Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Jalak tercabar

Mar 20, 2022 | 05:30 AM



SEMENJAK Pak Hamid membawa pulang kakak tua itu, si Jalak sudah terasa tidak sedap hati.



Dia tidak tahu kenapa perasaannya begitu. Selama ini dia hidup dalam suasana yang aman dan tenteram. Setiap pagi jam lima dia sudah melantunkan suaranya yang merdu dan mendayu-dayu itu untuk membangunkan Pak Hamid dan isterinya.



Mereka berdua tidak perlu kunci jam loceng untuk bangun solat subuh. Jalak sudah menjalankan tugasnya untuk kejutkan Pak Hamid dan isterinya. Sudah lama dia berkhidmat pada tuannya itu.



Semenjak di kampung lagi hinggalah Pak Hamid berpindah ke rumah semi dua tingkat itu. Rumah itu rumah anak Pak Hamid yang berpindah ke Australia kerana bertugas di sana.



Pak Hamid suami isteri diserahkan tugas menjaga rumah itu. Entah berapa lama, tidak diketahui. Tetapi Pak Hamid dan isterinya mesti tinggal dan menjaga rumah itu. Biarpun mereka pulang nanti, Pak Hamid suami isteri akan tetap tinggal di rumah itu.



Pada mulanya Pak Hamid keberatan, sebab dia sudah bercadang untuk membeli flat tiga bilik ketika kampung tempat tinggalnya diambil pemerintah untuk dijadikan kawasan perumahan yang moden.



Apabila anaknya memujuknya demi menjaga rumah yang didiaminya itu kekal dijaga dengan baik, maka terpaksalah Pak Hamid dan isterinya akur. Namun dia minta kebenaran daripada anaknya itu untuk membawa Jalak sekali.



Jalak sudah lama dipeliharanya, bertambah pula kokokan Jalak sangat merdu dan menyenangkan telinganya mendengar. Anaknya tidak menghalang asalkan Pak Hamid tahu menjaga Jalak supaya jangan merayap ke rumah jiran-jirannya.



Pak Hamid gembira. Dia buatkan reban Jalak daripada dawai berlubang empat persegi, siap dengan lantainya dialas papan dan dilapis surat khabar, supaya senang dia membersihkan najis Jalak.



Maka sejak itu, berpindahlah Jalak daripada suasana hidup di kampung kepada hidup dikeliling rumah batu. Kokokannya hanya untuk Pak Hamid dan isterinya sahaja. Lebih-lebih jiran tetangga yang berdekatan. Tiada laporan bising atau mengganggu. Senang hati Pak Hamid.



Setiap pagi Pak Hamid akan ke reban Jalak, membersihkan najis Jalak, kemudian memberinya makan. Air minum ditukarkan setiap hari. Jalak gembira. Sebagai balasan, Jalak akan berkokok setiap pagi mengejutkan Pak Hamid dan isterinya. Jalak bangga dapat berkhidmat untuk Pak Hamid dan isterinya.



Kadang-kadang kokokannya mendayu-dayu menyejukkan hati Pak Hamid dan jiran tetangga yang berhampiran.



Ketenangan Jalak tercabar apabila sebulan yang lepas, Pak Hamid membawa pulang kakak tua. Siap dengan sangkarnya sekali. Cantik bulu kakak tua itu. Sangkar itu digantung tidak jauh dari reban Jalak.



Jalak nampak Pak Hamid begitu manjakan kakak tua. Diagah-agahnya supaya kakak tua bersuara. Pak Hamid bersiul, ketikkan dua jarinya dan macam-macam lagi, tapi nampaknya kakak tua membatu. Agaknya belum selesa.



Pak Hamid siapkan makanan kakak tua dan air sekali. Jalak kurang senang, dia pasti Pak Hamid akan kurangkan perhatiannya pada Jalak. Tetapi Jalak tidak putus asa. Dia mahu terus memenangi hati Pak Hamid.



Pak Hamid tidak boleh beralih kasih dan perhatian. Jalak telah lama berjasa dan berkhidmat yang kakak tua tidak akan boleh beri. Oleh itu dia akan tunjukkan pada kakak tua apa yang dia boleh buat tetapi kakak tua tidak boleh buat.



Pagi itu, macam biasa Jalak berkokok. Lebih panjang dan merdu kokokannya. Kakak tua mengepak-ngepak sayapnya kerana kokokan Jalak itu. Jalak telah bangunkan dia daripada tidurnya yang lenyak.



Dikibas-kibasnya kedua belah sayapnya menunjukkan marahnya. Jalak seperti tahu kakak tua marah. Jalak terus berkokok.



Tidak lama lampu dihidupkan dan Pak Hamid buka pintu melihat mengapa kakak tua mengibas-ngibas kedua belah sayapnya. Pak Hamid mendekati kakak tua dan membuka pintu sangkar lalu mengurut-ngurut bulu kakak tua. Kakak tua senyap. Jalak terus berkokok.



Dia mahu Pak Hamid juga datang ke rebannya. Tetapi Pak Hamid tidak hiraukan. Dia masih berdiri di sangkar kakak tua sambil mengurut-ngurut dan memujuk kakak tua. "Hammm.....agaknya Jalak mengganggu kamu ya?" terdengar suara Pak Hamid.



"Jalak? Sudahlah tu. Aku dah bangun. Tak payah nak berkokok lagi," celah Pak Hamid.



"Wah! Pak Hamid marahkan aku?'', jawab Jalak dalam hati.



"Inilah perangai manusia. Apabila sudah ada yang baru, yang lama dia lupakan. Tak apa. Aku akan terus jalankan tugas aku sehingga suatu hari nanti kakak tua akan diabaikan," rungut Jalak.



Apabila kakak tua sudah tenang, Pak Hamid masuk untuk menunaikan solat subuhnya. Isterinya sudah sedia menanti untuk berjemaah. "Kenapa dengan kakak tua tu?" tanya Mak Lijah.



"Entahlah. Agaknya dia terkejut dengan kokokan Jalak," jawab Pak Hamid kemudian meneruskan azan untuk solat subuh. Jalak bungkam. Marahnya memuncak. Mahu sahaja dia patuk-patuk kakak tua, tapi kakak tua jauh daripada rebannya. Mahu tak mahu dia senyap dan menutup matanya, berharap dapat tidur.



Semakin hari sikap Pak Hamid pada kakak tua menjengkelkan Jalak. Tumpuan dan perhatian Pak Hamid pada kakak tua begitu hebat sekali. Jalak benar-benar tercabar.



Pak Hamid seperti lupa pada Jalak yang sekian lama telah berjasa. Apa yang ada pada kakak tua itu sehingga dia mendapat perhatian yang lebih daripada Pak Hamid. Suara tak pernah terdengar bersiul atau bercakap. Kata orang kakak tua boleh bercakap, tetapi kakak tua ini bisu agaknya. Begitu jengkelnya Jalak pada kakak tua.



Suatu pagi, sebulan setelah kakak tua berada di rumah Pak Hamid, tiba-tiba kakak tua berkokok sebaik sahaja dia mendengar kokokan Jalak. Jalak terkejut. "Ehhh, si kakak tua itu ikut aku berkokok?" gerutunya. "Wah sama sahaja. Betul-betul ikut gaya dan suara aku," rungut Jalak lagi.



Sekejap lagi Pak Hamid keluar menuju ke sangkar kakak tua. Dia berdiri dan pasang telinga. Jalak berkokok lagi menarik perhatian Pak Hamid. Tetapi tumpuan Pak Hamid pada kakak tua yang baru sahaja habis berkokok. "Wah! Kau boleh berkokok macam Jalak? Bagus. Teruskan. Nanti aku ajar kau bercakap dan bersiul."



Mendengar pujian Pak Hamid pada kakak tua, Jalak geram. Dia tidak berkokok lagi.Tapi dia merotok-rotok kuat menunjukkan marah. Tapi siapalah hendak layan. Pak Hamid bukannya tahu apa yang ada pada hati Jalak.



Begitulah kisah Jalak dengan si kakak tua. Jalak berkokok, kakak tua pun berkokok. Jalak senyap, kakak tua senyap. Hisss....betul-betul menyakitkan hati Jalak. Marahnya semakin membuak. Geramnya semakin menjadi-jadi.



Akhirnya dia bertekad hendak melepaskan diri, lari dari rumah Pak Hamid. Biarkan si kakak tua bersendirian tanpa ada kokokan lagi.



Oleh itu, suatu hari, ketika Pak Hamid membuka pintu rebannya untuk membersihkan najis, Jalak ambil peluang meloloskan dirinya melalui pintu reban yang terbuka. Jalak terus berlari ke arah pintu pagar rumah semi dua tingkat itu lalu terbang melepasi pagar rumah itu.



Dia berlari sekuat hatinya. Pak Hamid yang terkejut dengan tindakan Jalak itu terus mengejar Jalak, tetapi tak berjaya menangkap Jalak. Jalak pantas menghilangkan diri melalui semak-semak di kawasan perumahan itu. Pak Hamid akhirnya mengalah. Dia berjalan kepenatan pulang ke rumah.



"Pergi mana?" tanya Mak Lijah.



"Mengejar si Jalak. Dia terlepas dari reban tadi. Puas saya kejar, tapi tak dapat. Dia hilang entah ke mana," jawab Pak Hamid.



"Sudahlah tu. Tak usah dicari. Lama-lama nanti baliklah dia. Hendak mencari kawan agaknya. Kakak tua awak tu mana sesuai jadi kawannya," sela Mak Lijah.



"Habis, kena kunci jamlah nanti. Tukang kejutkan sudah tiada," gerutu Pak Hamid. "Allah! Tak apalah. Bukannya susah," sindir Mak Lijah.



Semenjak hari itu, tinggallah kakak tua sendirian di dalam sangkarnya. Dia terasa sunyi juga bila tidak mendengar kokok Jalak. Dia baharu sahaja belajar berkokok macam Jalak, Jalak sudah pergi. Bolehkah dia berkokok setiap pagi bangunkan Pak Hamid seperti yang dilakukan Jalak? Kakak tua ingin mencuba.



Oleh itu, pagi itu ketika matahari telah menerangi bumi, kakak tua berkokok. Pak Hamid terkejut. "Eh! Lijah. Jalak pulanglah. Itu kokoknya," beritahu Pak Hamid pada Mak Lijah.



"Itu bukannya kokok Jalak. Itu kokok si kakak tua awak tu. Sudah tegak matahari dia berkokok buat apa? Kita dah selesai solat subuh dan tengah nak sarapan ni," celah Mak Lijah.



"Oh. Kakak tua tu dah boleh ikut kokok si Jalak, tapi tidak tahu bila dia patut berkokok bangunkan kita," jawab Pak Hamid.



"Itulah namanya kalau suka ikut-ikutan. Pakai lanyak sahaja," gerutu Mak Lijah.



Pak Hamid pergi ke sangkar kakak tua. Dia suruh kakak tua berkokok. Kakak tua membisu.



Pak Hamid bersiul, kakak tua ikut bersiul. Pak Hamid ketik-ketik dua jarinya, kakak tua mengibas-ngibaskan kedua sayapnya. Pak Hamid tinggalkan kakak tua bersendirian. Dia masuk ke dalam untuk bersarapan.



Pak Hamid masih mengharapkan Jalak pulang. Sudah seminggu Jalak tiada. Kokoknya juga tidak kedengaran. Pak Hamid terasa sunyi. Setiap petang Pak Hamid berjalan di serata kawasan perumahan semi dua tingkat itu mencari-cari Jalak. Untung-untung terjumpa.



Dia yakin Jalak tidak akan pergi jauh. Jalak mesti rindukan tempat tinggalnya. Jalak mesti mencari makanan kegemarannya yang setiap pagi disediakan Pak Hamid. Pak Hamid berdoa semoga Jalak kembali ke rumahnya semula. Berkawan dengan kakak tua. Harapan Pak Hamid begitu kuat, sehinggakan teriang-riang di telinganya suara kokok Jalak sayu-sayu mengejutkannya untuk solat subuh.



Begitulah harapan Pak Hamid pada Jalak. Dia sayangkan Jalak. Dari kampung dia bawa Jalak, ayam-ayam yang lain ditinggalkannya sebab tiada tempat dan kemudahan untuk memelihara ayam-ayam yang lain, tapi kerana kecuaiannya Jalak terlepas.



Mungkin Jalak sudah bosan tinggal bersendirian tanpa ayam-ayam yang lain. Pak Hamid berserah pada nasib. Kalau Jalak memang akan balik syukurlah tapi kalau tidak biarlah Jalak mencari kebahagiaannya sendiri.




Ketenangan Jalak tercabar apabila sebulan yang lepas, Pak Hamid membawa pulang kakak tua. Siap dengan sangkarnya sekali. Cantik bulu kakak tua itu. Sangkar itu digantung tidak jauh dari reban Jalak. Jalak nampak Pak Hamid begitu manjakan kakak tua. Diagah-agahnya supaya kakak tua bersuara. Pak Hamid bersiul, ketikkan dua jarinya dan macam-macam lagi, tapi nampaknya kakak tua membatu. Agaknya belum selesa.




BIODATA PENULIS 



Dikenali dengan nama pena 'Rosemala', Patimah Jaludin mula menulis karya kreatif pada 1966 melalui skrip drama radio. Penulisannya kemudian berkembang kepada cerpen dan sajak.

Beliau memenangi banyak anugerah sastera, antaranya hadiah pertama bagi Sayembara Penulisan Cerpen (1983 dan 1984) anjuran Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan pada waktu itu, dan Anugerah Persuratan 2009 Skrip Drama Radio anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Beliau kini mengendalikan bengkel penulisan kreatif bagi pelajar sekolah rendah, menengah dan madrasah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >