Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BELASUNGKAWA ALIAS KADIR

'Di mana kan ku cari ganti'

Hilanglah sebutir permata dalam dunia hiburan tanah air...
Jun 29, 2021 | 05:30 AM



BUKAN setakat mencuit, tetapi menggeletek sehingga kadang kala, sampai sakit perut penonton menahan ketawa.



Ditambah lagi dengan kemampuannya menyanyi dengan baik dan meniru gaya penyanyi hebat lain.



Apabila disatukan dua bakat itu, persembahannya mencapai kelas tersendiri yang sukar ditandingi. Sebagi pelawak solo beliau kreatif dan meyakinkan, dan dalam komedi berkumpulan beliau tetap mantap dan menyerlah.



Itulah keistimewaan pelawak Alias Kadir, yang nama sebenarnya Osman Bin Ahmad, yang tidak keterlaluan dikelaskan sebagai antara pelawak terbaik yang namanya layak dipahat sebagai lagenda persada komedi Singapura.



Terlalu banyak contoh persembahan terbaiknya masih dapat ditonton di YouTube. Antara yang sering ditonton berulang kali - lebih 48,000 kali - ialah persembahannya dalam rancangan amal Ikhlas Tabung Amal Aidilfitri terbitan Suria lebih sedekad lalu, yang mana beliau menyanyi lagu Zaman, dengan membawa kedua-dua suara penyanyi asal, Ramli Sarip dan SM. Salim, siap dengan pakaian dan rambut palsu gaya penyanyi tersebut.



Berdasarkan video sedutan rancangan itu, jelas penonton, termasuk ramai tetamu VIP, ketawa tak kering gusi dan beberapa kali memberi tepukan gemuruh. Cukup hebat!



Mula diperkenalkan sebagai pelakon komedi menerusi penglibatannya dalam Teater Cekup, yang memenangi Pesta Drama Sriwana pada 1986. Alias kemudian mendapat banyak pendedahan bersama Sriwana terutama ketika badan seni itu berpanggung di Panggung Victoria.



Dengan bakatnya menyanyi, beliau juga diserap ke dalam kumpulan Rappers Tua bersama 10 pelawak Singapura lain. Lagu duet bersama penyanyi Mahani Mohd, Ramwang pula menjadi pilihan popular sepanjang musim Hari Raya.



Mudah diolah bakatnya untuk disesuaikan pelbagai acara juga menjadi sebab mengapa Alias sering menjadi pilihan penerbit rancangan, menurut mereka yang biasa bekerja dengannya.



Penerbit dan teman komedi Suhaimi Yusof yang sering bekerjasama dengan Alias mengakui mengagumi bakat semula jadi pelawak itu. Suhaimi bahkan sempat mencungkil bakat Alias dalam berqasidah pada Ramadan lalu.



"Apabila saya diberikan tugas untuk menerbitkan sebuah rancangan humor, nama Alias sering menjadi pilihan pertama. Kali terakhir kami bersama adalah dalam 'Komedi Bongkar Periuk' yang saya terbitkan dengan kerjasama Wisma Geylang Serai pada Ramadan lalu.



"Masya'Allah dapat saya abadikan suara lunak Almarhum menyanyikan qasidah Asma-ul-Husna yang sering orang dengar sebelum berbuka puasa. Pengalaman tersebut, saya pasti abadikan selamanya."



Khairudin Samsudin, seorang lagi pengarah yang sering berkongsi pentas dengan Alias dalam persembahan komedi, menganggap pelawak itu sebagai seorang lagenda.



"Alias Kadir yang saya kenal merupakan seorang seniman yang cukup cintakan kerjayanya sebagai penghibur. Seorang insan seni yang cukup arif dan bijak untuk mendapatkan perhatian penonton. Dia akan memberikan komitmen luar dari jangkaan. Masa komiknya tepat dan sempurna," kata Khairudin.



Antara sketsa komedi terbaik beliau sepentas dengan Alias ialah untuk rancangan Sinaran Lebaran 2015 - yang menampilkan Alias sebagai bujang terlajak yang akhirnya melamar cinta lamanya.



Di belakang kamera, Alias disifatkan sebagai seorang abang dan teman, yang tidak membezakan artis baru, muda atau tidak berpengalaman.



"Beliau boleh duduk semeja berbual dan bergurau dengan semua. Beliau juga merupakan seorang yang mempunyai semangat kental dan tabah dan senantiasa bergurau walaupun beliau ketika itu berkerusi roda setelah sebelah kakinya dipotong demi untuk mencari rezeki," tambah Khairudin yang menyifatkan pelawak seperti Alias sebagai tiada gantinya.



Antara teman seni yang rapat dengannya, Norsiah Ramly pula berkata Alias sentiasa mengukir senyum demi mencari rezeki biarpun beliau tertekan dengan masalah peribadi.



"Beliau bersungguh-sungguh cari rezeki. Kalau dapat tawaran projek, jarang ditolak biarpun bayaran tak sebeberapa dan beliau tetap memberi komitmen terbaik," kata Norsiah.



Pemergian Alias Kadir semalam pagi pada usia 58 tahun akibat pelbagai komplikasi kesihatan terutama selepas pembedahan kaki kanannya, meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam kalangan teman-teman dan peminat yang pernah tercuit atau terhibur dengan persembahannya.



Jamiyah Singapura yang baru minggu lalu mengumumkan projek mengumpul dana, Projek Permata untuk menampung kos rawatannya, turut melahirkan dukacita atas pemergian seorang sukarelawan yang sering terlibat dalam kegiatan amal persatuan itu. Dengan pemergian Alias, projek itu dihentikan serta merta dan wang yang terkumpul akan diserahkan kepada keluarganya, kata Jamiyah.



"Kami turut bersedih dengan berita tentang pemergian beliau. Encik Alias Kadir adalah seorang seniman yang berbakat dan seorang ikon dalam komuniti kita. Beliau mempunyai hati yang mulia dan banyak penglibatan beliau dari segi membantu badan-badan amal untuk mengumpul dana, termasuk Jamiyah Singapura. Jamiyah telah kehilangan seorang sukarelawan yang kerap membantu kami," kata Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.



Seperti yang dikatakan Suhaimi Yusof, hilangnya Alias, maka hilanglah sebutir permata dalam dunia hiburan tanah air... dan ia sukar untuk diganti.



Salam takziah kepada anggota keluarga.



Semoga Allahyarham Alias Kadir dalam RahmatNya dan rohnya ditempatkan di kalangan para solihin.




"Alias Kadir yang saya kenal merupakan seorang seniman yang cukup cintakan kerjayanya sebagai penghibur. Seorang insan seni yang cukup arif dan bijak untuk mendapatkan perhatian penonton. Dia akan memberikan komitmen luar dari jangkaan. Masa komiknya tepat dan sempurna."
- Khairudin Samsudin, seorang lagi pengarah yang sering berkongsi pentas dengan Alias




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >