Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

'Tahi' bukan sebarang 'tahi', dalam bahasa Melayu lain situasi, lain erti

Nov 28, 2021 | 05:30 AM



LAIN padang lain belalang, lain orang lain ragamnya, dan lain masyarakat, lain kepercayaannya.



Di kebanyakan tempat, air kencing dan tahi umumnya disifatkan sebagai hampas makanan daripada tubuh manusia dan binatang yang disifatkan kotor. Bagi penganut Islam, dalam bab taharah (hukum fiqah yang berkaitan dengan kebersihan), ia diistilahkan sebagai najis.



Namun, bagi sebahagian masyarakat dan penganut agama lain, dalam kalangan penganut Hindu misalnya, air kencing dan tahi lembu dilihat dari perspektif lain.



Antara lain ini kerana lembu mempunyai tempat istimewa dalam kepercayaan mereka.



Lantaran itu, terdapat beberapa laporan atau perkongsian tentang penganutnya yang sanggup minum air kencing lembu dan mandi dengan air yang bercampur tahi lembu.



Malah, dalam satu video yang tular di media sosial baru-baru ini, seorang doktor India minum air kencing dan makan tahi lembu bagi menekankan keyakinannya.



Bukan tujuan tulisan ini untuk membicarakan tentang insiden itu tetapi meninjau beberapa aspek bahasa dan budaya dan malah perubatan, berkaitan tahi.



Mungkin tahi perkara yang kurang enak dibincangkan tetapi para ulama sudah menjelaskan bahawa tiada suatu pun ciptaan Allah yang sia-sia.



Di sebalik rasa mual yang mungkin timbul apabila membicarakan mengenainya, hampas ini ada manfaat tersendiri.



Dari sudut perubatan sahaja, kandungan dalam najis tahi boleh memberi gambaran.



Mereka yang sudah melebihi usia 50 tahun pernah dianjurkan mendapatkan kit ujian mengesan penyakit barah usus, dikenali sebagai Faecal Occult Blood Test (FOBT), atau ujian darah dalam najis. Darah dalam najis adalah antara petanda kemungkinan barah usus besar.



TAHI LEMBU, TAHI AYAM



Dari sudut perkebunan, tahi lembu dan tahi ayam adalah antara bahan kitaran semula yang dijadikan baja untuk menyuburkan tanaman.



Malah, ada masyarakat yang menggunakan tahi lembu sebagai bahan binaan.



Dalam sebuah kawasan penginapan di Rinjani, Lombok, Indonesia, terdapat rumah yang dibina menggunakan campuran tahi lembu. Di samping lambang yang dikaitkan dengan najis lembu, tahi lembu juga berfungsi sebagai pelekat.



Dari segi pemakanan orang kita, satu kuih seperti tidak lengkap tanpa 'tahinya' - tahi minyak - iaitu kerak minyak daripada santan yang ditabur di permukaan kuih koleh-koleh.



Namun, tahi minyak, dalam konteks bahasa memberikan gambaran lain - merujuk kepada orang yang 'action' lebih atau bergaya tetapi pembohong.



Dalam tubuh kita, selain tahi najis, ada satu lagi tahi, yang bukan sahaja tidak menggelikan, malah suka dipandang kerana menjadikan rupanya lebih manis, iaitu tahi lalat - tanda hitam bulat pada kulit - terutama jika terletak di pinggir bibir.



Ungkapan tahi lalat juga digunakan bagi menggambarkan bintik-bintik hitam pada pakaian.



Kotoran pada beberapa bahagian tubuh juga disebut menggunakan perkataan tahi.



Ini termasuk tahi gigi - kotoran yang di celah-celah gigi, tahi hidung - hingus kering dalam hidung, tahi kuku - kotoran hitam di celah-celah kuku, tahi mata - kotoran pada mata, dan tahi telinga - kotoran dalam telinga.



Di samping berkaitan tubuh, tahi juga digunakan dalam bahasa Melayu untuk memberi beberapa gambaran.



Tahi besi adalah karat yang melekat pada besi, tahi gergaji adalah serbuk daripada kayu yang digergaji, tahi tembaga adalah karat yang melekat pada tembaga, dan tahi ketam ialah sisa kayu yang diketam.



Dalam bidang sains angkasa pula, tahi bintang merujuk benda yang kelihatan berkilau seperti bintang dan melayang di angkasa selama beberapa ketika.



Dari segi bahasa, ungkapan yang berkait dengan tahi memberikan makna yang berlainan mengikut konteks.



Antara lain, tahi dikaitkan dengan ketagihan sesuatu ekoran kebiasaan atau tabiat buruk.



Antaranya ialah tahi judi menggambarkan orang yang suka dan ketagihan judi; tahi arak adalah orang yang ketagihan arak; dan tahi rokok alah orang yang suka atau kuat hisap rokok.



Tahi candu pula memberikan dua gambaran - kotoran yang melekat pada paip penghisap candu, dan juga menggambarkan orang yang gemar menghisap candu.



Kamus ada menjelaskan bahawa tahi betina ialah lelaki yang suka berzina, sementara tahi angin ialah awan tipis yang ditiup angin.



Bagi masyarakat Melayu yang tajam pemikiran dan rapat dengan alam sekitar, tahi juga termaktub dalam beberapa peribahasa.



Antaranya, ayam terlepas, tangan bau tahi, yang bermakna kejahatan yang tidak mendatangkan hasil, melainkan malu semata-mata.



Bagai ayam mabuk tahi menggambarkan keadaan pucat lesi dan tidak berdaya sebab sakit dan kurang darah.



Anjing dengan tahi, tidak makan atau menjilat, tetapi mencium ada juga bermakna orang yang biasa berbuat jahat, sekali-sekala teringat mengulanginya.



Peribahasa lain yang mempunyai makna hampir serupa ialah anjing biasa makan tahi, jika tidak makan menghidu ada juga.



Hangat-hangat tahi ayam menggambarkan sikap yang tidak bersungguh-sungguh, atau semangat, keghairahan atau kegigihan yang sekejap; melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh hanya pada permulaan, lama-kelamaan ditinggalkan apabila sudah mula bosan.



Hitam-hitam tahi minyak dimakan juga, putih-putih hampas kelapa dibuang menjelaskan bahawa barang yang buruk, tetapi berguna disimpan, sementara barang yang cantik tetapi tidak berguna pula dibuang.



EKOR BERGELUMANG TAHI



Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi menyifatkan seseorang yang cakap berdekah-dekah atau tinggi, tetapi keluarganya dalam keadaan melarat.



Satu lagi yang berkaitan dengannya ialah cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar yang bermakna bercakap besar, tetapi tiada satu pun pekerjaan yang dilakukannya.



Peribahasa lain yang seakan dengannya ialah bagai ayam si tombong, kokok berderai-derai, ekor berlumur tahi.



Daripada hidup bergelumang (berlumur) tahi, baik mati bertimbun bunga memberi gambaran perasaan tertekan sehingga berasa lebih baik mati daripada menanggung malu.



Peribahasa lain yang serupa makna dengannya ialah biar berputih tulang, jangan berputih mata, dan daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >