Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MERUNGKAI ISU KEWANGAN: BERSAMA

Bantu anak nilai wang, elak dibeban hutang bila dewasa

Sep 19, 2021 | 05:30 AM



AKIBAT berbelanja lebih dari kemampuan, Encik Ahmad (bukan nama sebenar) terpaksa menggunakan kad kredit dan berhutang dengan peminjam wang berlesen.



Juga membimbangkan ialah tunggakan bil kad kredit ekoran beliau hanya melunaskan bayaran minimum setiap bulan.



Akibatnya pada tahun ini, hutang Encik Ahmad 30 tahun, berjumlah sekitar $24,000.



Kadar faedah yang tinggi yang dikenakan pihak kad kredit dan peminjam wang berlesen boleh menyebabkan hutang yang ditanggung boleh berlipat ganda jika tidak ditangani dengan segera.



Encik Ahmad seorang lulusan universiti dan bekerja sebagai perunding cara bukan keseorangan yang menghadapi cabaran menangani hutang dan memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.



Dapatan dari sebuah tinjauan yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan satu dalam tiga responden tidak mempunyai keyakinan menangani hutang.



Tinjauan Yayasan Citi - Program Celik Kewangan (FinLit) Universiti Pengurusan Singapura (SMU) bagi warga dewasa juga menunjukkan 19 peratus warga muda tidak berupaya memenuhi keperluan harian.



Seramai 1,068 warga dewasa muda menyertai tinjauan itu, separuh daripada mereka berusia 18 hingga 24 tahun.



Tinjauan itu bertujuan memahami faktor-faktor yang mempengaruhi kesejahteraan kewangan - termasuk celik kewangan - di kalangan warga dewasa muda di Singapura, dan memastikan kemampuan mereka (iaitu daya tahan) menghadapi cabaran kewangan, berikutan kemungkinan gangguan yang disebabkan oleh pandemik yang sedang berlaku, perubahan landskap kewangan dan pasaran pekerjaan yang sedang berkembang.



Mengulas tentang tinjauan itu, Presiden SMU Profesor Lily Kong akur bahawa "dapatan tinjauan adalah rujukan penting bagi pelbagai pihak berkepentingan untuk merumuskan langkah-langkah intervensi untuk kumpulan dewasa muda yang berbeza untuk meningkatkan literasi kewangan mereka, dan di luar itu, memperkuat daya tahan kewangan mereka."



Bagi mengelak berlaku kemelut yang dihadapi warga muda seperti Encik Ahmad, satu cara ialah memupuk kesedaran tentang peri penting memupuk kecelikan wang pada usia yang awal - bak kata pepatah melentur buluh dari rebung.



Nilai murni seperti menabung, berbelanja ikut kemampuan dan cara menghargai wang perlu dipupuk dalam kalangan anak-anak pada usia awal.



Kehendak lawan Keperluan



Langkah pertama mengajar anak-anak nilai berjimat adalah dengan menolong mereka membezakan antara kehendak dan keperluan. Jelaskan bahawa keperluan merangkumi asas-asas, seperti makanan, tempat tinggal, pakaian asas, penjagaan kesihatan, dan pendidikan.



Kehendak pula adalah yang kemahuan lain - dari aiskrim, permainan komputer, basikal, atau telefon bijak yang terkini.



Anda boleh menggunakan belanjawan anda sendiri sebagai contoh untuk menggambarkan bagaimana kehendak perlu berada di belakang keperluan dari segi perbelanjaan.



Satu cara mengajar anak-anak anda konsep berbelanja mengikut keperluan adalah dengan menetapkan peraturan, mereka hanya dapat berbelanja setelah mereka menabung. Sekiranya mereka mahu membeli barang berharga tinggi, mereka harus lebih gigih menabung.



Nilai wang



Bank setempat mempunyai pelbagai sumber yang boleh membantu ibu bapa memupuk kecelikan kewangan dalam anak-anak mereka.



POSB misalnya menawarkan pelbagai sumber untuk ibu bapa. Antaranya ialah kegiatan yang boleh membantu anak-anak menghargai nilai wang serta tanggungjawab dan disiplin kewangan menerusi penetapan matlamat dan perancangan.



Kegiatan berikut yang disarankan POSB misalnya hanya mengambil masa 20 minit dan ditujukan kepada kanak-kanak berusia 7 hingga 9 tahun.



Mulakan kegiatan dengan menyenaraikan beberapa tugasan harian mudah misalnya mencuci pinggan, menyapu rumah dan mengemas bilik. Tetapkan ganjaran wang yang boleh diraih anak-anak jika mereka lakukan tugasan tersebut. Menggunakan senarai yang disediakan POSB, anak-anak boleh mencatatkan tugas yang telah mereka lalukan.



Di akhir bulan atau tempoh yang ditetapkan, ibu bapa dan anak-anak boleh bersama-sama mengira ganjaran yang diraih berdasarkan tugas yang dilakukan.



Sama seperti ibu bapa bekerja untuk mendapatkan gaji setiap bulan, gunakan kegiatan ini dalam sesi permainan bersama anak-anak agar mereka boleh menerima konsep ganjaran dan menilai wang.



Mungkin sukar bagi anak anda untuk memahami nilai wang jika ia berikan begitu sahaja.



Sebaliknya anak anda perlu dididik supaya memperolehnya. Dengan ini anak anda akan memahami wang tidak didapati dengan mudah, ia perlukan usaha dan tanggungjawab.



Kegiatan mudah - memberi wang sebagai ganjaran kepada anak-anak yang melakukan tugas tambahan - boleh dipertingkatkan dengan menggalak anak-anak memasukkan pendapatan yang diraih ke dalam bank. Ini boleh memupuk tabiat menabung pada usia muda, dan anak anda dapat melihat simpanan itu bertambah sedang dia membesar.



Masa kini anak-anak mungkin sering nampak ibu bapa keluarkan wang dari mesin ATM.



Mereka mungkin mempunyai gambaran yang salah bahawa wang mudah didapati dari ATM.



Dalam hal ini, ibu bapa perlu pupuk pengetahuan bahawa ATM tidak mengeluarkan wang secara ajaib.



Tekankan kepada anak anda bahawa wang yang anda peroleh dari ATM merupakan titik peluh hasil simpanan dan pendapatan dari pekerjaan anda.



Tabiat Menabung



Bagi kanak-kanak apabila disuruh menabung - tanpa menjelaskan mengapa - mungkin ia kelihatan tidak berkesan.



Membantu anak-anak menentukan matlamat simpanan boleh menjadi cara yang lebih baik demi memberi mereka motivasi. Lebih mudah bagi mereka jika mereka sedar tangga pencapaian yang boleh diraih.



Contohnya jika mereka ingin membeli permainan video bernilai $50, dan mereka mendapat elaun $10 setiap minggu, bantu mereka mengetahui berapa lama masa yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut, berdasarkan kadar simpanan mereka.



Sekiranya anak anda dapat melihat simpanannya meningkat, kemungkinan besar, mereka akan merasa lebih cenderung meneruskan tabiat menabung.



Gunakan balang yang lut sinar agar anak anda dapat lihat simpanan mereka bertambah.



Padankan simpanan



Sekiranya anak anda menyimpan 50 sen sehari, anda boleh mendorongnya dengan menokok 50 sen ke dalam tabungnya. Selain memberi ganjaran atas usaha anak anda, ia juga dapat memperkukuh tabiat menabung dan mendorongnya membuat perancangan kewangan bagi masa depan.



Manfaat Skim Pemerintah



Pemerintah baru-baru ini mengumumkan peningkatan dalam bantuan bagi ibu bapa yang mempunyai anak.



Sebagai contoh, ibu bapa yang mempunyai bayi kedua sejak Januari akan mendapatkan lebih banyak sokongan kewangan daripada pemerintah menerusi Akaun Pembangunan Anak (CDA).



Mereka akan meraih $6,000 dalam biaya bersama, tambahan daripada $3,000 yang diberikan kini buat anak pertama atau kedua.



Jumlah ini adalah tambahan pada jumlah awal $3,000 yang diterima setiap anak dalam CDA-nya.



Di bawah skim Bonus Bayi, pemerintah akan memadankan sedolar bagi sedolar yang disalur ibu bapa dalam simpanan akaun ini sehingga satu tempoh had.



Dengan tambahan ini, sumbangan pemerintah secara menyeluruh kepada CDA anak kedua akan meningkat hingga $9,000.



Ia bertambah daripada jumlah siling $6,000 bagi anak pertama atau kedua, $12,000 bagi anak ketiga atau keempat, dan $18,000 bagi anak selanjutnya.



CDA adalah akaun simpanan khas di mana ia boleh digunakan di institusi tertentu bagi bayaran jagaan anak, kos perubatan dan banyak lagi.



Secara keseluruhannya, ibu bapa boleh menerima hingga $24,000 kerana memiliki anak kedua. Ini termasuk komponen lain seperti Hadiah Tunai Bonus Bayi, Geran Sokongan Bayi dan Geran MediSave buat bayi yang baru lahir.



Selain CDA, bantu anak anda membuka akaun simpanan di bank setempat, langkah pergi ke bank bersama anak dan membuka akaun simpanan juga boleh dijadikan kegiatan keluarga.



Apabila anak anda sudah cukup dewasa, kongsi bersamanya manfaat yang dapat diraih menggunakan CDA. Tekankan bagaimana simpanan ibu bapa oleh menjana tokokan pemerintah.




SARANAN KEGIATAN UNTUK ANAK-ANAK



DI PASAR RAYA



Semasa berbelanja di pasar raya, bezakan antara barang yang perlu dengan barang yang dikehendaki. Tarik perhatian mereka pada harga barang dan cara membandingkannya. Tunjukkan kewujudan kupon diskaun atau jualan mingguan yang menawarkan potongan harga. Dengan melakukan ini, anak-anak anda akan dididik tentang cara berbelanja dengan bertanggungjawab dan cara menjimat perbelanjaan.



DI RESTORAN



Semasa makan di luar, ajak anak-anak anda bandingkan hidangan dalam menu dan harganya.

Biarkan mereka menggunakan kemahiran matematik dengan meminta mereka mengira jumlah bayaran makanan yang dipesan. Ini akan menjadikan anak-anak anda lebih peka dengan jumlah yang mereka belanjakan. Galakkan mereka supaya menentukan antara apa yang sebenarnya mereka mahukan dan apa yang mereka pilih sesuka hati.

Kanak-kanak yang lebih muda akan memerlukan gambaran visual konsep. Oleh itu, izinkan mereka melihat wang tersebut, memegangnya, membuat pembayaran di kaunter, dan menerima resit.



ASINGKAN DANA



Anda boleh memberikan empat kotak wang kepada anak anda untuk menunjukkan pentingnya menabung untuk tujuan yang berbeza. Ajak anak anda agihkan duit koceknya dalam kotak wang berikut
Jimat: Agar wang dapat digunakan kemudian. Bekerja bersama dengan tujuan dan bantu anak anda untuk mencapainya
Belanja: Agar wang segera digunakan
Derma: Untuk menolong orang lain
Melabur: Agar wang dapat berkembang dengan sendirinya.



Rebut peluang untuk membuka akaun bank untuk anak anda. Kemas kini buku akaun dan beritahu anak anda mengenai faedah, deposit, dan pinjaman. Latihan ini akan membantu anak anda mengembangkan tabiat wang yang baik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >