Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Bersatu Kembali

May 22, 2022 | 09:31 AM



PAK Dollah tidak sabar menunggu 1 April tahun ini. Tidak senang duduk dibuatnya. Dia berjalan dari hujung koridor, selepas itu masuk ke ruang tamu terus ke dapur. Dia keluar lagi pergi ke koridor, masuk ke ruang tamu dan terus ke dapur lagi. Apabila tiba di dapur, kali ini dia termenung jauh. Jauh memikirkan nasib dia yang telah dua tahun tidak bertemu dengan keluarganya yang berada di seberang Tambak.



Betul kata orang rindu itu suatu penyiksaan. Siksanya tidak tertanggung lagi apabila terpisah selama dua tahun. Bagaikan pungguk rindukan bulan tetapi bagi Pak Dollah bukan pungguk yang dirindukan. Dia rindukan keluarga yang tercinta di seberang sana. Rindu sungguh hatinya untuk bertemu dengan anak-anak dan isterinya yang ditinggalkan selama dua tahun yang lalu akibat pandemik Covid-19.



Gara-gara Covid-19, sempadan pun ditutup selama dua tahun. Rindu di hatinya semakin membuak-buak. Rindu bertaut kembali untuk bertemu dengan orang yang paling dekat di hatinya. Hanya khabar melalui WhatsApp atau panggilan video yang dapat menceriakan hatinya dengan hanya menatap wajah-wajah orang yang disayangi dan dirindui selalu.



Asap mula berkepul-kepul keluar dari ruang di dapur. Selepas sebatang rokok habis disedut, diambilnya sebatang lagi. Inilah caranya Pak Dollah menghilangkan rasa sunyi di hatinya. Tidak sabar menunggu 1 April ini.



Akhirnya, hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Riang sungguh hati Pak Dollah bagaikan anak kecil. Kalau boleh hendak sahaja dia melompat-lompat keriangan tetapi apakan daya umurnya sekarang sudah menjangkau senja dan tidak lama lagi akan dijemput Ilahi. Tetapi Pak Dollah masih kuat. Kudrat yang diberikan Tuhan, dia tidak mensia-siakannya. Malah, dia kelihatan sihat, kuat dan masih tegap lagi. Umur sahaja yang meningkat tetapi hakikatnya dia seperti orang yang berusia empat puluhan tahun.



Manakan tidaknya, sewaktu berkahwin dengan isterinya dia sudah lanjut usia. Bujang terlajak sudak tua baru hendak berkahwin!



"Itulah, dulu muda-muda ada orang yang hendak 'kan kau, kau tolak?" leter ibuku. Masih terngiang-ngiang lagi leteran ibuku.



"Dollah nak kahwin umur 40 tahunlah mak. Sekarang ini, Dollah hendak kumpul duit banyak-banyak dulu. Nak simpan nak beli rumah dalu, barulah boleh berkahwin," panjang lebar hujah yang aku berikan kepada ibuku suatu ketika dahulu.



Emm… kini hendak menyesal sudah tidak berguna lagi. Nasi sudah menjadi bubur.



Kini, anak-anakku masih kecil dan ketiga-tiganya masih bersekolah lagi. Aku ada dua anak perempuan dan yang bongsu lelaki. Perbelanjaan harian selalunya aku akan mengirimkan wang setiap bulan apabila mendapat gaji. Duit gaji semuanya aku serahkan bulat-bulat kepada isteriku. Aku cuma mengambil duit untuk kegunaan perbelanjaanku sedikit sahaja. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur walaupun gajiku tidak banyak namun tetap cukup untuk aku menampung keluargaku di seberang.



Minggu ini aku akan pulang. Aku sudah pun siapkan beg bagasi yang besar dan rancangannya aku akan pulang selama sebulan. Selepas Hari Raya nanti, barulah aku akan pulang bekerja di Singapura kembali. Sudah siap dengan sekotak kurma Ajwa yang aku beli di Geylang Serai, beberapa helai baju Melayu dan dua helai Baju Kurung untuk anak-anak dan isteriku. Ada juga sehelai cadar yang baru aku beli dari jualan murah di Metro minggu lepas. Aku harap mereka akan suka nanti," aku bermonolog sendirian.



Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Bas yang aku naiki kelihatan tidak begitu sesak. Semoga Allah permudahkan perjalanan pulangku kali ini untuk bertemu dengan keluargaku yang tercinta. Satu halangan kastam sudah ditempuh tinggal lagi satu kastam di Johor perlu aku lalui. Apabila tiba di kastam, aku melihat berpusu-pusu orang bagaikan semut yang menghurung madu. Aku adalah antara lautan manusia yang berada di kastam ketika hari pertama sempadan dibuka. Akhirnya, setelah melepasi kastam di Johor, aku berasa amat lega kerana dapat menyeberang Tambak pada hari ini. Hatiku berbunga, riang sekali.



Dari kastam aku menaiki bas terus ke Larkin. Setibanya di Larkin, dari jauh kedengaran pekikan anak-anakku yang memanggil namaku dengan kuat sekali.



"Ayah, Ayah!"



Aku menoleh. Aku berlari untuk mendapatkan anak-anak dan isteriku. Aku memeluk mereka dengan linangan air mata yang tidak dapat dibendung lagi. Aku sempat bersujud syukur kerana telah ditemukan dengan keluargaku kembali. Satu episod penyatuan antara anak, suami dan isteri begitu menyentuh hati dan perasaanku selama ini. Bukan sahaja aku yang berpelukan, malah ada ramai lagi orang yang menitiskan air mata kegembiraan pada ketika itu.



"Ayah, Ayah jangan tinggalkan kami lagi ya," kata-kata anak bongsuku, Ammar, begitu menyentuh hati dan perasaanku pada ketika itu.



"Ya, Ayah tidak akan tinggalkan kamu lama-lama lagi," janjiku.



Tetapi sungguh aku tidak tahu adakah aku akan dapat mengubah janji kosongku. Mungkin Ammar belum mengerti. Nanti aku akan terangkan kepadanya lagi selepas bulan Ramadan aku harus kembali bekerja di Singapura untuk menampung perbelanjaan keluarga.



"Maafkan Ayah, Ammar," getus hati kecilku.



Sesungguhnya, inilah hari yang paling bahagia buat keluargaku kerana tiga hari lagi aku sekeluarga akan menyambut bulan yang penuh berkah, bulan Ramadan Al-Mubarak. Semoga hadirnya bulan suci ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan keluarga yang telah terpisah sekian lama. Bulan Ramadan akan dapat menyatukan kembali detik-detik indah bersama keluargaku yang dicintai selalu. Hadirnya Ramadan pasti memberikan sedikit sinaran cahaya yang akan menceriakan setiap keluarga yang terpisah sekian lamanya. Yang paling penting aku berdoa semoga pandemik Covid-19 akan terus berlalu pergi ke tempat asalnya dan tidak akan kembali lagi.




BIODATA PENULIS



Nazariah Nasir minat menulis sejak di bangku sekolah.



Beliau pernah memenangi hadiah merit bagi puisi 'Siapa Diri Ini?' dalam peraduan 'Noktah Putih'.



Nazariah juga telah menghasilkan dua novel bertajuk 'Cinta Facebook Cinta Tanpa Suara' dan 'Tin'.



Lima puisinya pula dimuatkan dalam kumpulan buku 'Puisi Bebas Melata Menekat Sayang'.



Puisi dan cerpen Nazariah juga telah dimuatkan dalam buku 'Hempedu Di Tasik Madu' terbitan Asas '50.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >