Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Khazanah warisan persuratan Islam Nusantara

Nov 24, 2021 | 05:30 AM



WARISAN persuratan Melayu telah disalurkan secara lisan dan secara tulisan atau yang tersurat (manuskrip dan yang bercetak).



Isi kandungan manuskrip dan cetakan awal Melayu ini amat luas, merangkumi semua bidang kehidupan.



Sastera yang disampaikan dalam bentuk lisan seperti sastera rakyat dalam bentuk puisi (seperti pantun, mantera, syair) dan secara prosa /cerita (seperti cerita dongeng, mitos, legenda).



Warisan ini adalah lautan ilmu, kearifan lokal dan mutiara tamadun Melayu yang amat bernilai, tetapi malangnya masih belum diterokai dan diselami sepenuhnya.



KEDATANGAN ISLAM DI ASIA TENGGARA



Menurut Ali Hasjmy (Profesor Ali Hasjmy, nama lengkapnya Moehammad Ali bin Teungku Hasyim bin Abbas) - tokoh ulama, sasterawan, ahli politik dan pejuang kemerdekaan dari Aceh:



"Islam telah masuk ke utara Sumatera (Aceh) pada abad pertama Hijrah yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab/Persia.



"Dalam abad kesembilan Miladiah atau awal abad ketiga Hijrah telah berdiri Kerajaan Islam pertama di Asia Tenggara, iaitu Kerajaan Islam Peureulak (Perlak), dengan ibukota negara Bandar Khalifah.



"Pada masa itu daerah-daerah sekelilingnya masih menganut agama Hindu/Buddha, seperti yang dapat kita baca dalam beberapa sumber dari dalam dan luar negeri."



Beliau juga memetik tulisan dari majalah Al Araby edisi Januari 1987 yang mengukuhkan kenyataan ini:



"... tempat yang mula-mula masuk Islam ialah di Sumatera bahagian utara dalam tahun 55 H (674 M) pada masa Khalifah ar-Rashidin; Kerajaan Islam yang mula-mula berdiri di Indonesia, bahkan di Asia Tenggara, ialah Kerajaan Islam Perlak dalam tahun 225 H (840M) di hujung paling utara Sumatera dan rajanya yang pertama Sultan Alaiddin Saiyid Maulana Abdul Aziz Syah..."



Kemunculan Kerajaan-kerajaan Islam lama di Nusantara seperti Kerajaan Peureulak Aceh (840M-1042M), Kerajaan Samudera-Pasai Aceh (1267M-1524M), Kerajaan Islam Benua Tamiang (1330M-1558M); Kerajaan Karang Tamiang Aceh (1558M-1945M); Kerajaan Pedir/Piddie Aceh (1400-1524), Kerajaan Aceh Darussalam (1496M- 1903M); Kerajaan Brunei Darussalam (1368M-kini); Kerajaan Melaka (1400M-1511M), Kerajaan Patani (1457M-1902M), Kerajaan Johor-Riau (1650M-1850M), Kesultanan Palembang Darusalam (1659M-1825M) dan Kesultanan Banjarmasin (1520M-1905M), semuanya telah berperanan sebagai penaung dan pendukung karya-karya bercorak Islam di kerajaan masing-masing.



Misalnya, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sejarah Melayu/Sulalatus Salatin (1612M), Hikayat Banjar, Hikayat Patani dan Tuhfat al-Nafis. Hikayat Raja Pasai adalah teks sejarah kerajaan Melayu yang tertua dipercayai dihasilkan pada abad ke 14.



SAMUDERA - PASAI



(Pengislaman Raja melalui Mimpi, Pencetus Aksara Jawi & Pusat Mubaligh Islam)



Apa yang menarik tentang Hikayat Raja Pasai ini ialah kisah tentang pengislaman Raja Pasai yang bernama Meurah Silu yang bermimpi bertemu Nabi Muhammad saw yang kemudian mengislamkannya.



Dikatakan bahawa Nabi memberikan nama Malik al-Saleh kepadanya dan berpesan bahawa dalam masa 40 hari akan datang sebuah kapal dari Makkah.



Menurut hikayat, apabila Meurah Silu terjaga, beliau dapati dirinya sudah berkhatan.



Sesudah 40 hari Meurah Silu bermimpi, sebuah kapal yang membawa seorang ulama bernama Syeikh Ismail dari Makkah berlabuh di pelabuhan Samudera di Teluk Terli dan Syeikh Ismail kemudian mengislamkan Meurah Silu dan seluruh rakyat Samudera.



Malikul Salleh adalah Sultan Kerajaan Samudera-Pasai yang pertama.



Hikayat Raja Pasai yang merupakan teks sastera sejarah yang tertua, ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi.



Di bawah kesultanan Pasai 1267M-1524M ini dikatakan aksara jawi mula menapak atau mencetus. Ada beberapa pandangan mengatakan bahawa sumber rujukan aksara Jawi berasal dari (Kesultanan) Pasai dan terungkap dalam beberapa teks manuskrip yang ditulis setelahnya, khususnya pada periode Kesultanan Aceh.



Kerajaan Samudera-Pasai ini penting bukan sahaja kerana hubungannya dengan negara luar untuk perdagangan (lada, cengkeh, kayu, kapur barus, gaharu cendana, kemenyan dan lain-lain) semata,bahkan juga dalam bidang keagamaan, kebudayaan dan kesenian.



Di dalam naskhah Tazkirah Thabaqat dicatat bahawa Pasai adalah sentrum (pusat) tempat mubaligh Islam menimba ilmu.



Sesudah kedatangan Islam dan pembentukan beberapa kerajaan Islam di Asia Tenggara, sumbangan para ulama atau cendekiawan Islam ini amat besar bukan saja dari segi dakwah dan penyebaran agama Islam malah pada perkembangan bahasa, tulisan atau aksara jawi dan mutu persuratan Melayu secara umum.



Kita perlu mengetahui para penyumbang seperti para ulama, pengarang, penulis, penglipur lara dan bahasawan dan sasterawan yang telah menghasilkan warisan karya ini.



Pengaruh Islam telah meluas pada semua lapisan atau peringkat sosial dari golongan elita masyarakat hingga ke masyarakat umum.



Kesan Islam pada masyarakat umum di nusantara boleh dilihat melalui sastera rakyat, seperti pantun dan cerita rakyatnya yang disampaikan secara lisan di kalangan rakyat atau orang kebanyakan.



  • Penulis Ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia NIE/NTU




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >