Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Beri tumpuan kepada golongan yang terjejas dek pandemik Covid-19 WISMA GEYLANG SERAI

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

WISMA GEYLANG SERAI

Beri tumpuan kepada golongan yang terjejas dek pandemik Covid-19 WISMA GEYLANG SERAI

Jan 15, 2021 | 05:30 AM

KEPRIHATINAN Wisma Geylang Serai (WGS) terhadap masyarakat Melayu/Islam bertambah-tambah dalam pandemik Covid-19 ini.

Segolongan anggota masyarakat terutamanya menjadi tumpuan WGS - golongan yang pekerjaan mereka terjejas disebabkan wabak koronavirus.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah WGS telah mengkhususkan sebahagian sambutan ulang tahunnya yang kedua bagi mengadakan pameran pekerjaan dan SkillsFuture untuk membantu mereka yang mencari pekerjaan atau mahu meningkatkan kemahiran.

"Dari segi menyokong masyarakat dalam suasana pandemik ini, kami sungguh prihatin terhadap segelintir masyarakat yang sangat terjejas.

"Kami sedar ramai yang kehilangan pekerjaan, ada juga yang gaji mereka dipotong kerana suasana (ekonomi) yang tidak begitu memuaskan, ada juga bapa yang harus membiayai yuran persekolahan anak-anak dan mereka menghadapi banyak masalah, ada juga yang baru tamat zaman persekolahan dan sukar mendapat pekerjaan dalam suasana sulit ini.

"Oleh itu, kami berusaha menganjurkan pameran pekerjaan dan SkillsFuture untuk menolong mereka," ujar pengurus besar WGS, Encik Nur Effendi Esa, ketika ditemui baru-baru ini.

Ini merupakan kali kedua WGS menganjurkan pameran sedemikian, katanya.

Kali pertama diadakan ialah pada 4 September 2020.

Bagi sambutan ulang tahun kedua WGS pada 22 hingga 24 Januari nanti, pameran pekerjaan yang dianjurkan adalah lebih besar daripada sebelum ini, jelas Encik Effendi.

Pameran itu akan dibahagikan kepada dua zon - Zon Pameran Pekerjaan di aras pertama WGS dan Zon Pameran SkillsFuture di dewan serbaguna WGS di aras empat.

Pameran pekerjaan dianjurkan bersama dengan MendakiSense dan Kurnia@WGS sementera pameran SkillsFuture merupakan kerjasama dengan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).

Kurnia@WGS terdiri daripada AMP, Berita Harian, Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Muhammadiyah, Pergas, Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Mengulas tentang kerjasama tersebut, Penasihat Kanan Kerjaya di Mendaki Sense, Cik Siti Amanina Mohammad, berkata:

"WGS berfungsi sebagai nadi masyarakat Melayu kerana kedudukannya di Geylang Serai serta ia mewujudkan landasan bersama untuk tujuan sosial dan ekonomi.

"Melalui anjuran pameran pekerjaan ini, ia juga membentuk sinergi sesama agensi M Kuasa Tiga (M³) dan WGS dengan tujuan memenuhi keperluan masyarakat Melayu/Islam."

Menurut pengurus (Nasihat SkillsFuture) di CDC South East, Cik Hayarti Saleh, pameran SkillsFuture yang bakal diadakan pada Sabtu, 23 Januari 2021, akan mengetengahkan tunjuk cara 'live' dan perkongsian bersama Cef Siti Mastura Alwi dan Cef Nurizan Ismail, atau dikenali sebagai Chef Zan, serta pemilik perniagaan dari rumah (HBB) lain.

"Penyedia latihan seperti SIM, Politeknik Ngee Ann dan Hab Pembelajaran NTUC juga akan berkongsi tentang kursus-kursus yang tersedia.

"Penasihat SkillsFuture juga akan berada di WGS untuk membantu menjawab sebarang pertanyaan berkaitan SkillsFuture," ulas Cik Hayarti.

Mereka yang berminat menghadiri pameran SkillsFuture WGS boleh membuat pendaftaran di http://wgsskillsfuturefair. klobbi.com.

Tiada pendaftaran diperlukan untuk menyertai Pameran Pekerjan tetapi hanya 50 orang dibenarkan pada setiap satu masa.

SOKONG PEGERAI WGS

Lebih daripada menyokong masyarakat secara amnya, Encik Effendi berkata WGS komited menyokong penyewa gerai di bangunan tersebut.

Sempena sambutan ulang tahun keduanya, WGS akan mengadakan Penjualan Bonanza yang diadakan secara dalam talian dan diacarakan Huda Ali dan Nur JM Mohd.

Penjualan tersebut yang akan berkonsep 'auction', atau lelong, dalam talian menampilkan empat peniaga di WGS iaitu Tumi Mode, Sweet Rose Couture, Al-Amal Creations dan Dwiz Pte Ltd.

Ia akan dilakukan pada malam 23 Januari di Facebook WGS.

Maklumat lanjut boleh didapatkan di facebook.com/WismaGeylangSerai.


"Kami sedar ramai yang kehilangan pekerjaan, ada juga yang gaji mereka dipotong kerana suasana (ekonomi) yang tidak begitu memuaskan, ada juga bapa yang harus membiayai yuran persekolahan anak-anak dan mereka menghadapi banyak masalah, ada juga yang baru tamat zaman persekolahan dan sukar mendapat pekerjaan dalam suasana sulit ini. Oleh itu, kami berusaha menganjurkan pameran pekerjaan dan SkillsFuture untuk menolong mereka."
- Encik Nur Effendi Esa, pengurus besar WGS.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3