Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Asah kemahiran sebagai tukang kayu setelah diberhentikan

Lebih ramai tukang kayu diperlukan firma
Sep 06, 2020 | 05:30 AM



SUDAH lebih tiga tahun, Encik Mohd Anwar Rafiee bekerja sebagai seorang guru seni di sebuah studio seni tempatan sebelum beliau diberhentikan kerja Mei lalu akibat Covid-19.



Pemberhentian kerja itu menyentak pemuda berusia 39 tahun itu.



Pada mulanya, beliau tidak tahu langkah selanjutnya tetapi beliau teringat dengan minat beliau dalam bidang pertukangan kayu.



Walaupun sudah lama minat dalam bidang itu, beliau tidak pernah mencari peluang mempelajari kemahiran itu sehinggalah beliau bertemu dengan pemilik syarikat pertukangan kayu Hue & M milik Encik Herdi Man Sa'adon.



Secara kebetulan, Encik Herdi memerlukan tukang kayu memandangkan permintaan tinggi di Singapura yang menghadapi pekerja terhad akibat ramai yang masih berada di luar negara.



Encik Anwar mengambil peluang itu untuk mempelajari kemahiran seni pertukangan kayu selama sebulan daripada Encik Herdi dan digajikan dalam Hue & M.



"Apabila saya diberhentikan kerja, saya agak tidak menentu memandangkan pendidikan yang tidak tinggi dan usia saya. Tetapi, sejak dulu, saya memang minat dalam bidang seni dan apa jua wadah dari ilustrasi digital hinggalah lukisan.



"Seni kayu ini, bagi saya, merupakan satu cabang seni yang ingin saya pelajari. Saya mendapat inspirasi daripada seorang tukang kayu Amerika, Alex Yanes, yang membuat ukiran kayu menjadi satu mural kayu yang cukup indah,'' kata Encik Anwar, yang mempunyai kelulusan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam bidang rekaan media digital.



Mempelajari seni pertukangan kayu daripada Encik Herdi memberikan beliau banyak kepuasan.



Selama sebulan mempelajari seni itu, beliau telah dapat membuat pertukangan kayu seperti kabinet dapur dan almari bilik.



Baru-baru ini, beliau juga terlibat dalam menyediakan prop bagi set konsert digital Keroncong Asmara diCyclo Studio By The Apparatus.



"Menggunakan kayu, saya mengukir pokok kelapa dan rumah atap bagi konsert itu. Ia cukup memuaskan,'' ujarnya.



Mengongsi pasaran pertukangan kayu di Singapura, Encik Herdi berkata pasaran itu banyak dipelopori tukang-tukang kayu dari Malaysia yang tidak dapat menyediakan khidmat disebabkan sekatan antara sempadan akibat Covid-19.



"Boleh dikatakan permintaan bagi khidmat pertukangan kayu yang saya perolehi meningkat 50 peratus sejak pekerja-pekerja dan firma dari Malaysia ini tidak dapat sediakan khidmat. Sebelum ini, orang kita tidak berminat dalam kerja pertukangan kayu kerana kerjanya agak manual. Tetapi, kini kami lihat mereka lebih terbuka,'' kata Encik Herdi.



Beliau telah mendapatkan empat pekerja baru yang sebelum ini tidak mempunyai kemahiran dalam bidang pertukangan kayu tetapi diberi latihan olehnya.



Bagi memenuhi permintaan lebih tinggi, beliau merancang mendapatkan lagi lapan pekerja.



"Kami juga mempunyai dua pelajar politeknik dan institusi kesenian dalam pengajian teater yang bekerja sambil belajar dengan kami. Oleh kerana Covid-19, mereka sepatutnya bekerja dengan syarikat teater tetapi peluang itu tidak dapat disediakan disebabkan wabak ini yang menjejas industri teater. Oleh itu, mereka dihantar untuk bekerja sambil belajar dengan kami,'' tambahnya.



Individu yang baru menjalani latihan boleh dibayar $10 sejam selama lapan jam tetapi gajinya boleh meningkat sehingga $3,000 bagi yang berkemahiran.



"Pertukangan kayu ini merupakan satu kemahiran yang diperlukan bila-bila masa. Ia merupakan satu kemahiran kehidupan yang boleh menjana duit di sini dan luar negara,'' tambah Encik Herdi.




"Apabila saya diberhentikan kerja, saya agak tidak menentu memandangkan pendidikan yang tidak tinggi dan usia saya. Tetapi, sejak dulu, saya memang minat dalam bidang seni dalam apa jua wadah dari ilustrasi digital hinggalah lukisan. Seni kayu ini, bagi saya, merupakan satu cabang seni yang ingin saya pelajari. Saya mendapat inspirasi daripada seorang tukang kayu Amerika, Alex Yanes, yang membuat ukiran kayu menjadi satu mural kayu yang cukup indah.''
- Encik Mohd Anwar Rafiee




BANTUAN UNTUK PEKERJA YANG DIBERHENTIKAN



• INISIATIF PEKERJAAN SGUNITED



- Sekitar 40,000 pekerjaan disediakan tahun ini

- https://www.wsg.gov.sg/SGUnited.html



• PROGRAM PENEMPATAN DAN LATIHAN



- Program kerja sambil belajar; peserta meluangkan sebahagian masa kerja menjalani latihan

- https://e2i.com.sg/individuals/place-and-train-programme/



• PROGRAM LALUAN PERTENGAHAN KERJAYA SGUNITED



- Sebanyak 14,500 program latihan disediakan khusus bagi mereka yang ingin cari kerja agar mereka boleh mendapat pengalaman industri yang relevan sementara menunggu pekerjaan tetap

- Boleh terima elaun latihan bulanan sehingga $3,000 sebulan; sebanyak 80 peratus gaji dibayar pemerintah dan 20 peratus dibayar organisasi yang tawarkan latihan

- Selepas subsidi pemerintah, bayaran kursus adalah $500 bagi program selama enam bulan dan $1,000 bagi program 12 bulan. Yuran kursus boleh menggunakan Kredit SkillsFuture



• PROGRAM PENUKARAN PROFESIONAL (PCP)



- Bagi golongan pertengahan kerjaya PMET; bantu pekerja raih kemahiran baru dan tukar kerjaya dalam sektor baru, dengan subsidi gaji dan yuran kursus

- https://conversion.mycareersfuture.sg



• PROGRAM PELATIH SGUNITED



- Bagi graduan; 21,000 tempat latihan. Lebih 1,000 pertubuhan menawarkan lebih 11,000 tempat latihan, termasuk syarikat Great Eastern, Carousel

- www.mycareersfuture.sg



• PROGRAM KEMAHIRAN SGUNITED



- 30,000 tempat latihan; 6 hingga 12 bulan

- Kursus latihan sepenuh masa pada kadar subsidi; elaun bulanan $1,200 semasa latihan

- https://www.ssgwsg.gov.sg/sgunitedjobsandskills.html



• PROGRAM PELATIH PERTENGAHAN KERJAYA SGUNITED



- Bagi golongan pertengahan kerjaya tidak bekerja; 4,000 tempat.

- https://www.ssg-wsg.gov.sg/sgunitedjobsandskills.html



• TALIAN BANTUAN



- Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC mempermudah warga mendapatkan pekerjaan. Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri https://e2i.com.sg/

- Majlis Jaminan Kerja NTUC membantu pekerja dan golongan karyawan dan eksekutif (PME) dengan pekerjaan baru sebelum mereka diberhentikan

Untuk maklumat lanjut, lungsuri https://e2i.com.sg/individuals/jsc

- NTUC Learning Hub menawarkan pelbagai kursus bersubsidi untuk pekerja pertingkat kemahiran

Untuk maklumat lanjut, lungsuri https://www.ntuclearninghub.com/ atau hubungi 6336-5482




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >