Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bintang Indonesia kini 'YouTuber'

Nov 19, 2021 | 05:30 AM



JIKA diputar kembali masa pada era 1970-an dan 1980-an, Rano Karno, Jenny Rachman, Roy Marten, Titiek Sandhora dan Muchsin Alatas merupakan nama besar dalam industri hiburan Indonesia.



Pada zaman kegemilangan mereka, masing-masing menjadi wajah poster atau kulit muka majalah yang digantung di bilik mahupun ditampal pada fail remaja sekolah di Nusantara.



Banyak projek filem atau rakaman lagu yang dihasilkan pada zaman kegemilangan mereka yang menjadi pujaan atau pencetus trend ketika itu.



Namun, apabila masing-masing sudah mencecah usia 60-an atau 70-an tahun kini, kekata 'persaraan' belum lagi ada dalam kosa kata mereka.



Malahan, sewaktu pandemik Covid-19 yang memaksa ramai duduk sahaja di rumah atau bergerak dalam keterbatasan demi keselamatan, kreativiti Rano, Jenny, Roy, Titiek dan Muchsin mengalir pula ke dalam dunia digital.



Cukup menggalakkan apabila mereka yang sudah bergelar datuk dan nenek tampak canggih persis anak muda yang gigih mengisi kandungan kreatif dalam saluran YouTube masing-masing.



Penulis mengikuti perkembangan saluran mereka yang menarik perhatian ramai, baik golongan sebaya yang meminati mereka atau anak muda yang mula mengenali sumbangan mereka pada industri seni serantau.



Apakah yang boleh disaksikan dalam saluran YouTube mereka? Ikuti pengamatan Berita Harian.



SI RANO



- Akaun YouTube rasmi pengarah, pelakon dan ahli politik Indonesia, Rano Karno, 61 tahun.



- Miliki 275,000 pengikut dan 83 video.



Menurut Rano dalam akaun YouTube tersebut, akaun YouTube itu sudah wujud sejak lima tahun lalu dan terisi dengan rakaman video ulang tahunnya dan pelancaran buku riwayat hidupnya, Rano Karno 'Si Doel'.



Namun, akaun ini masih dalam pembangunan malah lebih aktif sewaktu pandemik Covid-19 dengan kandungan lebih nostalgik seperti perkongsian Rano tentang detik manis berlebaran dengan keluarganya sewaktu kecil atau pengalamannya menjadi pelakon cilik.



Ada juga wawancara Rano bersama teman-teman lama yang pernah memenangi anugerah perfileman bersamanya. Mereka berkongsi jerih payah bergelar anak filem. Wawancara bersama anak seni yang pernah mengharungi jangkitan Covid-19 dan sembuh daripadanya turut dipaparkan.



Rano yang dikenali sebagai peneraju siri drama Si Doel Anak Sekolahan selama tujuh musim sejak 1994 turut memuat naik beberapa klip video penuh emosi detik-detik terakhir set rumah Betawi keluarga Si Doel yang dirobohkan baru-baru ini untuk kerja pembangunan.



Kata Rano mengenai lamannya ini: "Ia masih dalam pembangunan. Jadi mohon kritik apa yang boleh diperbaiki."



JENNY RACHMAN ENTERTAINMENT



- Akaun YouTube rasmi pelakon dan ahli politik Indonesia, Jenny Rachman, 62 tahun.



- Miliki 23,200 pengikut dan 63 video.



Secara peribadi, penulis tertarik dengan akaun Jenny yang sarat dengan kandungan nostalgia dan wawancara bersama artis Indonesia yang sudah lama tidak didengari khabar beritanya.



Jenny awalnya memuat naik treler salah sebuah filem perang terkenal lakonannya pada 1985 yang memenangi empat Piala Citra pada Festival Filem Indonesia, Doea Tanda Mata.



Beliau kemudian berkongsi pengalamannya bergandingan dengan aktor Alex Komang bagi filem tersebut.



Daripada perkongsian kisah peribadinya sebagai pelakon dalam pelbagai filem, akaun ini menjadi lebih menarik apabila Jenny pula menjadi bak pengacara Oprah Winfrey yang mencungkil pengalaman lama sahabat seninya seperti El Manik, Roy Marten, Rano Karno dan Widyawati.



Beliau juga berkongsi resipi hidangan yang mudah disiapkan serta belajar menyiapkan tanaman hidrofonik bersama pemilik kebun hidrofonik, Wirawan Hartawan.



Bagi yang merindui bintang Indonesia seperti penyanyi Iis Sugianto, model dan pelakon Marini Zumarnis serta pelakon dan penyanyi Paramitha Rusady, laman ini membuka selingkar kisah hidup mereka kini.



"Saya sudah lama tidak aktif berlakon kerana mahu nikmati usia senja bersama keluarga. Namun, kandungan YouTube ini dihasilkan demi nostalgia dan ukhuwah bersama sahabat seni," kata Jenny dalam videonya itu.



MARTEN & FRIENDS



- Akaun YouTube rasmi pelakon Indonesia, Roy Marten, 69 tahun.



- Miliki 118,000 pengikut dan 81 video.



Roy yang merupakan hero kegemaran ramai pengamat filem Indonesia dek wajah tampan dan karismanya memulakan akaunnya sewaktu pandemik setahun lalu.



Beliau mengendalikan laman ini bersama dua anaknya, Gading dan Gibran Marten.



Ada perkongsian tentang bagaimana beliau memilih menamakan anak-anaknya Gading dan Gibran, kisah seram yang pernah dialami serta kisah cinta masing-masing.



Roy turut berkunjung ke beberapa restoran untuk memberi ulasan makanan dan minuman di situ.



MUCHSIN ALATAS & TITIEK SANDHORA OFFICIAL



- Akaun rasmi pasangan suami isteri selebriti yang terkenal dengan lagu Dunia Belum Kiamat, Muchsin Alatas, 77 tahun dan Titiek Sandhora, 67 tahun.



- Miliki 22,800 pengikut dan 23 video.



Mereka dan anak-anak memulakan akaun YouTube ini tahun lalu untuk berkongsi lagu terkenal yang pernah 'meletup' di corong radio.



Daripada 'gig' dalam talian yang dibuat secara santai dari rumah mereka, kandungan akaun ini beralih pula menyajikan resipi daripada Titiek seperti Sayur Bugis Ala Titiek, Sabsuka Ala Titiek dan Ikan Asin Nyamang.



Apabila jumlah pengikut ini mencecah lebih 3,000 pengikut sekitar Disember tahun lalu, Titiek berkata:



"Terima kasih kerana sudah langgani dan ikuti perkembangan kami. Apabila jumlah pengikutnya semakin banyak, nanti akan ada kejutan demi kejutan dari segi kandungan saluran kami."




''Saya sudah lama tidak aktif berlakon kerana mahu nikmati usia senja bersama keluarga. Namun, kandungan YouTube ini dihasilkan demi nostalgia dan ukhuwah bersama sahabat seni.''
- Jenny Rachman. Veteran




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >