APABILA hero pujaan drama Malaysia Remy Ishak akhirnya menamatkan zaman bujang, ramai peminat meluahkan perasaan. Ada yang berkongsi kegembiraan, ada yang kecewa dan tidak kurang ada yang sanggup merakamkan video dengan pelbagai kerenah yang mencuit hati.
Ini dikongsi oleh peminat pelakon popular itu di media-media sosial termasuk Tik Tok dan Instagram.
Remy sendiri mengakui menerima banyak kiriman video dan ucapan daripada para peminatnya dan baginya, ia merupakan hadiah yang cukup menggembirakan dan merasakan dirinya amat disayangi.
Beliau, bagaimanapun, memohon maaf kepada peminat yang benar-benar kecewa dengan keputusannya untuk bergelar suami orang.
Ada peminat yang betul-betul kecewa dengan keputusannya untuk berumah tangga.
"Sejak dua hari lepas banyak betul mesej kawan-kawan dan famili yang forward video seperti ini.
"Saya tahu mereka semua adalah peminat dan penyokong yang bergurau untuk menceriakan hati saya. Tapi kalau ada yang patah hati tolong maafkan saya," ujarnya di Instagram.
Remy, atau nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, 39 tahun, telah selamat menjadi suami kepada pereka fesyen kasut, Ezza Yusof, pada Sabtu lalu.
Majlis akad nikahberlangsung secara tertutup di Masjid Negara, Kuala Lumpur, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ezza merupakan wanita yang telah dikenali Remy selama lapan tahun dan mereka pernah bertunang pada 2017, tetapi mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing dua tahun kemudian.
Bagaimanapun, hubungan mereka dikatakan kembali pulih tahun ini selepas Remy membuat kejutan meraikan hari jadi Ezza di sebuah restoran.
Hero siri drama Pujaan Hati Kanda itu turut memuat naik sebuah video yang memperlihatkan seorang wanita sedang bersedih dengan iringan lagu nyanyian Rossa berjudul Hati Yang Kau Sakiti.
Menerusi video berkenaan turut disertakan sebuah artikel terbitan mStar bertajuk "Remy nikah Sabtu ini, Ezza Yusof pilihan hati - baik dan buruk dia saya tahu."
Dalam pada itu, Remy berkata, biarpun sudah bergelar suami orang, beliau tetap akan meneruskan kerjaya lakonan dan menghiburkan peminat-peminatnya.
"Insy-Allah saya akan tetap menghiburkan anda semua dalam projek yang akan datang.
"Terima kasih semua kerana masih setia bersama saya," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, dalam wawancara dengan media, Remy berkata beliau memilih Ezza sebagai permaisuri hatinya kerana sifat toleransi dan sentiasa di sisinya dalam 'jatuh bangun' kehidupannya.
Selama ini, ada wanita kenal saya sebagai 'Remy Ishak', bukan Mohammad Zalimei Ishak. Ezza ini lain... Dia boleh bertahan dengan status dan pekerjaan yang saya buat.
"Jika diikutkan, ketika kami putus hubungan, saya ada kenal beberapa wanita lain. Hakikatnya mereka tidak sama dengan dia.
"Ezza ada di sisi 'jatuh bangun' saya... Pendek kata, Ezza terus cuba memahami saya.
"Sama juga perasaan saya terhadapnya. Masing-masing cuba berubah untuk menjadi lebih baik untuk diri sendiri dan orang lain.
"Ezza juga terbuka dan menenangkan saya ketika berdepan kontroversi atau gosip," katanya pada sidang media virtual minggu lalu. Majlis itu hanya dihadiri pasangan mempelai, wali dan jurunikah.
Remy, yang mendapat jolokan 'Hero Malaya', mengakui serasi dengan Ezza yang berasal dari Mentakab, Pahang, dan mahu hubungan mereka kekal hingga ke akhir hayat.
"Proses mencari suri hati jadi lama dan rumit. Saya hendak hubungan sampai ke akhir hayat. Saya lahir dalam keluarga di mana ibu bapa berpisah. Perceraian menjadi suatu perkara trauma kepada saya.
"Saya tidak mahu perkara yang berlaku kepada ibu bapa terjadi dalam hidup sendiri. Saya kena teliti dan selektif. Kita berkahwin bukan sehari dua, tetapi insya-Allah, selama-lamanya.
"Bayangkan, orang biasa pun hendak mengekalkan perkahwinan sukar. Apatah lagi saya yang bergelar artis. Saya takut pada mulanya kalau Ezza tidak boleh faham cara kerja dan pandangan segelintir masyarakat terhadap artis," katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Tambah Remy, pandemik Covid-19 sejak tahun lalu memberi hikmah yang membuka matanya dalam soal masa depan dan hidup berumah tangga.
"Kalau saya sibuk bekerja dan berlakon, mungkin soal kahwin tidak diberi perhatian. Situasi ini bagai isyarat yang membuka mata saya untuk menghargai bakal isteri.
Jika diikutkan, ketika kami putus hubungan, saya ada kenal beberapa wanita lain. Hakikatnya mereka tidak sama dengan dia. Ezza ada di sisi 'jatuh bangun' saya... Pendek kata, Ezza terus cuba memahami saya. Sama juga perasaan saya terhadapnya. Masing-masing cuba berubah untuk menjadi lebih baik untuk diri sendiri dan orang lain. Ezza juga terbuka dan menenangkan saya ketika berdepan kontroversi atau gosip.
- Remy Ishak, yang telah bernikah dengan pereka fesyen kasut, Ezza Yusof, pada Sabtu lalu.