Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ARTIS SEBERANG

Wanita hebat bawa inspirasi dalam hidup Ernie

Vokalis bersuara buluh perindu idamkan duet dengan 3 bintang wanita, hargai guru vokal, kenang jasa ibu mentua
Sep 09, 2021 | 05:30 AM



ALANGKAH bertuahnya Puteri Buluh Perindu, Ernie Zakri, kerana memiliki pasangan duet yang sama handal dalam soal vokal.



Jika teman seiring jalan yang kini suaminya, Syamel, merupakan gandingan serasi bagi lagu Aku Cinta serta Goodbye Hello, satu lagi duet 'power', Berakhirlah Pencarianku, dijana bersama nama besar dalam industri seni, Hafiz Suip.



Namun, dalam satu wawancara Zoom bersamanya, Ernie melahirkan keinginan merakam duet bersama tiga wanita hebat dalam dunia muzik Malaysia.



Dalam era pemerkasaan wanita kini, beliau turut berkongsi kenangan lima bulan yang bermakna dengan arwah ibu mentuanya, nasihat guru vokalnya Datuk Syafinaz Selamat serta peranan kumpulan bantu diri selebriti wanita yang menggelar diri mereka The Khadijahs.



Perkongsian mereka dipapar dalam wadah penstriman Nurflix.



Ikuti wawancara bersama Ernie, 29 tahun, yang diselaraskan label rakaman Universal Music, baru-baru ini.



Soalan (S): Ceritakan serba sedikit tentang duet terkini Ernie bersama Hafiz, 'Berakhirlah Pencarianku'. Bagaimana ia tercetus?



Ernie: Kami mendapat respons positif selepas digandingkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun lalu. Kerjasama pada malam itu memang sangat 'best'.



Dari dahulu saya memang menyanjung bakat Abang Hafiz. Ia satu peluang yang tidak disangka-sangka bagi merakam duet ini bagi runut bunyi drama Kisah Cinta Kita.



Awalnya, saya terfikir sesuaikah nak lancarkan kerjasama ini sebab tak nak pula bertembung dengan kerja promosi duet saya dan Syamel, Goodbye Hello.



Namun, selepas berbincang dengan Syamel dan juga pihak pengurusan saya, Rocketfuel Entertainment, kami anggap ini sebagai peluang keemasan dan rezeki dalam melihat kerjaya solo saya juga berkembang. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.



S: Apakah pengertian lagu ini buat Ernie?



Ernie: Besar sebenarnya pengertiannya. Kalau ramai boleh kaitkan diri mereka dengan kisah percintaan dan mencari jodoh dan akhirnya berjumpa juga dengan insan idaman, ada juga yang mentakrifkannya dengan lagu ketuhanan atau hubungan dengan Sang Pencipta.



Bagi saya pula, ia lebih pada kisah peribadi saya dengan penemuan apa yang saya cari-cari selama ini.



S: Cakap tentang rumah tangga, apa yang Ernie pelajari sepanjang lima bulan bergelar isteri?



Ernie: Banyak sangat tetapi saya lebih kepada perihal komunikasi, bertolak ansur dan kesabaran.



Maklumlah kalau kita bercinta lama-lama dan belum kahwin atau tidak duduk serumah, ada banyak lagi yang kita perlu kenali tentang pasangan kita.



Hari demi hari sangat menarik untuk lebih tahu tentang suami saya, Syamel. Lebih utama, saya temui kesabaran dalam diri saya sepanjang tempoh kami berumah tangga sejauh ini.



Kami sudah saling bekerjasama sejak 2016. Syamel sebagai rakan duet dan Syamel sebagai suami tak banyak beza. Beliau mudah diajak berbincang. Mungkin cita rasa kami berbeza dari segi muzik tetapi selalunya dapat cari titik tengah dalam menyesuaikan muzik yang ingin disampaikan.



S: Ernie miliki rakan duet yang hebat, baik Syamel mahupun Hafiz. Ada lagi rakan duet pilihan?



Ernie: Ada ramai tetapi semuanya vokalis wanita yang memang saya kagumi.



Saya ingin sangat berduet dengan Kak Dayang Nurfaizah, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aina Abdul.



Saya penuh dengan cita-cita. Doakanlah ya agar apa yang saya utarakan kepada label rakaman menjadi.



Saya memang anggap Kak Dayang sebagai idola saya. Datuk Seri Siti pula memang bukan calang-calang dengan profil yang sangat dikagumi. Siapalah tak nak duet dengannya? Aina pula rakan baik saya. Kami berduet dalam Anugerah MeleTOP-Era. Ia meninggalkan kenangan sangat manis walau sebentar sahaja.



S: Walau hanya lima bulan bergelar menantu kepada Allahyarhamha Wan Faaizah Karim yang meninggal dunia baru-baru ini, apakah antara pesanannya yang terpahat dalam ingatan Ernie?



Ernie: Arwah Ummi memang seseorang yang suka berpesan. Setiap kali duduk bersamanya, beliau pasti akan cakap macam-macam tentang panduan menjaga diri, menjaga keluarga dan menjaga suami.



Lagipun, Syamel anak kesayangannya dan merupakan anak lelaki sulung. Awalnya, saya segan tetapi lama-kelamaan, hubungan kami memang akrab.



Lima bulan bergelar menantu Ummi terasa sangat lama dan bermakna kerana beliau selalu berpesan tentang doa mendapatkan zuriat yang baik. Saya akan hargai kata-kata hikmah Ummi sampai bila-bila.



S: Pasang surut rezeki seseorang itu sudah ditentukan Tuhan. Ernie bermula menyanyi secara profesional pada 2009 tetapi hanya beberapa tahun lalu, nama Ernie lebih menyerlah. Apa pengajaran yang Ernie raih?



Ernie: Dalam tempoh 12 tahun, walaupun rezeki Ernie sedikit berbeza kini, boleh dikatakan saya belum berpuas hati kerana baru memberi dua tiga 'single' sahaja.



Saya sentiasa cuba berfikiran positif. Dahulu, ada tempoh saya asyik menyalahkan orang lain. Saya akur kesabaran itu penting. Memang mudah untuk orang cakap sabar kepada kita tetapi pada akhirnya, saya pegang pesanan seseorang yang saya hormati di Singapura, 'Kesabaran itu sangat manis'.



Dengan nyala rasa yang saya miliki dan niat ikhlas menyanyi demi membantu keluarga, sampai sekarang saya tak pernah rasa mudah putus asa.



S: Ceritakan impak kumpulan sokongan The Khadijahs dalam hidup Ernie.



Ernie: Alhamdulillah, saya diundang menyertai kumpulan perkongsian dalam kalangan penggiat seni wanita di Malaysia ini tahun lalu. Pada masa itu, saya baru berhijab tetapi kumpulan ini juga terbuka buat artis tidak berhijab.



Awalnya, tak tahu apa matlamatnya. Namun, selepas masuk kumpulan WhatsApp, saya rasa banyak ilmu yang saya perolehi. Kadang kita malu nak bertanya tetapi dalam kumpulan ini kita boleh rujukkan pertanyaan tentang isu wanita atau agama kepada yang lebih tahu sebab ada juga asatizah yang boleh membantu memberi jawapan.



Kebetulan, ada program di Nurflix. Saya anggap kumpulan ini sebagai tulang belakang yang menyokong dan memberi aura yang positif dalam tempoh sulit yang dihadapi dek krisis kesihatan Covid-19 kini.



S: Bagaimana Datuk Syafinaz sebagai guru memberi inspirasi buat Ernie?



Ernie: Saya belajar daripada beliau tentang cara mengulas secara membina dan bersandarkan ilmu apabila diundang sebagai pengadil dalam rancangan adu bakat realiti. Selain peserta, penonton pun perlu belajar sesuatu.



Datuk Syafinaz sebagai guru vokal tegas dan garang. Beliau memiliki sikap disiplin dan rajin menimba ilmu walaupun sudah bergelar 'maestro'. Semangat gigih belajar sebeginilah yang akan saya terapkan dalam diri saya.




"Saya ingin sangat berduet dengan Kak Dayang Nurfaizah, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aina Abdul.

Saya memang anggap Kak Dayang sebagai idola saya. Datuk Seri Siti pula memang bukan calang-calang dengan profil yang sangat dikagumi. Siapalah tak nak duet dengannya? Aina pula rakan baik saya. Kami berduet di Anugerah MeleTOP-Era. Ia meninggalkan kenangan sangat manis walau sebentar sahaja."

- Ernie Zakri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >