Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Bukan Halusinasi

Sep 18, 2022 | 05:30 AM



(i)



KAU tercegat di ruang tamu kondominiummu. Kau menyalangkan mata ke arah lantai yang berpermaidani indah seperti mata rusa yang berwaspada tapi terus kehilangan punca. Benar-benar dirantai kebodoh-bodohan. Semacam kebodoh-bodohan itu bercambah apabila kau dikejutkan suatu suara yang amat kau cam. Siapa lagi kalau bukan isteri tersayang.



"Apa yang abang buat ni? Macam patung cendana saja, tak bergerak agak lama. Macam orang tak betul. Biasanya abang tak macam ini. Selepas balik main golf, abang akan berehat di sofa itu, baca surat khabar atau menonton TV selepas mandi. Ini tidak. Badan hapak. His, kena sampuk ke apa, bang?" isteri kau membebel dalam satu nafas panjang macam kereta api ekspres.



Nada suara isteri kau jelas sinis dan amat menjengkelkan hati tapi itulah yang nyata dan tidak dapat dinafikan kebenarannya. Apalah tidak benarnya, beg hitam yang terisi kayu golf besi (yang berupa hybrid, driver, wedge, putter), bola golf bagai tersadai lesu di atas lantai. Seolah-olah kau laksana kayu golf besi dan bola golf itu sendiri yang nampak kaku dan keras ketika tercegat tadi. Seolah-olah bertentangan dengan kecergasan kau dari pagi sampai tengah hari tadi ketika berupaya berjalan lebih kurang lapan batu dalam pusingan 18 lubang.



Bercakap tentang lubang, kau masih ingat dengan jelas bagaimana kau mengalami satu pengalaman payau berulit suatu keanehan yang sukar diterangkan dengan kata-kata mudah. Manakan mudah, kerana sebenarnya kau merasakan suatu pengalaman yang amat mengerikan. Kalau kejadian itu benar-benar terjadi pada kau, kau pasti disemadikan ke dalam lubang besar, tujuh kaki dalam ke bawah. Ah, lebih tepat liang lahad. Pucat muka dan berdegup kencang dada kau pabila disebut dua perkataan terakhir itu. Pucat dan berdegup hebat kerana kau belum bersedia menjadi mayat dan diletakkan di tempat gelap dan terasing, bukan?



Ceritanya amat panjang walaupun kejadian aneh itu berlaku dalam masa yang agak singkat tapi penuh padat macam susu pekat dalam tin. Sekurang-kurangnya susu itu manis tapi pengalaman tadi sebelum isteri kau pulang dari sebuah gedung beli-belah ternyata amat pahit bagi kau menelannya.



Sama ada suka ataupun tidak, kau terpaksa menceritakan yang panjang itu dan memasukkannya pekat-pekat ke dalam tin ingin tahu isteri kau yang terkilan benar hendak tahu punca juga. Tahu-tahu sajalah orang perempuan, dia tidak tahu mahu kehilangan punca tapi ingin tahu puncanya. Kalau kau mendiamkan diri terus, pasti akan mengundang banyak prasangka atau fikiran serong yang bukan-bukan dan tiada sudahnya seperti sungai yang tak bertepian. Parah! Kau tak mampu membiarkan itu terjadi.



Silap haribulan, pinggan mangkuk boleh terbang melayang macam piring terbang makhluk asing. Bukankah kau pernah berjanji dengan isteri kau, Hamimah, bahawa tiada rahsia antara kau berdua? Oh, inilah yang tak sedapnya pabila sudah terpahat janji. Kalau sudah berjanji dan tak seharusnya berahsia, maka inilah yang memedihkan. Api kepedihan itu harus dipadamkan, kalau tidak isteri sendiri akan mengecap kau benar-benar sudah gila, atau mabuk atau di bawah pengaruh dadah yang mencetuskan kau dalam keadaan mamai yang boleh diangkat darjatnya sebagai berhalusinasi. Tapi kau tahu dan pasti benar kau tidak berkhayal atau berhalusinasi sama sekali.



Angin 3 petang hari Ahad yang bertiup dari arah jendela kaca seperti datang mengumpul sayu ke hatimu. Dan kesayuan itu bercambah apabila satu-satu kisah sejam yang lalu terungkai segar dalam ingatanmu.



Dengan mata yang basah dan merah, kau menyusun semula detik-detik yang amat mengusik kalbu untuk merumus kembali setiap kejadian aneh itu menjadi sebuah cerita yang tidak lagi berupa rahsia sambil diperhatikan isteri kau yang duduk bertentangan penuh kehairanan dengan kau di sofa berwarna krim itu.



Semacam kuasa magis yang kau alami itu kau ceritakan sepenuhnya di sofa, tanpa perlu mandi dulu. Tak perlu ditunggu-tunggu lagi. Ya, dalam keadaan badan yang berhapak dan dalam keadaan peluh yang masih melekat pada pakaian kau yang didakwa isteri kau. Dia benar-benar tak sabar lagi hendak mendengar pengalaman kau itu. Seolah-olah kayu golf besi dan bola golf dalam beg kulit hitam panjang kau itu sudi menjadi saksi.



Telinga isteri kau yang terjuntai anting-anting emas bergemerincing halus disogok satu-satu dengan kata-kata bernada pilu dan bergetaran panjang.



(ii)



Dari jauh, setelah keluar dari lif di tingkat 10 kondominium, menuju ke rumah kau di sebelah hujung, kau terasa ada suasana digigit kesepian. Ada jalur-jalur murung terlukis di wajah setiap orang, baik lelaki mahupun perempuan, baik tua mahupun yang muda.



Kau tiba-tiba kaya dengan pelbagai bunga persoalan. Setiap satu berkembang di kepala. Antara yang jelas berbunyi, "Apa yang sudah terjadi?" Kau cuba mencari Hamimah, dia pasti tahu. Tetapi kelibatnya tiada di muka pintu yang ternganga luas, bagaikan menyambut pelawat jauh dan dekat.



Kau terasa kau bagaikan berenang di sungai manusia. Ingin menyeberang ke tebing rumah kau sendiri. Suasana terus terbius sunyi. Kesunyian menyergap di jiwa. Dan semakin kalut apabila pelawat-pelawat yang gawat seperti tidak mempedulikan kau.



Eh! Apa yang terjadi ini? Semakin kalut lagi, apabila kau bertanya kenalan kau yang pernah bermain golf dengan kau, Rahim. Rahim tak endahkan kau juga! Seolah-olah kau tak wujud!



Di celah-celah orang ramai, kau nampak Hamimah yang duduk bersimpuh, wajahnya semuram mendung. Ada sesuatu yang kejam telah merampas sinar daripada matanya.



Duduk di sebelah Hamimah ialah ibu kau yang berusia 75 tahun, 25 tahun lebih muda daripada kau. Di sebelah kiri pula, yang duduk bertentangan di ruang tamu, terduduk atas tikar mengkuang ialah ayah kau, dua tahun lebih tua daripada ibu kau. Air mata daripada kelopak mata kedua-dua orang tua kau terus basah. Seperti Hamimah, ada air jernih daripada hidung ibu kau meleleh ke bibir dan meresap ke dalam lopak urat kedutan di dagu.



Kedinginan terus membalut ruang keliling. Lautan kesedihan begitu bergelora mengisi ruang agam itu. Kau disuntik semacam keresahan yang amat sangat. Siapa yang mati?



Kau dapat tahu mayat itu sudah dimandikan, hanya menanti untuk disembahyangkan dan sudah tentu pula disusuli untuk disemadikan.



Ada seorang menyelak kain yang menutupi mayat itu untuk melihat sekujur tubuh terbaring yang kaku. Kau benar-benar tidak percaya apa-apa yang kau lihat! Yang terbaring kaku itu adalah tiada lain selain kau sendiri! Ya Allah! Kau telah pergi untuk selama-lamanya. Terasa seperti ada ledakan yang menggoncangkan seluruh jiwa. Dada kau sebak, pilu dan terharu. Kau ingin menjerit kuat-kuat. Gawat amat. Tapi suara kau tidak lepas keluar. Mulut kau terkunci. Tapi tidak pula mengunci mata kau. Air mata kau menjujuh. Bahu kau bergegar menahan sedu-sedan apabila melihat sepupu kau, Rozita, mendemah bahu Hamimah dan meminta dia bersabar.



Tangisan sepupu-sepupu kau, Qasidah dan Humairah, yang baru datang, pecah, menderaikan air mata jernih daripada kelopak mata mereka, lalu turun ke pipinya yang putih kemerah-merahan.



Air mata semua yang hadir (termasuk adik perempuan tunggal kau, Azura, yang menyandarkan badan yang lesu ke dinding), dan tidak putus-putus merembes air matanya, tergugat kerana terperanjat pabila di balik kain yang menutupi mayat kau bergerak-gerak!



Pelbagai bunga persoalan berkembang di dalam taman fikiran mereka yang hadir. Adakah kau yang sudah mati hidup balik? Ini tidak mustahil, kerana pada masa lalu ada banyak kisah tentang orang mati hidup semula walaupun untuk beberapa ketika.



Tidak kurang yang tertanya-tanya dengan bahasa mata sambil memandang antara satu sama lain agar disingkap saja kain penutup mayat itu untuk melihat apa yang menyebabkan mayat itu bergerak-gerak agak galak. Tetapi tiada seorang pun yang berani bertindak.



Agak lama, baru ada seorang kenalan lain kau, Maarof namanya, tampil ke depan mendatangi mayat kau yang terletak di tengah-tengah ruang tamu dengan keringat tipis berbaris di atas raut muka dan di lehernya.



Sebaik sahaja kain batik pelikat itu disingkap perlahan-lahan dan dengan tangan yang menggeletar macam orang kena demam denggi terperanjat besar dan penuh onar. Dia seperti terpelanting ke belakang, hampir-hampir menghempap ke atas salah seorang yang berada di belakangnya, tapi disambut tangan-tangan yang kasar.



Mata kau sendiri tertikam tajam ke arah sekujur mayat kau sendiri. Sedikit pun tidak terkelip-kelip macam katak kena simbah air. Terbelolok macam hendak keluar biji mata. Manakan tidak? Kerana tidak percaya sama sekali apa yang disaksikan.



"Ular!"



Perkataan 'ular' menular cepat, disambut tak putus-putus daripada satu mulut ke satu mulut lain, mencetuskan keadaan yang sungguh nanar dan hiruk-pikuk. Pastinya yang sedang duduk tak duduk lagi. Cuba menjauhkan diri, bagaikan menjaga jarak selamat. Yang berdiri penat pula, semacam bersemangat tiba-tiba hendak melihat dengan jelas walaupun diri disebat semacam ketidaksenangan dan ketakutan.



Seekor ular yang besar lagi panjang sedang membelit mayat kau! Tidak cukup membelit, dihisapnya darah kau dengan gelojoh sekali. Gelora dalam lautan diri kau sendiri semakin dahsyat. Kau tak boleh berbuat apa-apa, tercegat penuh kebodoh-bodohan dan kehilangan punca tak terkata. Air mata kau tumpah. Dan semakin tumpah, apabila ada mulut yang menghamburkan kata-kata panjang lebar, "Rupa-rupanya ular ini yang menyebakan mayat di sebalik kain kafannya bergerak-gerak tadi. Jangan-jangan ular jadian!"



Disambut dengan kata-kata yang tidak kurang menghiriskan hati kau, "Adakah ular ini diturunkan untuk menyeksa dan mengazabkan mayat si Zakir ini!"



Semua mata tekun meluruh ke mayat kau yang galak dibelit, sehinggalah ada seseorang mematahkan sebuah keasyikan. "Jangan tengok saja, ambil sesuatu, baham ular itu. Cepat!"



Suara payau tapi penuh getaran seperti merangsang bertindak. Ada beberapa orang tergesa-gesa mencari-cari sesuatu itu sebagai senjata untuk menghentikan belitan ular itu. Akhirnya ada seorang dari luar dengan sebatang kayu agak panjang meluru masuk di celah-celah ulatan manusia, cuba untuk membunuh ular itu.



Tapi ketika hendak menghayun kayu itu, tangan lelaki separuh umur itu bagaikan tak dapat digerakkan, tak mengizinkannya memenuhi hajatnya. Semua yang hadir tergeliat lidah, tergenjot fikiran, terlotot mata saja. Masing-masing bagaikan menelan air liur sendiri yang kering.



Kau sendiri kehairanan apabila ular itu dengan semacam keizinan-Nya, melafazkan dua kalimah syahadat! Semua yang terdengar mulut terkunci rapat. Semakin terkunci rapat, apabila ular itu menyambung, "Hei manusia! Mengapa hendak bunuh aku? Aku tak buat salah. Aku tak buat dosa pada kalian. Mengapa hendak bunuh aku? Aku disuruh Allah supaya aku seksa dan azabkan mayat ini!"



Kau yang dimaksudkan 'mayat' oleh ular yang besuara garau itu membuat semangatmu seakan-akan luluh berkeping-keping. Dan semakin meluluhkan apabila kenalan kau bernama Rahim yang biasanya sengaja kalah bermain golf dengan kau bertanya, "Apakah dosanya sampai Allah hendakkan kau menyeksanya?"



Jawapan Rahim dijawab dengan tegas satu-satu, "Ada banyak sebab. Cukuplah dengan lima saja. Pertama, tak solat jemaah. Asyik dengan keduniaan saja. Dengar azan tapi tak lakukan walaupun kondo ini dekat dengan masjid yang berdekatan! Kedua tak bayar zakat (harta dan fitrah) walaupun dia wajib. Tak ada masalah kewangan. Ketiga, hanya pandai dan rajin kumpul orang makan dan menfitnah serta mengumpat. Tak tahukah si mati semasa hidup dulu menfitnah dan mengumpat bagaikan memakan daging saudaranya yang sudah mati macam dia kini? Keempat, memusyrikkan Allah. Dan kelima, menderhaka kepada ibu bapanya. Tengok! Walaupun menderhaka kerana lebih sayangkan isteri, sanggup berkasar dan membelakangkan orang tuanya, mereka yang pemaaf dan penyayang dan tidak pernah berdendam tetap juga datang memberi penghormatan terakhir."



Semua diam. Sepi terus membalut ruang. Hanya kedengaran angin petang yang bergerimis. Langit di luar terus mendung.



Memandangkan suasana muram dan membatu, ular itu terus menyambung yang dimaksudkan begini, sebagaimana besar dan dosa, Allah akan mengampuni kau apabila bertaubat. Tapi sayangnya, kau tak pernah mahu bertaubat! Terus melakukan maksiat, kejahatan dan suka bersumpah palsu dan berkata dusta sampai ke hujung usia.



Air mata kau tumpah lagi, apabila memikirkan tembelang kau pecah juga sudahnya. Semua orang pun tahu kejelikan kau sebagai manusia selama ini. Dan semakin tumpah air mata kau apabila semua yang hadir tak berbuat apa-apa ketika kau terus dibelit dan dibelit, dihisap dan dihisap darah kau macam tiada hari esok.



Belitan ular terhenti apabila isteri kau yang baru pulang dari gedung membeli-belah dan terlihat kau macam orang tak betul di tengah ruang tamu yang kembali kosong, tanpa mayat, tanpa pelawat jauh dan dekat, seolah-olah mencantas segala yang berlaku dalam masa yang singkat tapi padat dengan pengalaman yang magis lagi memedihkan jiwa yang tersiat-siat dan melarat pedih tak terubat.



(iii)



Kata-kata kau yang nyata bergetar panjang melantunkan perasaan sayu sampai ke puncak, sekali gus semacam keinsafan itu menggigit-gigit tangkai hati. Kau tertanya-tanya adakah kisah yang kau luahkan itu juga melanda jiwa Hamimah dan juga menyentak juga kalbunya? Kalau tidak, masakan bahu Hamimah juga terhinggut-hinggut dan air matanya meleleh di kedua-dua belah pipinya yang bergerak-gerak menahan sedannya yang pecah juga sudahnya.



Luahan pengalaman payau kau bagaikan pukulan TKO ke atas Hamimah juga. Dia seakan-akan ikan kena tuba layaknya. Dia tidak berani mengatakan itu satu khayalan kau semata-mata. Dan tidak berani juga menyuruh kau melupakan saja hal itu sama sekali.



Entah apa kuasa yang meresap ke dalam diri Hamimah, dia bagai turut dipanah jejarum keterharuan berulit keinsafan, merasakan kejadian yang menimpa kau itu merupakan satu peringatan. Dia bagaikan sedar dia juga sudah tergelincir daripada landasan akidah. Tuhan amat sayangkan kau, sebab itu kau dianugerahi satu kejadian yang aneh agar kau sedar dan bersyukur agar segera kembali ke pangkal jalan sebelum kau dan isteri kau menjadi sebati dengan sekepal tanah.



"Sayang, kita harus mencari kunci hati untuk membuka pintu iman yang selama ini bagikan terkucil dan berkarat. Masih belum terlambat untuk melakukan yang selamat dunia akhirat."



Jeda. Menahan bahu kau yang terhinggut-hinggut. Kemudian kau menyambung, "Dan perlu digilap agar apa yang dikatakan ular itu tak menjadi kenyataan."



"Kita sama-sama mencarinya ya, bang."



Mata isteri kau yang ayu (dua tahun lebih muda daripada kau) memandang tepat ke muka kau. Kau membalas renungannya. Kau nampak semacam cahaya daripada matanya. Cahaya yang cukup hangat untuk memutuskan tali yang membebat sikap dan fiil dengan penuh bersemangat baru.



Seperti kau, air mata isteri kau tumpah lagi. Tumpah lagi untuk mengusir segala habuk dan kotoran tingkah masa lalu. Kalau tidak, ketidaksenangan yang menggigit dan memedihkan pangkal rasa itu pasti sekali tidak mampu mengelus kalbu.




BIODATA PENULIS



Peter Augustine Goh ialah nama pena Iskandar Goh.



Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama televisyen dan radio serta ulasan sastera.



Pesara polis Singapura ini kini seorang pembimbing penulisan kreatif untuk sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan beliau juga penterjemah bebas.



Buku-buku terbarunya ialah sebuah kumpulan cerpen dan sebuah kumpulan puisi (sajak) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >