PEMERGIAN Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), seolah-olah satu 'genjatan senjata' Umno dan Parti Peribumi Bersatu Malaysa (PPBM) yang tidak sudah-sudah berbalas surat dan kenyataan akhbar sejak akhir ini.
Umno sudah menyatakan pendirian untuk memutuskan hubungan dengan parti serpihannya itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang mungkin diadakan sebaik saja kira-kira separuh penduduk selesai divaksinisasi seperti yang diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sendiri sudah mengutus surat kepada Presiden Bersatu dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyididin Yassin tentang pendirian partinya untuk tidak meneruskan sokongan kepada PN dan memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dalam kenyataan balasnya, mengakui parti menerima surat daripada Presiden Umno dan kandungan surat itu mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di antara Umno, Bersatu dan PN di masa hadapan.
Sebenarnya hubungan kedua-dua parti Melayu sudah lama retak menunggu belah sahaja kerana masing-masing saling mencurigai disebabkan anggota kedua-dua parti itu pernah bersama dulu dan memahami tabiat masing-masing. Anggota Bersatu dan Umno berasal daripada acuan yang sama, pernah tidur sekelambu dan makan semeja, terpisah atas sebab-sebab yang mereka sendiri tahu.
Orang Umno menggelar Anggota Parlimen (AP) parti itu yang melompat ke Bersatu sebagai pengkhianat parti.
Orang Umno juga tidak boleh memaafkan golongan pengkhianat itu kerana tindakan melepaskan diri semasa parti kalah besar PRU14 menyebabkan Umno hampir 'tutup kedai'.
Moral anggota parti amat rendah seperti tidak percaya parti yang menerajui pemerintah lebih 60 tahun tiba-tiba bergelar pembangkang.
Bagi orang Umno, terutama akar umbi pengkhianat parti yang kebanyakan mantan ketua bahagian Umno hanya mementing diri sendiri 'terjun' daripada 'kapal yang nak karam' meninggalkan anggota terkapai-kapai menanti lemas.
Berikutan itu, kira-kira 147 bahagian sudah menyatakan pendirian untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 nanti, hanya tinggal mereka yang mempunyai kepentingan peribadi yang masih mahu mengekalkan kerjasama yang hanya mengukuhkan PPBM.
Ada juga golongan dalam Umno yang mahukan kerjasama itu diputuskan dengan seberapa segera kerana mereka beranggapan peneraju PPBM semakin angkuh dan menghina Umno apabila Tan Sri Muhyiddin 'memberi kata dua' kepada Umno tentang status kerjasama kedua-dua parti dapat diputuskan sebelum PRU15 bagi memudahkan pengagihan kerusi.
AP Gua Musang, Kelantan, yang juga veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mendesak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno segera bermesyuarat untuk mengarahkan semua ahli parti memutuskan hubungan dengan PPBM.
Desakan itu seiring dengan keputusan 147 Bahagian Umno menolak kerjasama dengan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin.
Bagaimanapun, ada juga beberapa pemimpin Umno yang mesra Bersatu, seperti AP Arau, Tan Sri Shahidan Kassim; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Mantan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menempelak kempimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid apabila secara terbuka akan meneruskan kerjasama dengan PPBM.
'Bilik perang' Bersatu di pusat beli-belah Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur sudah tentu kini menyusun strategi dengan pulangnya Tan Sri Muhyiddin dari Arab Saudi dan UAE untuk membalas balik serangan Umno itu yang akhir-akhir ini nampaknya sudah mesra Pakatan Harapan (PH).
Bagi PPBM berdiam diri bukan ertinya kalah, 'Bilik perang' yang sebelum ini rancak mengatur langkah sehingga kejatuhan pemerintah Warisan Plus di Sabah, menggunakan berbagai helah untuk memecah belah Umno yang berada di persimpangan sama ada bersama PN atau bergerak sendirian pada PRU15.
Kalau dilihat dalam Umno sendiri ada beberapa kumpulan antaranya 'kluster mahkamah' gelaran kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang menghadapi tuduhan di mahkamah, selain mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Begitu juga ada 'kluster menteri atau kayangan' dianggotai AP Umno yang dilantik menyertai kabinet seperti Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan akhirnya kumpulan Tok Mat atau Datuk Seri Mohd Hassan, timbalan presiden Umno.
Bagi panglima-panglima Bersatu di 'bilik perang', mereka tahu Umno berpecah belah memudahkan mereka menggunakan jarum untuk terus mencucuk kumpulan tersebut agar mereka sentiasa tidak sekata dalam semua urusan berkaitan parti.
Setiausaha Agung Barisan Nasioanal (BN) yang dipecat Tan Sri Annuar sentiasa mempersoalkan setiap langkah Presiden Umno secara terbuka terutama tentang kerjasama dengan PPBM. Bagi Tan Sri Annuar, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid tersilap dalam keputusan memutus kerjasama dengan Bersatu kerana kerjasama tiga parti Melayu Umno, PAS dan Bersatu menjamin kemenangan besar pada PRU15.
Tan Sri Annuar mungkin dipecat atau dikenakan tindakan disiplin jika peristiwa berlaku semasa presiden-presiden sebelum ini yang tidak bertolak ansur terhadap anggota parti yang mengkritik institusi Presiden yang dijaga rapi selama lagi.
Tetapi apa yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar yang mendapat gelaran mesra Bersatu itu menyebabkan anggota akar umbi bertambah benci dengan Bersatu kerana dianggap cuba campur tangan urusan dalaman Umno.
Pada masa yang sama, Bersatu yang juga dikenali sebagai parti bunga kerana logonya bunga raya sibuk menarik sokongan AP pembangkang bagi mengukuh kedudukan pemerintah PN yang semakin rapuh menunggu hari untuk hancur. Terbaru, dua AP Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Akaun Bersumpah (SD) berikrar menyokong Tan Sri Muhyiddin.
Hubungan rapuh Bersatu dan Umno ini merisaukan PAS yang banyak mendapat manfaat jika ketiga-tiga parti itu dapat duduk semeja seperti mula-mula penubuhan pemerintah PN. PAS yakin 18 kerusi yang dimenangi pada PRU14 tetap dalam genggaman parti itu jika Umno terus bersama dengan PN pada PRU15 nanti.
Sebenarnya, PAS tahu kekuatan Umno di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang yang PAS mempunyai kekuatan. Saingan utama parti itu bukan PH terutama Parti Amanah Negara (Amanah) tetapi Umno yang lebih 60 tahun saling bersaing di negeri-negeri majoriti Melayu itu untuk menjadi pemerintah.
Kelantan, Terengganu dan Kedah, tiga negeri yang pernah bertukar pemerintah. Oleh itu, PAS mungkin akan kehilangan Kedah dan Terengganu jika berlaku pertandingan tiga penjuru PN, BN dan PH, kerana dari segi logistik PH dan BN lebih berpengalaman dan tersusun berbanding PN yang baru setahun jagung.
Oleh itu, tumpuan kini tertumpu kepada Tan Sri Muhyiddin untuk menyelesaikan kekusutan dengan Umno, beliau sudah tahu pendirian barisan pimpinan Umno terutama kluster mahkamah yang masih degil untuk berpisah sebaik saja Parlimen dibubarkan. Tetapi keadaan mungkin berubah hujung bulan ini apabila Perhimpunan Agung Umno bersidang menyatakan pendirian parti tentang kerjasama dengan Bersatu.
Mungkin perpisahan itu lebih awal daripada yang di jangka. Pemerintah PN mungkin lebih pendek daripada pemerintah PH yang mampu bertahan 22 bulan?