Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Bahasa rosak akibat 'dirojak'

BERITA MINGGU telah menjalin kerjasama dengan sekumpulan guru kanan subjek Bahasa Melayu untuk memberikan komen dan pandangan mengenai beberapa topik dan trend semasa dalam penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar khususnya, dan masyarakat umum amnya. Minggu ini, salah seorang daripada mereka mengupas isu bahasa 'rojak'.
Jul 25, 2021 | 05:30 AM



"U nak gi mana? I nak shopping..."

"Why u tak datang semalam..."

"Semalam I tak pergi kerja."



MUNGKIN kita biasa mendengar kata-kata ini dalam kehidupan harian kita.



Inilah yang dikenali sebagai bahasa 'rojak'.



Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan bahasa rojak sebagai "bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan oleh penuturnya, misalnya perkataan Melayu dan seketika perkataan Inggeris".



Punca terjadinya bahasa rojak



1. Pendedahan terhadap media



2. Penggunaan wadah komunikasi seperti WhatsApp dan Facebook



3. Arus kemodenan



Pendedahan media memainkan peranan penting dalam mempengaruhi bahasa rojak ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa para pelajar kita kini berdepan dengan situasi "digitalisme", yakni segala keperluan boleh didapati di laman Internet mahupun sosial, semuanya boleh ditanya melalui Mr Google.



Kebanyakan cerita Melayu kini lebih menggunakan bahasa rojak untuk menarik ramai penonton.



Penonton ini termasuklah pelajar kita yang mempelajari perkataan seperti: rilek ah, cool pe, ape ape roger-roger.



Perkataan seperti ini lebih bersifat santai dan mempunyai unsur "cool", sekali gus mempengaruhi pelajar menggunakannya dalam percakapan harian tanpa mereka sedari bahawa bahasa itu bukanlah bahasa Melayu sejati.



Oleh sebab itu, pelajar lebih terbiasa menggunakannya dalam perbualan mereka kerana pendedahan terhadap bahasa Melayu baku hanya semasa penggunaan bilik darjah.



Penggunaan bahasa baku dalam kalangan pelajar juga boleh dikatakan agak terhad dalam kelas sahaja.



Pelajar lebih selesa menggunakan bahasa rojak ini dalam percakapan harian mereka sehingga tidak dapat membezakan masa yang sesuai untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul/baku semasa ujian lisan.



Penggunaan wadah seperti WhatsApp yang tujuan mempermudahkan komunikasi harian juga memainkan peranan dalam perluasan bahasa rojak ini kerana penuturnya menaip secara ringkas dan mereka beranggapan itu adalah ejaan yang sebenarnya, contoh: nnti = nanti, bleh = boleh, carik = cari, pnt = penat.



Hampir kebanyakan perkataan ini disingkatkan sehingga ia boleh mengelirukan pembaca.



Arus kemodenan dengan berleluasa penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi utama di rumah menyebabkan pelajar lebih terdedah kepada bahasa rojak.



Ada kalanya ibu bapa juga menggunakan bahasa rojak untuk bercakap dengan anak-anak dan ini telah menjadi sebati dengan hidup mereka.



Bahasa rojak lazimnya digunakan secara lisan dan dalam situasi tidak formal.



Penggunaan bahasa rojak, kalau untuk tujuan berkomunikasi, mungkin tidak menimbulkan masalah kerana yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan boleh difahami antara satu sama lain.



Namun, dalam konteks penggunaan bahasa secara formal dan dalam bidang pendidikan, bahasa rojak tidak boleh diterima kerana mencemarkan bahasa.



Di sekolah, dengan pendedahan bahasa Inggeris yang semakin meluas, keupayaan pelajar Melayu menggunakan bahasa Melayu semakin merosot. Tidak hairanlah murid-murid lebih selesa bercakap dalam bahasa Inggeris dan menggunakan bahasa rojak dalam perbualan sesama sendiri.



Kata-kata seperti "let's go makan...", "you dah buat your homework?...", "besok kita jumpa kat playground..." merupakan kata-kata yang sering kita dengar daripada pelajar.



Sebagai pendidik, sakit telinga kita apabila mendengar para pelajar kita berbahasa rojak dan menjadi kebiasaan kita menegur mereka apabila mereka berbuat demikian dalam kelas Bahasa Melayu.



Biasanya, dalam keadaan serupa, kita bukan setakat menegur sahaja, bahkan akan membetulkan kesilapan mereka dan mereka akan mendengar tanpa banyak bantahan.



Namun, yang menjadi keprihatinan adalah usaha pendidik tidak mendapat sokongan daripada ibu bapa apabila mereka juga menggunakan bahasa rojak di rumah apabila bertutur dengan anak-anak.



Malahan, dapatan tentang peratusan pelajar Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris di rumah yang semakin meningkat amat membimbangkan.



Saya berasakan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan memastikan anak mereka bertutur dalam bahasa Melayu yang betul.



Mungkin elok juga kalau saya ketengahkan bahawa dalam penulisan di sekolah, pelajar biasanya tidak menggunakan bahasa rojak, tetapi lebih kepada struktur ayat bahasa Inggeris. Contohnya:



I wait for the bus.



Saya tunggu bas.



The beautiful butterfly catches my attention.



Kupu-kupu yang cantik itu menangkap perhatian saya.



Bahasa rojak juga jarang kedengaran dalam perbualan murid di sekolah kerana mereka lebih banyak berbual dalam bahasa Melayu pasar atau langsung dalam bahasa Inggeris.



Namun demikian, bahasa rojak jelas ketara terutama semasa ujian lisan dengan murid harus berbual dalam bahasa Melayu baku.



Dalam situasi ini, apabila berdepan kekurangan kosa kata bahasa Melayu untuk menerangkan isi atau respons, mereka terpaksa atau secara spontan menggunakan beberapa perkataan bahasa Inggeris yang lebih terbiasa digunakan bagi menyampaikan maksud.



Apa pun, saya berpendapat bahasa rojak tidak terikat kepada bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sahaja. Ada kalanya juga, bahasa Melayu 'dirojakkan' dengan bahasa Mandarin dan Tamil. Contohnya:



Wa caya sama lu bro.

Amacam, kita sapde prata kat kedai tu.



Rasanya dalam kalangan sesetengah penutur, akan terasa lebih stylo dan seolah-olah timbul semangat kumpulan atau kesatuan jika mereka berbual dengan mencampurkan perkataan daripada bahasa berbeza.



Bagi mereka, seolah-olah jika ada yang bertutur dalam bahasa Melayu yang lengkap, individu itu akan dianggap menunjuk-nunjuk atau mungkin juga kolot dan tidak mengikut peredaran zaman.



Masalahnya, apabila sudah menjadi kebiasaan, penggunaan bahasa rojak ini terbawa-bawa ke dalam penulisan di sekolah dan mempengaruhi penulisan murid. Contoh:



Budak itu kena fine(didenda) kerana buang sampah di taman itu.



Bahasa rojak dalam konteks Singapura



Di sebalik nilai negatif yang dikaitkan dengan bahasa rojak, pada pendapat saya, bahasa rojak telah merancakkan dan memberi nafas baru kepada bahasa Melayu.



Mengapa? Dalam negara kosmopolitan seperti Singapura, jika seseorang itu terlalu taksub menggunakan hanya perkataan Melayu dan bahasa Melayu secara total, kadang-kadang ia tidak membawa maksud sebenar yang hendak disampaikan.



Contohnya, kalau kita cakap



"Use your brainlah sikit..."



dengan



"Pakai otak boleh..."



Jika diteliti darjah kesangatan dalam kededua ayat ini, ayat "use your brainlah sikit..." masih lagi dapat diterima pendengar berbanding ayat "pakai otak boleh..." yang boleh membuat telinga pendengarnya berdesing.



Ada juga rakan guru yang berpandangan bahawa penggunaan bahasa rojak ini perlu mengikut konteks, asal apa yang dituturkan mudah difahami dan mesejnya dapat disampaikan.



Bagi mereka, jika tujuannya hanya sekadar menyampaikan maksud, tidak kiralah apa bahasa yang ingin digunakan, sama ada bahasa Inggeris, Bahasa Melayu baku atau bahasa rojak.



Justeru, pengguna bahasa harus bijak mengalihkodkan bahasa itu agar sesuai dan relevan kepada konteks, audiens dan arena perbahasaan.



Nota: Atas sebab-sebab tertentu, guru yang memberikan pandangan mengenai trend semasa penggunaan bahasa Melayu dalam sesi perbualan dengan Berita Minggu ini enggan nama mereka disiarkan tetapi akur perbincangan mengenai penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan dinamik perlu diketengahkan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >