Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Apabila kuasa di jari peminat... Cukupkah populariti demi majukan seni?

Gaya Hidup
31
0

ANALISIS SENI: ANUGERAH MELETOP ERA 2020

Apabila kuasa di jari peminat... Cukupkah populariti demi majukan seni?

Dec 22, 2020 | 05:30 AM

INGIN dikenali ramai meskipun kemahiran seni biasa-biasa sahaja atau ingin disegani kerana memang hebat menyanyi atau berlakon?

Soalan ini sering saya tanyakan kepada bakat seni setiap kali mewawancara mereka.

Sebilangannya menjawab:

"Kalau boleh, nak popular dan diiktiraf terbaik dalam kerja seni.

"Macam Tok Ti (panggilan manja buat Datuk Seri Siti Nurhaliza). Beliau pernah bolot anugerah vokal terbaik dan anugerah paling popular."

Siti Nurhaliza memang bintang satu dalam sejuta yang miliki pakej suara, rupa dan hemah.

Namun sejak akhir-akhir ini, dalam era Instagram, Facebook dan Twitter, saya dapati semakin banyak majlis anugerah selebriti condong ke arah kepopularan.

Kuasa jari-jemari peminat untuk mengundi dalam talian menentukan segalanya. Semakin ramai peminat yang gigih mengundi, semakin cerah harapan artis berkenaan menangi anugerah dambaan.

Keputusan Anugerah MeleTOP Era kelmarin yang menyaksikan juara Gegar Vaganza 2, Siti Nordiana Alias (Nana) dan penggubah lagu dan penyanyi muda, Haqiem Rusli, dipilih sebagai pemenang Top Top MeleTOP (Wanita dan Lelaki) membuktikan sokongan padu peminat membuahkan hasil.

Inilah dunia baru di mana bilangan pengikut Instagram, misalnya, menentukan peluang rezeki si artis, baik dalam menjayakan drama, dilamar sebagai pengacara atau mendapat lamaran duta produk.

Saya misalnya kurang mengenali pengisi kandungan video, Syahmi Sazli, yang diberi Anugerah Pempengaruh Sosial MeleTOP.

Namun, inilah peneraju filem Mael Totey The Movie terbitan Astro First yang berjaya mengumpulkan RM5 juta ($1.6 juta) dalam masa 12 hari tayangan di saluran bayar bagi setiap tontonan, Astro First.

Ia kemudian memecahkan rekod Polis Evo dan Hantu Kak Limah dengan kejayaan meraih RM6.4 juta sejak ditayangkan 22 Oktober lalu.

Syahmi mempunyai 2.3 juta pengikut Instagram dan juga duta kopi pelangsing badan.

Peminatnya Ani Misnani menyifatkan sensasi YouTube itu sebagai jujur, ikhlas dan berpijak di bumi nyata serta tidak tangkap glamor walau tidak setampan Hero Malaya lain.

Ada juga komen kurang senang dengan kemenangan Nana yang mengulangi kejayaan tahun lalu di AME.

"Balik-balik muka sama. Orang bising-bising juri profesional di Anugerah Juara Lagu pilih bulu...peminat pun dua kali lima... asyik pilih artis sama jadi pemenang," bentak warganet MisterTouchScreen.

Ada juga yang mempertikai bagaimana Nana boleh meraih Anugerah Artis Versatil MeleTOP, menewaskan Elly Mazlein yang dirasakan lebih tular dan menghiburkan sebagai pelakon, pengacara dan penyanyi.

Berbekal persona selambanya dalam drama Kampung People, Elly mencipta trend dengan mengajukan cabaran lagu Empat Dara malah bekerjasama dengan Faizal Tahir dan Zizi Kirana bagi menghidupkan lagu klasik tersebut.

Namun, sekali lagi inilah kuasa peminat kerana ramai sedia maklum Nana miliki kumpulan peminat yang gigih dan dewasa bersama lagu-lagunya dari zaman duet dengan arwah Achik Spin lagi.

Bagaimanapun, untuk memberi Nana kredit atas kemenangannya, inilah kerja keras seorang penyanyi yang bermula sebagai bakat remaja pada 1999.

Bukan mudah bangkit semula selepas pasang surut kehidupan. Kisahnya sebagai ibu tunggal bersemangat waja menjadi inspirasi buat peminat.

Nana juga mampu berdiri sama tinggi (dari segi kepopularan) dengan bakat baru seperti Khai Bahar dan Haqiem Rusli.

Lagu Satukan Rasa yang menggabungkan vokalnya dengan Khai, anak muda kegilaan ramai lebih memperkasa dan mengembalikan Nana sebagai bakat yang disayangi.

Sungguhpun media sosial boleh membuat artis tampan dan cantik tetapi kurang bakatnya jauh lebih popular, bagi membawa industri muzik Nusantara ke depan, bakat dan usaha tetap 'raja' dalam sektor seni.

Haqiem, pada usia 22 tahun, adalah contoh anak muda yang menggagahi 'kekejaman' dunia warganet yang pantas mengecam untuk bergelar antara komposer berbakat hari ini. Potensi besarnya dan keikhlasan hatinya dalam berkarya membuatkan beliau dikagumi.

Satu kajian Nielsen awal tahun ini mendedahkan penonton sudah mula bosan dan muak dengan anugerah tahunan yang mengiktiraf karyawan seni terbaik.

Anugerah Academy mencatat kemerosotan 20 peratus bilangan penonton. Kemerosotan juga dilihat pada tontonan Anugerah Emmy (jatuh 32 peratus) dan Anugerah Grammy (merosot 5 peratus). Generasi muda dikatakan lebih tertarik pada anugerah populariti yang santai.

Keseimbangan itu perlu dalam mengiktiraf yang terkenal dengan yang bermutu. Kepopularan sahaja tidak boleh dijadikan kayu ukur dalam menentukan siapa yang wajar menghiasi kaca televisyen.

Sebagai penonton, kita pun harus bijak memilih santapan hiburan. Sebab bimbang jika kepopularan tanpa bakat sahaja dijunjung, suatu ketika nanti sukar mencari legenda seni dengan karya bernilai estetika.

Siapa lagi selepas Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang mampu menaik tarafkan seni sebagai penerang jalan dan penyebar kemanusiaan?

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3