazah Zulaikha Ishak, Pengurus Kanan Andalus Cawangan Tampines 1.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >