Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Mama Cel

Mar 27, 2022 | 05:36 AM



MAMA Cel kebingungan. Sekejap-sekejap berlari ke hulu. Sekejap-sekejap berlari ke hilir.



Belum lesap dengung yang tadi, kini telinganya disumbu bingit hon kenderaan di kiri kanan jalan raya.



Mama Cel meluru ke tengah jalan. Sebuah skuter-e tidak sempat mengelak Mama Cel.



Penunggangnya tercampak dan terbaring beberapa tapak dari kenderaannya. Mama Cel meluru pantas di celahan kaki-kaki manusia yang sedang mengerumuni mangsa.



Entah berapa ramai kaki yang digeselnya. Ada juga yang sempat mengelak geli sambil mencebikkan muka masing-masing. Jijik!



Mama Cel tidak ingat berapa jauh dia berlari. Hiruk-pikuk yang dilaluinya tadi kini kian lenyap. Dia sudahpun sampai di kediamannya.



"Haaaaa! Balikpun kau juga ya Cel!" Tegur Mama Leng seakan memperli. Mama Cel menghela nafas. Sesekali mendengus perlahan. Lelah berlari tadi masih belum hilang.



"Kenapa? Kau ingat aku dah kojol?" Keras jawab Mama Cel sambil menjeling tajam Mama Leng. Mata sepet Mama Cel tenggelam; yang tinggal hanya satu garisan.



"Aku peduli apa kalau kau kojol! Kau yang mengernyam sangat nak keluar! Eh, kau tau tak anak-anak kau tu kebulur dari pagi? Terjerit-jerit nakkan susu kau! Bising! Bingit! Aku nak tidurpun tak boleh!



Kenapa tak kau susukan anak-anak kau dulu sebelum kau berambus keluar tadi?" Balas Mama Leng kasar. Mendengus garang ke arah Mama Cel! Mama Cel bungkam.



Anak-anak Mama Cel yang berkulit belang perang tanah putih krim mula mengerumuninya. Anak-anaknya menyondol-nyondol puting-puting susu ibu mereka.



Muncung Mama Cel menggesel-gesel tubuh anak-anaknya yang berlima. Mama Cel merebahkan tubuh gempal kelabu gelapnya ke tanah.



Dedaun kering dan ranting-ranting kecil yang menyelimuti tanah berterbangan. Ada yang melekat pada kulitnya yang berbulu kasar.



Kelima-lima anaknya rakus mengisi tembolok dengan susunya. Anak-anaknya benar-benar kebuluran!



Mata sepet Mama Cel semakin kuyu. Sesekali mendengus perlahan. Sesekali menggerak-gerakkan ekor pendeknya.



Jika tidak seekor anaknya mati digilis lori tempoh hari, sudah pasti enam ekor disusunya sekarang.



Masih terbayang lagi bagaimana anaknya mati. Pagi masih gelap. Matahari masih bersembunyi. Mama Cel bersama enam ekor anaknya terkedek-kedek berjalan di tengah jalan raya.



Kononnya Mama Cel mahu biasakan keenam-enam anaknya dengan kehidupan keliling. Tidak Mama Cel jangka maut menyambar seekor anaknya.



Sebuah lori penuh manusia tiba-tiba muncul dengan laju. Anaknya menjadi bangkai dalam sekelip mata. Hancur kepala dan terburai isi perut anaknya di tengah jalan!



Mama Cel membuka mata sepetnya. Dilihatnya Mama Leng terbongkang senyap.



Perut Mama Leng bulat besar. Mama Leng bunting lagi. Mama Leng akan beranak lagi. Mama Cel tahu yang Mama Leng dibuntingkan Papa Zir.



Anak-anak Mama Cel itu pun hasil kongsian Papa Zir. Jika dihitung, memang banyak keturunan Papa Zir. Dan bini-bini Papa Zir pun tidak terkira.



Papa Zir memang handal. Senang betul benihnya melekat. Senang betul membiak. Seperti bini-bininya yang lain, Mama Cel dan Mama Leng rasa bangga biakkan zuriat Papa Zir.



"Dah jumpa musuh kau?" Tiba-tiba Mama Leng bersuara langsung mematikan menungan panjang Mama Cel. Anak-anak Mama Cel masih lagi bergayut menyusu.



"Dah."



"Mati?"



"Tak sempat."



"Aiii? Macam mana boleh tak sempat?"



"Sudahlah Leng! Tak payah nak perli akulah!" Jawab Mama Cel dengan nada rendah. Anak-anak Mama Cel berhenti menyusu. Menggesel-geselkan badan kecil mereka sesama sendiri. Mendengus-dengus gembira sebab tembolok masing-masing sudah penuh! Mama Cel mula menggeliat. Menggolek-golekkan tubuh gebunya di tanah.



"Tadi aku mengekori satu manusia sampai masuk ke satu bangunan. Akupun sondol dia dari belakang dan gigit kakinya.



Dia bangun dan lari masuk ke dalam bangunan itu. Akupun kejar. Tak tentu arah dia berlari. Aku sondol dia lagi. Dia tercampak dan tertiarap.



Masa aku nak gigit kakinya lagi, tiba-tiba ada bunyi kuat yang bingitkan telinga aku. Dahsyat bunyi itu! Aku terus cabut lari!"



Mama Cel bercerita penuh ghairah. Puas hatinya dapat menggigit manusia. Puas hatinya melihat manusia mengerang kesakitan.



Mama Leng menjelir-jelirkan lidahnya. Kemudian mendengus perlahan. Geram rasanya dengarkan cerita Mama Cel.



Mama Cel tidak sedar. Maut sedang menunggunya bila-bila masa saja. Mama Cel tidak sedar kebebalannya itu. Degil!



"Cel, kau lupakanlah niat kau nak bunuh manusia! Jangan buang masa.



Manusia di luar sana semua baik-baik. Mereka prihatin terhadap hal ehwal kita. Tengok saja kelmarin; ada yang campakkan makanan kepada kita. Berebut-rebut kau tujuh beranak melantak dengan gelojoh! Kau lupa?



Sekarang, ada hati pulak kau nak bunuh manusia?" Mama Leng membebel panjang. Seekor langau hinggap di muncungnya. Digerak-gerakkan kepala besarnya yang tidak bertengkuk dan berleher itu.



"Senanglah kau cakap Leng. Yang mampus anak aku! Bukan anak kau! Aku yang rasa. Kau tau apa!" Mama Cel mendengus kuat.



"Hei! Kau sendiri yang bongok! Yang kau bawak anak-anak kau berjalan di tengah jalan raya tu buat apa? Kau nak salahkan manusia? Sudahlah. Tak payahlah kau nak sedih sangat Cel. Apa susahnya? Kau beranaklah lagi. Jangankan satu, empat atau enam ekor anak pun kau boleh teran.



Suruh si Zir buntingkan kau lagi. Dia mesti tak tolak!" Mama Leng bersuara tegas. Dia mahu Mama Cel fikirkan anak-anaknya yang masih hidup.



Mama Leng bimbang akan keselamatan kaum kerabatnya di kediaman mereka sekarang. Mara bahaya di luar masih boleh kaum kerabatnya elakkan. Tetapi musuh-musuh yang dekat menyelinap dalam senyap tidak mereka sedari!



Telinga Mama Cel melekap pada bebelan Mama Leng. Muncungnya menyondol-nyondol sebusut tanah yang berhampirannya.



Lidahnya terkesan seekor cacing tanah dan semut-semut yang berkeliaran. Dengan pantas dicengkam dan ditelan cacing tanah dan semut-semut yang ada. Ah… rezeki Mama Cel!



"Kau dengar tak apa yang aku cakap Cel?" Mama Leng bersuara sambil mengimbangi tubuh boyaknya untuk berdiri.



Kaki-kaki pendeknya semakin sukar menampung badannya yang semakin berat. Perut bulatnya hampir mencecah tanah.



"Eh, aku belum pekak Leng! Kau kata, manusia di sini prihatin terhadap kaum kerabat kita.



Yang aku tahu, manusia tetap jijik dengan kita. Kita kaum perosak. Tidak boleh dibela dan ditimang seperti kucing dan anjing.



Tapi jijik-jijiknya kita ini, ada juga manusia yang sanggup perangkap dan makan bangkai kita! Itu yang aku rasa pelik!"



Mama Cel mendengus perlahan. Dia pernah lihat kelibat-kelibat manusia menyusup masuk berhampiran kediamannya.



Dari celahan rimbunan pohon renek, Mama Cel lihat mereka sedang mengandar seekor kerabatnya.



Mama Cel kenal benar kulit perang gelap berbulu kasar itu. Mama Khin! Matanya tertutup rapat. Lidahnya terjelir. Berapi mata dan hati Mama Cel.



"Cel, manusia bukan musuh utama kita. Si Rimau dan si Sawa itulah musuh kita selamanya.



"Nasib baik si Rimau tak serasi duduk di kawasan kediaman kita ini. Jika tidak sudah lama dibahamnya kita.



"Cuma si Sawa yang semakin membiak dekat sarang kita. Baik kau pantau anak-anak kau Cel. Hati-hati. Kaum kerabat si Sawa memang licik. Dalam diam dibelitnya kita sampai mati. Ditelannya bulat-bulat bangkai kita," Mama Leng bersuara lagi.



Kelmarin, sedang Mama Leng bermandi lumpur, Mama Leng terdengar jeritan nyaring berselang seli dengusan kasar kerabatnya.



Tidak lama kemudian, suara jeritan dan dengusan mati. Mama Leng yang sedang sarat bunting perlahan-lahan berjalan ke arah jeritan itu.



Langkah Mama Leng terhenti bila terpandangkan si Sawa melingkar diam. Mama Leng lihat bonjolan besar di pertengahan badan si Sawa. Entah kerabatnya yang mana pulak ditelan si Sawa. Harap-harap bukan Papa Zir!



Mama Cel dan Mama Leng mengunyah-ngunyah dedaun yang diragutnya dari sebatang pohon renek.



Anak-anak Mama Cel tak berhenti menyedut-nyedut tanah di sebalik dedaun kering.



Sarang Mama Leng sudahpun siap. Semua Mama Leng buat sendiri. Tidak lama lagi Mama Leng akan meneran keluar anak-anak Papa Zir.



Sudah lama Mama Leng tidak nampak bayang muncung Papa Zir. Sudah adat kaum kerabatnya. Betina-betina bersama anak-anak kecil mereka hidup berkumpulan.



Jantan-jantan dewasa hidup bebas berasingan. Hanya bila tiba musim mengawan, barulah jantan-jantan sibuk pulang ke sarang.



"Cel, kita kena selamatkan kediaman dan sarang kita ini. Aku makin risau dengan kerabat si Sawa. Kaumnya semakin banyak sekarang.



"Silap-silap, aku, kau dan anak-anak kau semua ditelan mereka," Mama Leng mendengus kecil.



Si Sawa semakin hari semakin tidak sedar diri. Si Sawa semakin hari semakin berani.



"Apa yang boleh kita buat Leng?" balas Mama Cel perlahan.



"Kita kumpulkan semua kaum kerabat kita. Kemudian kita cari sarang-sarang kerabat si Sawa. Kita makan telur mereka. Kita bunuh semua kaum kerabat si Sawa yang kecil, yang besar, yang muda, yang tua! Semua kita telan!"



Bersemangat sungguh Mama Leng bersuara. Kecur air liur teringatkan enaknya telur dan daging si Sawa. Terjelir lidahnya seketika. Ekor kontotnya bergerak-gerak.



"Mama Cel! Mama Leng!" Teriakan cemas melantun tiba-tiba. Mama Cel dan Mama Leng bertukar pandang.



Seekor jantan muda kerabatnya tercongok di hadapan mereka.



"Papa Zir…"



"Kenapa dengan Papa Zir?" Mama Cel dan Mama Leng bersuara serentak.



"Si Sawa sedang membelit Papa Zir di tengah jalan sana…"



Mama Cel terpaku diam. Mama Leng jatuh terjelepok di sarangnya.



Di persimpangan sebatang jalan raya, tidak sedecitpun kenderaan berbunyi.



Para penghuni hutan batu tersentak kaku. Satu pergelutan dahsyat sedang berlangsung di hadapan mata.



Seekor celeng jantan dan seekor ular sawa saling bertarung nyawa.




BIODATA PENULIS 



Wan Jumaiah Mohd Jubri mula menulis pada 1982.



Cerpen sulungnya, 'Di Telan Pahit Di Buang Sayang', tersiar di akhbar 'Berita Minggu' pada 2 Mei 1982.



Cerpennya pernah disiar di akhbar 'Berita Minggu' Malaysia dan majalah Dewan Budaya dan Dewan Sastera.



Buku kumpulan cerpen pertamanya, 'Penawar Rindu', terbit pada 2003 dan yang kedua, 'Dianku Seroja', pada 2014.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >