Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN 

Sahirah

Nov 27, 2022 | 05:30 AM



SAHIRAH turun dari teksi tepat mengikut masa yang dijadualkannya. Dia berjalan pantas masuk ke dewan latihan di lantai bawah bangunan kelab.



Dilihat ada latihan sedang berjalan di dewan itu. Sekumpulan pesilat kelihatan duduk berkeliling dalam bentuk separuh bulatan menyaksikan sepasang pesilat sedang beraksi di tengah dewan.



Wartawan muda itu memindahkan perhatiannya ke arah pasangan pesilat yang sedang beraksi itu. Masing-masing pasang langkah dengan gaya tersendiri. Pesilat perempuan dilihatnya lebih segak dan gagah berbanding pesaingnya. Beberapa langkah menyerang pesilat lelaki mudah dielak bahkan dipatahkan lawannya.



Dan betul jangkaannya. Dalam satu langkah yang tangkas, pesilat perempuan sempat menarik dan menghumban pesilat lelaki lawannya ke lantai.



Teruja Sahirah menyaksikan kehebatan pesilat perempuan itu.



Di kepalanya cepat tampil wajah Farhan, lelaki yang pernah memalukannya. Bosan dengan kerenah bongkak teman lelaki yang tidak lagi dapat ditegurnya, Sahirah berterus-terang minta perhubungan mereka putus. Farhan berang. Dihinanya perempuan itu dengan kata-kata kesat.



"Awak ingat dengan rupa awak yang tak seberapa, ada lelaki lain yang akan mengejar awak. Badan leper sepertimu, siapa yang mahu. Kalau ada anak pun anak mati kelaparan dek tak cukup susu!"



Tertusuk hati Sahirah kerana tidak terfikir lelaki itu tergamak meluahkan penghinaan begitu. Dia sungguh jengkel. Sayang, dia tidak punya kekuatan untuk berbuat apa selain berdiam.



Hati kecilnya berbisik: "Kalau aku seperti pesilat perempuan itu, lelaki seperti Farhan itu selayaknya ku banting."



Wajah geram dan puas hati tergambar jelas pada air mukanya. Diikuti senyum sendirian melayan khayalannya.



Dia tidak selesai menyaksikan latihan kerana segera dibawa masuk ke pejabat kelab. Memang itu tujuan kedatangannya - menemu ramah ketua kumpulan silat kelab itu.



Ketika keluar semula selepas tamat temu ramah, latihan di dewan telah selesai. Ramai pesilat sudah bersalin pakaian. Tinggal beberapa orang yang masih berbual sesama mereka.



Mata Sahirah melingas mencari pesilat perempuan gagah tadi. Sudah berubah penampilannya. Kelihatan lebih segak. Jaket hitam membalut tubuhnya, gaya penunggang motosikal.



Sahirah mendekatinya, mengenalkan diri. Mereka bersalaman, berkenalan ringkas, berbual sekedarnya. Dia berjaya mendapatkan persetujuan pesilat itu untuk satu temu janji kemudian.



Dia kemudian langsung pulang, tidak jadi singgah di pejabat kerana dirasanya tiada sebarang urusan yang perlu disegerakan. Bahan yang ada perlu diolah untuk menjadi rencana lengkap. Itupun lebih untuk terbitan mingguan. Masih ada masa untuk disediakan kemudian.



Dia lebih berfikir tentang Anom, pesilat perempuan tadi. Di kepalanya terus segar kehebatan perempuan itu membanting pesilat lelaki lawannya.



Wajah Farhan muncul semula. Marahnya kepada lelaki itu sukar surut. Dibayangkan kemungkinan dirinya punya kehebatan seperti Anom. Mana mungkin Farhan berani memalukannya sebegitu. Akan diajarnya lelaki itu dengan kemahiran bersilatnya. Akan dibantingnya Farhan!



Sahirah senyum sebaik sedar dari khayalannya.



Berganti lagi wajah Anom di kepalanya. Dari perkenalan singkat tadi, dia tahu rupa-rupanya Anom lembut dan ramah orangnya.



Teruja Sahirah apabila Anom mempelawanya berlatih di kelab itu. Hatinya sudah separuh menerima. Selain untuk menguasai kemahiran baru, dia pasti dapat lebih mengenal perempuan hebat itu. Bisik hatinya.



Masih diingat keramahan Anom mempelawa membonceng motosikalnya. Dia memuncung mulut, menggeleng kepala.



"Tak berani!" tolaknya pantas sambil tangannya mengisyaratkan keengganan.



Anom tersenyum faham. Dia tahu wartawan itu, seperti lazimnya perempuan, berasa kecut perut membonceng motosikal di tengah-tengah kesibukan lalu lintas.



Sahirah semakin ingin tahu bagaimana Anom boleh menjadi segagah itu?



Pesilat gagah itu bukan lagi anak muda walaupun tubuhnya menampakkan sosok orang gagah. Dengan usia sekarang dan penampilan yang masih menawan, mengapa dia perlu belajar silat? Apakah dia berhadapan dengan ancaman? Mengapa dia bermotor sendirian!



Di pembaringannya Sahirah terus mencari jawapan.



Menjelma pula watak Sarah, isteri kaya keluarga konservatif Arab dalam novel yang belum selesai dibacanya. Dibandingnya Anom dengan Sarah.



Anom menikmati hidup merdeka - belajar silat, menunggang motosikal, bebas bersaing dengan lelaki. Sarah pula, walaupun bebas dan kaya, berasa hidupnya terpenjara.



Sahirah cuba menganalisis perbezaan kedudukan dan situasi yang dialami dua perempuan itu. Walaupun mereka sama hidup dalam masyarakat moden dan merdeka, seorang berasa terpenjara dalam masyarakatnya, seorang lagi bebas menentukan pilihan hidupnya.



Kalau Sarah berkeadaan demikian gara-gara tekanan nilai masyarakat yang mempertuankan lelaki, bagaimana pula dengan Anom? Sahirah bertanya dirinya.



Dicapainya kembali novel Sarah. Cuba ditekuni kembali watak perempuan yang berasa kedudukannya sebagai perempuan tidak dihargai dalam amalan kehidupan tradisi masyarakatnya. Hidupnya kesepian gara-gara terpasung dengan adat masyarakatnya yang meletakkan lelaki raja segalanya. Kaum perempuan sepertinya dianggap barangan dan tidak perlu dihargai pandangan mereka. Manakala lelaki bebas berbuat apa sahaja, perempuan terbelenggu dalam kehidupan sosialnya oleh nilai-nilai lama.



Dari bacaan awalnya, Sahirah mendapati betapa Sarah berasa ganjil dia harus menutup mukanya ketika berada dalam negeri tetapi tidak ketika berada di luar negara. Dia juga menulis kepada sebuah akhbar di UK mengadu dan bertanya mengapa masih wujud diskriminasi begitu ke atas perempuan dalam masyarakatnya.



Sarah meluahkan kekecewaannya akan nasib ramai perempuan sepertinya dipaksa menerima keberadaan adat dan sosial lapuk yang menurutnya berlawanan dengan keperluan semasa.



Bahkan dia tidak malu-malu mengadu betapa keperluan batinnya terabai oleh sikap kelelakian suaminya tanpa dirinya berupaya melahirkan sebarang bantahan.



Novel itu merakam kekecewaan Sarah dengan sikap ramai lelaki lain dalam masyarakatnya, termasuk suaminya, yang berasa sudah sempurna menunaikan tanggungjawab hanya dengan menyediakan cukup semua kemudahan tanpa menimbangkan keperluan mendapat belaian kasih sayang yang diperlukan seorang isteri.



Sahirah sendiri dapat berasa betapa sebagai seorang perempuan, hatinya terguris dengan tindakan buruk lelaki ke atasnya. Sukar dia lupa layanan dua bekas teman lelakinya dahulu.



Bahasa kesat Farhan masih terngiang-ngiang di kepalanya. Demikian juga pengalaman dengan Irwan.



Pada pertemuan ketiganya dengan Irwan, lelaki itu memutuskan tidak mahu meneruskan perhubungan mereka.



"Kita tak setaraf. Engkau punya ijazah, aku tidak. Sukar aku melawan hujahmu dalam banyak perbualan kita."



Sahirah mencurigai alasan itu. Baginya, Irwan sengaja berselindung dengan kelemahannya sendiri. Dia enggan menghormati hakikat Sahirah lebih terpelajar dan lebih terbuka fikirannya.



Pengalaman pahit itu meneguhkan semangatnya belajar silat. Kebolehan bersilat nanti, dia berharap, dapat menjadi senjata kuat mempertahan diri dari diperlekeh lelaki yang tidak menghormati perempuan!



Dia tertidur berselimut hati yang dongkol.



**********



Malam itu Sahirah dan Anom keluar makan bersama memenuhi janji untuk meraikan kejayaan Sahirah menamatkan fasa pertama latihan silatnya.



Dan tanpa Sahirah menduga, di pertemuan itu Anom membuka lebih banyak rahsia latar belakang kehidupan dan keluarganya.



Dia mendedahkan kegagalan rumah tangganya. Perlahan-lahan Anom bercerita nasib buruknya di tangan bekas suaminya.



Dia mengaku suaminya seorang pendera. Disingsing lengan bajunya menunjukkan beberapa tanda bekas pukulan keras.



"Ada lagi beberapa tanda bekas yang sama di beberapa bahagian yang lain."



Anom mengadu, Sahirah mendengar penuh belas.



"Dia juga banyak berhutang," keluh Anom. "Akak dipaksa melunaskannya. Bila akak mula enggan meneruskan kerana jumlah hutang yang tak pernah habis, dia mengganas. Teruk akak dipukulnya."



Diam.



"Enggan terus jadi mangsa deraannya, akak masuk belajar silat. Akak gigih berlatih sampai menjadi pesilat senior sekarang ini."



Kebolehannya bersilat, Anom mengaku, banyak membantu menghentikan tindakan mendera dari suaminya.



"Tujuan akak belajar bersilat bukanlah untuk balas dendam terhadap sikap ganas suami. Akak cuma mahu mempertahan hak akak dan anak-anak supaya tidak terus-terusan menjadi mangsa tindakan buruk lelaki sepertinya."



Sahirah tunduk memahamnya.



"Dia kemudian menghilang meninggalkan akak dan tiga anak kami. Akak berusaha dan akhirnya kami rasmi bercerai."



Sahirah tersebak. Dia insaf. Dia mula sedar niat asalnya belajar silat itu silap.



Watak Sarah muncul di kepalanya.



Dua perempuan berhadapan sikap lelaki yang sama buruknya. Masing-masing menjadi mangsa. Jalan penyelesaian masing-masing berbeza.



Sarah terus terperangkap dalam layanan buruk masyarakat konservatifnya. Anom punya pilihan sendiri, bebas dalam kehidupan sebuah masyarakat terbuka.



Perbualan dua perempuan itu terganggu oleh satu kekecohan di meja berdekatan.



Ada pertengkaran. Seorang lelaki dibelasah. Tetapi, dia terus meluahkan kata-kata kesat terhadap lelaki yang membelasahnya. Seorang perempuan di sisinya.



Kata-kata kesat itu nampak ditujukan kepada perempuan itu.



Ketika tiada tanda-tanda kekecohan itu akan berhenti, Anom bangun cuba meredakannya.



Kemudian, Sahirah sama bangun membantu.



Dia sempat menghalang lelaki yang sedang membelasah lelaki yang satu lagi itu dengan menolak hayunan tangannya. Pukulannya tersasar. Di saat itu beberapa lelaki lain tampil menarik keluar lelaki yang dibelasah itu. Kumpulan itu kemudian keluar dari restoran.



Ketika akan keluar, lelaki yang dibelasah itu sempat berhenti sejenak melihat Sahirah. Mereka berpandangan. Dia kebingungan kemudian tunduk mengangguk perlahan.



"Dia itu Farhan, lelaki yang pernah saya ceritakan dahulu," Sahirah kemudian memberitahu Anom.



Anom mengangguk. Dia mengerti. Dia gembira Sahirah sudah punya kemahiran yang digunakan sebaiknya.



"Agaknya dia menghargaimu, kekasih lamanya, kerana menyelamatkan dirinya dari terus dibelasah."



Sahirah, wartawan muda itu, tersenyum lucu. Ada rasa kepuasannya.



"Sahirah cuba menganalisis perbezaan kedudukan dan situasi yang dialami dua perempuan itu. Walaupun mereka sama hidup dalam masyarakat moden dan merdeka, seorang berasa terpenjara dalam masyarakatnya, seorang lagi bebas menentukan pilihan hidupnya."




BIODATA PENULIS

Maarof Salleh pernah menjadi zamil kanan kajian di Institut Pengajian Asia Tenggara. Beliau pernah mengajar subjek Bahasa Melayu, Sastera, Ekonomi dan Sejarah pada pelbagai peringkat, dan mengetuai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sedekad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >