Di kala waktu memecut
antara mencari kebebasan dan memulaukan kemerdekaan
yang lemah diragut keselamatan
walau dipagari kubu dan senjata
ada peluru mampu menembusi liang-liang sekatan
Yang menyerang dan bertahan
terkabur antara kuasa-kuasa merata dunia
tuduhan sesama
hanya menambah kekeliruan dan kehancuran
bukan penapis keadilan
Ukraine
disasar dan terbelit oleh paksaan
terceroboh, lalu api membakar
dan letupan menjadi sorakan harian
sedang ibu dan anak-anak
belum sempat disambut
sebagai pelarian
Kemenangan entah di mana
kerana masing-masing tidak berganjak
mengharap kelumpuhan lawannya
dan pencerobohan
kian mencari sasaran
NORULASHIKIN JAMAIN