Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Bina ekosistem lindungi keyakinan label halal

Setempat
27
0

Bina ekosistem lindungi keyakinan label halal

CEO Warees: Latih pemain industri pertingkat kesedaran, patuhi piawaian pensijilan halal
Feb 03, 2021 | 05:30 AM

INDUSTRI halal sedang berkembang pesat disebabkan potensi ekonominya, namun harus diperhatikan bahawa soal halal adalah satu isu agama dan sensitif, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warees Halal Limited, Cik Dewi Hartaty Suratty.

Oleh itu, pertumbuhan ini perlu dikendali dengan teliti demi melindungi kewibawaan serta memelihara kepercayaan dan keyakinan awam, ujar beliau.

"Untuk melakukan ini, kita memerlukan sebuah ekosistem halal mampan dengan setiap pemain industri mengamalkan rasa tanggungjawab sosial, mempunyai tahap kecekapan tinggi dan mempunyai sumber secukupnya untuk melindungi kewibawaan dalam rantaian bekalan halal," kata Cik Dewi.

Mengulas tentang strategi Warees Halal, Cik Dewi berkata beliau berharap dapat memperkukuh lagi usaha membina keupayaan industri halal menerusi kandungan bermutu dan relevan, berdasarkan keperluan dan keadaan perniagaan unik pemain industri.

Selain menyediakan akses kepada pembiayaan, Warees Halal sedang memperluas platform penyampaian kandungan di luar kursus latihan untuk merangkumi video, webinar, surat berita dan sebagainya.

Cik Dewi berkata usaha membangunkan kapasiti itu bertujuan memastikan pemain industri halal dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mematuhi syarat-syarat halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Tahun lalu, meskipun di tengah-tengah pandemik Covid-19, Warees Halal melatih hampir 1,500 pemain industri halal tempatan untuk mempertingkat kesedaran mengenai industri halal dan memudahkan pematuhan piawaian pensijilan halal Muis.

Di samping itu, Warees Halal telah melancarkan inisiatif Rangkaian Halal Warees tahun lalu dengan pemain industri tempatan dan luar negara boleh berkumpul untuk menyumbang idea dan berkongsi pengalaman, serta bekerjasama ke arah matlamat sama, termasuk perdagangan produk halal.

Cik Dewi berkata jumlah permohonan oleh syarikat luar negara yang ingin mendapatkan pensijilan halal menerusi Warees Halal telah berganda dalam tempoh sedekad lalu.

Permohonan yang bertambah sepanjang 10 tahun lalu itu kebanyakannya disebabkan peningkatan dalam permintaan bagi makanan halal, yang didorong jumlah penduduk Islam yang lebih tinggi, pembangunan ekonomi di China, dan keyakinan pada jenama halal Singapura.

Mengetengahkan beberapa trend dalam industri halal di dunia hari ini, Cik Dewi berkata di peringkat politik, ekosistem halal semakin berkembang dan terdapat beberapa institusi baru yang dibentuk.

Ini termasuk pihak berkuasa halal, badan akreditasi dan badan pensijilan bagi mengendalikan pertumbuhan dan permintaan bagi produk halal, yang bermakna industri halal sekarang lebih dikawal selia.

Di peringkat ekonomi pula, Cik Dewi berkata kumpulan ekonomi seperti Asean, Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga bersatu untuk memudahkan perdagangan produk halal.

Turut menjejas landskap industri halal ialah gaya hidup dan tabiat pengguna, dan kemajuan teknologi, kata Cik Dewi.

Misalnya, jumlah ibu yang bekerja yang lebih ramai hari ini mendorong syarikat menyediakan lebih banyak produk, seperti makanan siap dimakan.

"Malah, kami melihat syarikat makanan halal pindah keluar dari kawasan pusat bandar untuk buka dapur di kawasan kejiranan. Ia dipanggil ghost kitchen, atau dapur alam maya. Ini antara perubahan yang kami lihat.

"Dari segi teknologi pula, terdapat dorongan meningkat bagi kewibawaan lebih baik dalam rantaian bekalan halal. Kami melihat industri bercakap tentang blockchain, kod QR dan sebagainya untuk memastikan terdapat daya jejak lebih baik dalam rantaian bekalan.

"Dari segi undang-undang pula, ada peraturan dan piawaian baru dan ia menjejas bagaimana produk yang dilabel halal harus dihasilkan, diedar dan dijual," kata beliau.


Malah, kami melihat syarikat makanan halal pindah keluar dari kawasan pusat bandar untuk buka dapur di kawasan kejiranan. Ia dipanggil ghost kitchen atau dapur, alam maya. Ini antara perubahan yang kami lihat. Dari segi teknologi pula, terdapat dorongan meningkat bagi kewibawaan lebih baik dalam rantaian bekalan halal. Kami melihat industri bercakap tentang blockchain, kod QR dan sebagainya untuk memastikan terdapat daya jejak lebih baik dalam rantaian bekalan. Dari segi undang-undang pula, ada peraturan dan piawaian baru dan ia menjejas bagaimana produk yang dilabel halal harus dihasilkan, diedar dan dijual."
- Cik Dewi Hartaty Suratty, CEO Warees Halal Limited.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3