Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MEMPERINGATI 2 DEKAD PENANGKAPAN JI DI S’PURA

Patahkan rangkaian JI selepas dapat tip tentang lelaki ada kaitan dengan Osama bin Laden

Dec 04, 2021 | 05:30 AM



BAGAIMANA ISD JEJAK ANGGOTA JI



APABILA Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mendapat maklumat daripada seorang warga setempat tentang lelaki warga Singapura bernama Mohammad Aslam Yar Ali Khan yang mendakwa mempunyai hubungan dengan pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden, mereka memulakan siasatan intensif yang menemukan dan akhirnya mematahkan rangkaian Jemaah Islamiyah (JI) di negara ini.



Ini berlaku hanya beberapa hari selepas serangan 9/11 di Amerika Syarikat.



OPERASI TERHADAP JI



Maklumat itu diperoleh hasil usaha pegawai ISD mendekati orang ramai untuk berkongsi sebarang maklumat berkaitan serangan itu, menurut seorang pegawai operasi kanan ISD, Encik Rajah (bukan nama sebenar), yang memimpin sepasukan pegawai semasa operasi menjejak rangkaian JI di Singapura.



"Ketika itu, kami tidak tahu pun JI wujud... jadi agak mencabar...kami meneliti setiap butiran serta memantau Aslam dan temannya dengan rapat.



"Kami juga mendapat maklumat tentang satu rancangan membeli ammonium nitrat (bahan utama membuat bom) dan sedang kami menyiasatnya...kami mendapat berita bahawa Aslam ditangkap di Afghanistan sekitar awal Disember 2001.



"Kami sedar bahawa kami tidak boleh tunggu lama kerana apabila kontak dan rakan Aslam sudah tahu, mereka akan bersembunyi atau meninggalkan negara, jadi ISD memutuskan untuk bertindak dan menangkap rakan Aslam," ujar Encik Rajah sambil menambah, operasi terhadap JI itu bermula pada 8 Disember 2001.



Hasil operasi itu, enam anggota JI Singapura ditangkap ISD, dengan lebih ramai orang ditangkap antara 15 dengan 24 Disember 2001.



Seramai 23 orang disiasat, dengan 13 daripada mereka ditahan manakala lagi dua dikenakan Arahan Sekatan (RO).



Di kemuncak operasi pertama itu, pasukan penyiasat, penganalisis penyelidikan, jurutera dan pegawai di lapangan bekerja siang dan malam, dengan menghasilkan lebih 65,000 rekod data yang menjadi petunjuk.



"Kami tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada negara dan rakyat kita," ujar Encik Rajah, menceritakan mengenai motivasi mereka.



ISD meneruskan siasatan mereka selepas kumpulan pertama anggota JI itu ditangkap, dengan wawancara dijalankan hampir setiap hari dengan anggota JI serta sekutu mereka.



Hasil siasatan itu, ISD turut menangkap lagi 21 orang yang terlibat pada Ogos 2002.



Pada September 2002, 17 anggota JI dan seorang anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dikenakan Arahan Penahanan manakala tiga lagi orang dikenakan RO.



Daripada 17 tahanan JI itu, sekurang-kurangnya lapan daripada mereka telah menjalankan kerja pengintipan dan pengawasan di beberapa sasaran di negara ini termasuk di kawasan saluran paip air dan Lapangan Terbang Changi.



RAIH KEPERCAYAAN TAHANAN



Pada awalnya, anggota JI yang ditahan itu tidak mahu bekerjasama dengan pegawai kerana mereka fikir ISD akan menyeksa mereka hingga mereka mengaku.



Namun, ISD mengambil pendekatan lain dan melayan mereka dengan bermaruah.



"Ini membuat mereka memahami bahawa apa yang mereka dengar tentang ISD itu tidak benar.



"Dan kami mendapat kepercayaan mereka juga dengan cara kami mendekati keluarga mereka untuk membantu mereka meneruskan kehidupan," kata Encik Rajah.



Tambahnya, ini penting kepada siasatan ISD kerana apabila tahanan itu tahu bahawa isteri dan keluarga mereka dapat meneruskan dengan hidup mereka, mereka juga berasa senang dan mahu bekerjasama dengan siasatan sepenuhnya dan berkongsi pelbagai maklumat tentang JI dengan pegawai yang menyiasat.



PEMULIHAN



Namun, bukan tahanan ISD sahaja yang menjalani pemulihan termasuk dalam bentuk agama, psikologi dan sosial.



Ini kerana menurut Encik Rajah, prinsip pemulihan itu turut dilanjutkan kepada keluarga mereka antara lain kerana terdapat keprihatinan bahawa sesetengah keluarga itu mungkin terdedah kepada ideologi radikal kerana anggota JI itu turut bertemu di rumah masing-masing.



Pegawai ISD antara lain mendekati isteri tahanan JI itu dan mereka ditawarkan kaunseling serta bantuan termasuk dari segi persekolahan anak.



"...harus ada komunikasi berterusan antara tahanan itu dengan isteri mereka, jadi kami aturkan bagi lawatan keluarga setiap minggu," ujarnya.



Tambahnya, usaha memastikan tahanan itu terus mendapat sokongan kukuh daripada keluarganya itu merupakan sebahagian penting daripada pemulihan dan penyepaduan semula dalam masyarakat.



Namun, usaha ini tidak berhenti selepas tahanan itu dibebaskan.



Bahkan, mereka terus mendapat kaunseling daripada kaunselor agama dan pakar psikologi serta bimbingan untuk bersepadu semula dalam masyarakat, dengan program pengawasan selepas dibebaskan yang menyeluruh.



Kumpulan Jagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) misalnya membantu mereka menjalani latihan untuk meningkatkan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan selepas mereka dibebaskan.



Daripada 56 anggota JI Singapura yang ditahan sejak 2002, hanya empat daripada mereka yang masih ditahan manakala enam daripada mereka kini dibebaskan dengan RO.



RO bagi baki 46 tahanan telah berakhir.



Kini 20 tahun sejak operasi terhadap JI dilancarkan, Encik Rajah berkata kedudukan ISD dalam masyarakat telah berubah.



"ISD telah menjadi lebih telus dengan cara kami mendekati masyarakat tentang isu-isu ancaman, manakala masyarakat pula turut bertanggungjawab bagi isu yang menjejas mereka," ujarnya.



Sebagai contoh, pelbagai masjid menyediakan bubur bagi tahanan untuk berbuka puasa semasa Ramadan.



Menurut Encik Rajah, meskipun ini satu langkah kecil, ia amat dihargai tahanan kerana ini menunjukkan bahawa masyarakat masih mengambil berat tentang mereka.



"Bagi saya, menerusi pengalaman JI ini, kami memahami bahawa kita harus bersatu... Singapura terlalu kecil untuk membiarkannya begitu saja atau kepada ISD sahaja," ujar beliau.




PENGALAMAN JI BERI KESEDARAN



"Bagi saya, menerusi pengalaman JI ini, kami memahami bahawa kita harus bersatu... Singapura terlalu kecil untuk membiarkannya begitu saja atau kepada ISD sahaja.''
- Encik Rajah




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >