Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Cerpen rakam pengalaman ayah sebagai anak kapal diiktiraf

Dec 14, 2021 | 05:30 AM



Ada pepatah menyatakan 'Mata pena itu lebih tajam daripada pedang'. Justeru, kata-kata yang dirangkaikan dalam bentuk cerpen mahupun sajak mampu menggoncang masyarakat dan membuat mereka berfikir tentang isu semasa. Pada Sabtu lalu, seramai 38 penulis cerpen dan puisi dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris, diiktiraf Arts House Ltd (AHL) dalam majlis penyampaian Anugerah Pena Emas 2021. BERITA HARIAN melaporkan kisah tiga pemenang dalam kategori Melayu yang terus berkarya dalam tempoh mencabar pandemik Covid-19.




PENGALAMAN bapanya melayari kehidupan sebagai anak kapal haji sekitar tahun 1960-an mencetus idea buat Cik Ratna Damayanti Mohamed Taha menghasilkan cerpen bertajuk Dayung Sudah di Tangan, Perahu Sudah di Air.



Ternyata, percubaan sulungnya menyertakan karya ini bagi peraduan penulisan kreatif Anugerah Pena Emas 2021 demi merakam penghargaan buat ayah tercinta mendapat pengiktirafan yang tidak diduga.



Pada Sabtu lalu, Cik Ratna, 40 tahun, seorang suri rumah dan ibu empat anak antara tiga hingga 13 tahun, terpilih sebagai juara kategori Cerpen Melayu, Anugerah Pena Emas 2021.



Beliau membawa pulang hadiah wang tunai $7,000, sijil dan piala pada acara anjuran Arts House Limited (AHL) yang berlangsung di Chamber, The Arts House.



Seramai 38 penulis cerpen dan puisi diiktiraf kerana kecemerlangan menjana karya sastera dalam empat bahasa rasmi, Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.



Pengerusi Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Cik Goh Swee Chen, hadir selaku tetamu terhormat acara tersebut yang menarik penyertaan hampir 2,000 karya daripada peserta antara sembilan hingga 89 tahun.



Menurut AHL, jumlah penyertaan bagi peraduan yang diadakan dua tahun sekali itu didapati meningkat dengan hampir separuh penyertaan daripada penulis 30 tahun ke bawah.



Ini juga adalah Anugerah Pena Emas Edisi ke-15.



Ketika dihubungi Berita Harian, Cik Ratna yang menjalankan kerja runding cara komunikasi, penyelidikan media dan pasaran serta penterjemahan secara bebas, berkata:



"Cerpen saya meneroka persahabatan istimewa antara dua watak yang begitu berbeza, Tok Arif, warga emas yang kesunyian dan rasa rendah diri dek wabak Covid-19 serta remaja autisme, Zaki.



"Kemurungan Tok Arif terubat apabila bertemankan Zaki.



"Sejujurnya, niat saya menghasilkan cerpen ini adalah untuk merakamkan pengalaman bapa saya sebagai seseorang yang pernah berkecimpung dalam bidang perkapalan.



"Antara pekerjaan pertamanya adalah sebagai anak kapal haji pada tahun 1960-an. Ada ciri-ciri watak utama cerpen ini yang seiras bapa saya. Maka cerpen ini merupakan surat cinta saya kepada bapa saya."



Beliau juga ingin menyuntik semangat kepada anak-anaknya agar terus berusaha dalam apa jua bidang yang diminati.



"Sebagai seorang pencinta bahasa Melayu, saya juga berharap karya saya dapat menanam cinta yang serupa dalam sanubari keluarga saya.



"Pada tahap kehidupan saya kini, masa banyak diisi mengurus anak-anak. Sangat sukar untuk berdisiplin dan menulis secara kerap.



"Alhamdulillah, suami saya banyak berikan sokongan padu dan ada kalanya 'memaksa' saya untuk luangkan masa menulis, sementara beliau mengurus anak-anak pada hujung minggu," tambah Cik Ratna yang gemar menulis sejak di sekolah rendah lagi.



Minat menulisnya itu dipacu guru bahasa Melayunya di sekolah menengah yang dikenali sebagai Cikgu Roziyah.



"Saya mendapat banyak peluang meneroka pelbagai bentuk tulisan kreatif dan menghasilkan karya seperti lirik, puisi dan skrip drama.



"Kalau ditanya apakah nikmat menulis kini, menurut suami saya, kegembiraan saya sangat ketara apabila saya dapat menghasilkan penulisan kreatif, baik dalam bahasa Melayu mahupun dalam bahasa Inggeris.



"Ia merupakan masa khusus dan istimewa bagi diri saya untuk menenangkan diri dan mengurangkan tekanan seharian," katanya yang meraih inspirasi utama daripada ibunya sendiri, Cik Betty Endah Warni.



Salah satu cerpen Cik Betty, Fathu Makkah, pernah disiarkan di akhbar Berita Harian.



Enam tahun lalu, pekerja sosial, Cik Junaidah Baharawi, 46 tahun, menghasilkan cerpen Virus Hati yang mendapat Hadiah Sebutan Khas pada Anugerah Pena Emas.



Tahun ini, cerpen 1942 yang dihasilkan dalam kesibukan tugas dan amanah mengurus rumah tangga dan dua anaknya, dapat tempat kedua dalam Anugerah Pena Emas.



Cik Junaidah menerima ganjaran $5,000 dan sijil.



Katanya mengenai 1942:



"Cerpen ini berlatarkan zaman kejatuhan Singapura di tangan tentera Jepun pada 1942, melalui kaca mata seorang guru pesara, yang juga mempunyai demensia.



"Kisah ini juga mengetengahkan sedikit sebanyak tentang apa itu demensia, pemikiran dan perasaan yang dialami pesakit demensia, serta cabaran penjaga utama dan keluarganya dalam menjaga pesakit ini.



"Pengakhiran cerita ini mengajak para pembaca agar bersama-sama menghuraikan simpulan terhadap permasalahan keluarga ini, dari aspek emosi dan psikologi."



Dorongan menghasilkan cerpen ini adalah bagi mengetengahkan kisah sejarah Singapura pada 1942 terutama sekali buat remaja dan kanak-kanak yang tidak mengetahui kepayahan yang dialami penduduk sewaktu Perang Dunia Kedua.



"Pada masa yang sama, saya ingin memperkenalkan kepada mereka tokoh bersejarah Leftenan Adnan yang mungkin asing bagi mereka.



"Kita boleh sama-sama mencontohi semangat juang beliau dalam apa jua bidang yang kita ceburi, walaupun betapa sukar sekalipun.



"Yang kedua ialah tentang isu warga emas yang acapkali dikaitkan dengan demensia, juga kesan penyakit ini terhadap keluarga yang menjaganya serta sokongan yang diperlukan.



"Akhir sekali saya ingin membangkitkan kepentingan semangat kekeluargaan yang amat diperlukan dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar," jelasnya yang bermula dengan penulisan sajak di sekolah menengah sebelum beralih kepada penulisan cerpen menerusi peraduan anjuran Berita Harian, Mencari Kristal pada 2016 dan 2019.



Salah sebuah cerpen tulisannya, Lahad memenangi Anugerah Penghargaan dalam peraduan ini.



Pemenang ketiga kategori Cerpen Melayu, Anugerah Pena Emas yang menerima $3,000 dan sijil adalah Cik Titi Murni Monir yang menghasilkan cerpen bertajuk Pencari Sisa.



Cik Hartinah Ahmad meraih Hadiah Sebutan Khas berupa $500 melalui cerpen Tergantung.




Ulasan pengadil



"Dayung Sudah di Tangan, Perahu Sudah di Air menyulam kisah yang diselubungi dengan kesuraman hidup berlatarbelakangkan wabak Covid-19 di samping latar belakang bersejarah. Terdapat plot di luar jangkaan dengan cerpen ini membuatkan saya terpaut sehingga ke penghujungnya. Penulisannya menambat perhatian dan mudah difahami. Cerpen ini juga meneroka hubungan manusia khususnya mereka di dalam masyarakat yang terpinggir."
- Encik Farihan Bahron, seorang penulis, mengenai cerpen Cik Ratna Damayanti Mohamed Taha yang dipilih sebagai juara.



“Saya melihat tarikan malar segar dan keupayaan karya ini dikaitkan dengan diri setiap orang apabila membaca 1942, di mana si penulis dapat menyulam isu kontemporari seperti kesihatan mental dalam karya bersejarah secara positif.”
– Penerima Pingat Budaya dan penulis, Encik Isa Kamari, mengenai cerpen naib juara, Cik Junaidah Baharawi.



"Terdapat kematangan dalam penulisan mereka. Kisah mereka menyentuh tema sangat memilukan seperti keberanian moral dan isu sosial di samping disampaikan secara lancar."
- Pensyarah Bahasa dan Budaya Asia serta pengadil kategori Puisi Melayu, Dr Kartini Anwar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >