Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Bekas pesalah dapat kerja hasil bantuan Reben Kuning

Setempat
27
0

Bekas pesalah dapat kerja hasil bantuan Reben Kuning

Jan 07, 2021 | 05:30 AM

MENCARI pekerjaan memang mencabar bagi mereka yang kehilangan pekerja di tengah-tengah pandemik ini.

Apatah lagi, bekas banduan yang mempunyai rekod jenayah yang cuba memulakan kehidupan baru.

Namun, bantuan dan sokongan pertubuhan seperti Reben Kuning Singapura (YRSG) telah membantu golongan itu mendapat pekerjaan.

Antara yang memanfaatkan bantuan YRSG ialah Encik Muhammad (bukan nama sebenar).

Beliau yang berusia 40 tahun itu dibebaskan dari penjara Julai tahun lalu, semasa jumlah kes Covid-19 di sini masih tinggi.

Beliau telah dihukum penjara selama 10 tahun kerana kesalahan mengedar dadah namun kerana berkelakuan baik beliau dibebaskan awal - setelah enam tahun lapan bulan dipenjara.

Semasa di penjara, beliau bimbang tidak akan dapat pekerjaan sepenuh masa disebabkan banyak syarikat yang menunda rancangan mengambil pekerja baru akibat Covid-19.

Namun begitu, dengan bantuan YRSG, beliau diberi peluang menjalani temu duga maya dan akhirnya ditawarkan pekerjaan sepenuh masa sebagai seorang teknisyen bangunan.

Sebelum ini, beliau telah memilih untuk menjalani kursus dalam bidang makanan dan minuman (F&B) dengan harapan akan dapat menceburi kerjaya dalam industri tersebut.

Namun, dengan sekatan mengekang penularan virus Covid-19, kursus secara fizikal itu telah ditangguh.

"Apabila kursus itu ditangguh, saya mula rasa bimbang tidak dapat pekerjaan bila saya keluar dalam beberapa bulan lagi.

"Ramai orang yang mengalami banyak masalah mencari pekerjaan. Jika mereka sukar mencari pekerjaan, apa lagi saya yang sudah lama tidak mempunyai pengalaman bekerja kerana berada di dalam penjara? " kata beliau.

Walaupun agak mencabar, beliau menghela nafas lega menerima bantuan dan bimbingan daripada pihak YRSG dalam proses mencari pekerjaan baru.

Dua minggu setelah dibebaskan, Encik Muhammad memula bekerja sebagai seorang teknisyen bangunan.

YRSG membantu banduan dan bekas banduan membina semula kehidupan dan mengurangkan kadar mengulangi kesalahan menerusi pembangunan kemahiran dan kerjaya jangka panjang.

Dengan pasaran pekerjaan agak mencabar, YRSG telah meningkatkan usaha mereka untuk membantu bekas pesalah untuk mendapatkan pekerjaan dengan memanfaatkan inisiatif nasional.

Ini termasuk memanfaatkan Gerbang SGUnited, yang dikendalikan oleh agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Majlis Keselamatan Pekerjaan NTUC, yang menawarkan pekerjaan dalam sektor F&B, logistik dan perkilangan.

Dari Januari hingga September tahun lalu, YRSG telah membantu memadankan pekerjaan untuk 1,789 bekas pesalah.

Dengan bimbingan seorang jurulatih kerjaya, Encik Muhammad berjaya meningkatkan kemahiran serta membantunya menguruskan kewangan dengan baik.

"Contohnya, saya hanya mempunyai pengetahuan dalam bidang servis mekanikal tetapi pekerjaan saya juga memerlukan saya untuk mempunyai pengetahuan elektrik yang agak berlainan.

"Jadi jurulatih kerjaya saya telah membantu saya mendaftarkan kursus bersubsidi yang sesuai supaya meningkatkan kemahiran saya.

"Selain itu, beliau juga bertanya khabar dan menyokong saya sekiranya terdapat sebarang cabaran yang saya mengalami," jelasnya.

Sebagai bapa kepada tiga orang anak, Encik Muhammad berkata pekerjaan ini amat penting baginya supaya dapat menyara kehidupan keluarganya.

"Selama ini, mereka menunggu untuk saya pulang. Saya rasa dari segi kewangan, sudah tiba masanya bagi saya menyumbang kepada keluarga.

"Selain itu, secara psikologi, saya berpeluang memberi tumpuan kepada perkara yang baik berbanding kepada melakukan sesuatu yang tidak baik.

"Saya hanya berharap keadaan ekonomi akan pulih agar lebih ramai warga seperti diri saya dapat mencari pekerjaan dan kembali ke pangkal jalan," ujarnya, penuh harapan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3