Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SEKITAR RAMADAN

Beri manfaat kepada orang lain, bukan hanya harapkan manfaat

Apr 27, 2021 | 05:30 AM



KITA bersyukur kepada Allah swt kerana dipertemukan dengan Ramadan sekali lagi.



Mudah-mudahan Ramadan yang penuh barakah ini memberi petunjuk kepada kita ke jalan yang lebih benar dan membentuk diri kita menjadi manusia yang lebih baik dan bertakwa kepada Allah swt.



Sebagai umat Islam, kita digalakkan mengamalkan tolong-menolong antara satu sama lain.



Sebagaimana yang diterangkan oleh Allah dalam Al-Quran Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:



"Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan jangan kamu bertolong-tolong pada jalan yang membawa kepada dosa dan juga permusuhan."



Dari ayat tersebut di atas, dapat kita fahami bahawa hidup di dunia ini perlu kerja sama antara satu sama lain, bersatu dalam kegiatan hidup, dalam ketaatan kepada Allah dan Rasulullah saw.



PERIBADI MEMANFAATKAN RAMAI



Dalam hidup ini, tidaklah begitu perlu untuk menjadi orang yang disegani atau ditakuti tetapi jadilah orang yang berguna kepada sesiapa yang berada di sekeliling kita.



Wujudkan dalam diri kita peribadi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat di sekeliling.



Sabda Rasulullah saw (Hadis Riwayat at-Thabrani,) yang maksudnya:



"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain."



Menjadi peribadi yang bermanfaat adalah satu ciri yang harus dimiliki oleh seorang Muslim.



Seorang Muslim lebih diperintahkan untuk memberi manfaat kepada orang lain, bukan hanya mencari manfaat dari orang lain.



Ini kerana memberi manfaat kepada orang lain adalah sebahagian dari ajaran Islam yang penuh dengan cinta dan kasih sayang.



Selain itu, segala kebaikan yang kita hulurkan kepada orang lain, semua kebaikan itu akan kembali untuk kebaikan kita sendiri.



Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Isra' ayat 7 yang bermaksud:



"Sekiranya kamu berbuat baik, sesungguhnya kamu berbuat baik untuk diri kamu sendiri."



Ayat ini dikuatkan oleh hadis yang diriwayatkan Imam Muslim ra yang bermaksud:



"Barang siapa yang membebaskan seorang Muslim dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari satu kesulitan pada hari akhirat.



"Barang siapa yang memberi kemudahan pada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan di akhirat.



"Barang siapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat.



"Allah akan selalu menolong hamba-hambanya selama mana hamba-hambanya menolong saudaranya sesama Muslim.



"Barang siapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan jalan ke syurga baginya."



Tidaklah sekelompok orang yang berkumpul di rumah Allah untuk membaca Al-Quran melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat dan dikelilingi para malaikat serta akan menyebut-nyebut para malaikat yang ada di sisinya.



Barang siapa yang ketinggalan amalnya, maka azabnya tidak akan meninggikannya.



Sebenarnya, memberi manfaat kepada orang lain adalah satu amal soleh yang sangat dituntut dan digalakkan oleh agama Islam.



Sehilangan besar tidak menyedari akan halnya ini, lantaran itu tidak ramai yang mahu maju ke hadapan untuk membantu kesulitan atau keperluan masyarakat sedangkan ganjaran pahala di sisi Allah adalah besar.



Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud:



"Adakah kamu mahu aku ceritakan kamu satu perkara yang lebih afdal daripada darjat solat, puasa dan sedekah?"



"Sahabat menjawab, sudah tentu Ya Rasulullah. Rasulullah bersabda mendamaikan orang yang bersengketa iaitu memperbaiki hubungan persaudaraan mereka."



Kesimpulannya, membantu orang yang berada di sekeliling kita dan yang kerap berinteraksi dengan kita adalah satu amalan yang baik di sisi Allah.



Untuk menjadi seorang yang berguna yang sentiasa menghulurkan tangannya mestilah ada kemahuan dan iman yang kukuh.



Dengan itu, jika kita mempunyai ilmu, kita dapat manfaatkan ilmu tersebut kepada orang lain dan jika kita mempunyai tenaga, kita dapat manfaatkan tenaga kita kepada orang lain.



Dengan itu, kita tidak menjadi hamba Allah yang mementingkan diri sendiri. Sikap mementingkan diri ini boleh menjauhkan diri seseorang dari masyarakat.



Dengan itu, masyarakat menjadi tidak seimbang kerana masing-masing dengan statusnya sendiri.



  • Penulis ialah kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).


"Seorang Muslim lebih diperintahkan untuk memberi manfaat kepada orang lain, bukan hanya mencari manfaat dari orang lain. Ini kerana memberi manfaat kepada orang lain adalah sebahagian dari ajaran Islam yang penuh dengan cinta dan kasih sayang. Selain itu, segala kebaikan yang kita hulurkan kepada orang lain, semua kebaikan itu akan kembali untuk kebaikan kita sendiri."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >