Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERTOT

Mesin basuh di tengah hutan

Certot adalah ringkasan kepada cerita kontot. Akronim ini terdapat dalam buku tulisan 'Teori Penulisan Kreatif' oleh bahasawan Malaysia, Dr Othman Puteh, tetapi sejauh ini masih tidak diwartakan di dalam Kamus Dewan. Berbeza dengan cerpen, iaitu akronim bagi cerita pendek yang jumlah perkataannya mesti melebihi 500 patah perkataan, certot haruslah lebih pendek daripada itu. Strukturnya mesti kemas dan sempurna. Certot merujuk kepada cerita kontot yang jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah perkataan. Kini terdapat sebilangan penulis muda yang menunjukkan kecenderungan menghasilkan certot. Berikut kita ikuti dua lagi certot.
Aug 21, 2022 | 05:30 AM



ALKISAHNYA pada zaman purbakala, apabila bumi dibungkus hutan-hutan rimba, terdamparlah sebuah mesin basuh di tengah-tengah kehijauan ini.



Kewujudan mesin basuh ini tidak diketahui asal-usulnya. Begitu juga siapa pemilik sebenarnya.



Yang pasti, mesin basuh ini mampu berfungsi seperti biasa. Dari mana disalurkan kuasa untuk menjananya, misteri juga; yang kelihatan hanya kabel yang menjalar ke tanah.



Maka di sekitar mesin ajaib inilah berputik sebuah legenda termasyhur.



Berjenis-jenis pakaian berkelana jauh untuk menziarahi mesin basuh keramat ini.



Berhari-hari, berminggu-minggu, malah ada yang - seperti stoking yang selalu kehilangan pasangannya - mengambil berbulan-bulan untuk tiba ke pusat pertemuan ini.



Di mesin basuh ini jugalah, pakaian-pakaian akan bergaul mesra untuk berdagang atau bertukar kisah-kisah pengembaraan masing-masing, sambil bergolek berguling membersihkan diri.



Banyak perkara yang diraih pada upacara penyucian diri begini: persefahaman, ilmu pengetahuan, pencelikan dan harmoni.



Cik Cheongsam akan meriwayatkan kisah-kisah eksotik dari Hutan Bernaga, Sang Sari akan berkongsi aroma-aroma rempah-ratusnya, Pak Batik amat senangi mengomong bersama Tun Kebaya tentang hidangan dan seni.



Walaupun bebas sahaja perkongsian mereka, keunikan pada setiap pakaian tetap tidak berubah.



Cheongsam tetap hidup merah bernyala wibawanya. Sari masih bangga dengan pancaran merak pelanginya. Batik kukuh dengan kesenian corak Nusantaranya manakala Kebaya kekal halus dan anggun setiap liang-liuk sulamannya.



Alangkah permai sungguh kehidupan sekitar mesin basuh di tengah hutan.



Alam berwarna-warni cantik dengan tebaran semula jadi sebagai latar dan layar kehidupan. Margastua dan gugusan flora yang menghiasi suasana mengindahkan lagi lukisan alam ini.



Hingga tiba suatu hari bernoda...



Bertandanglah satu rombongan ke hutan itu: Tanjak, Destar dan Tengkolok bersama ketua mereka, Putera Raja. Hasrat mereka ingin mengembara hutan belantara terbantut apabila menemui tapak sakral bermesin basuh.



"Tunduk!" titah Putera Raja. Pengawal-pengawalnya langsung turuti. Tidak pernah terlintas di fikiran mereka akan bertembung dengan sesuatu yang ganjil di sana.



Tubuh makhluk itu tidak berbulu atau berkulit kasar. Licin sahaja permukaannya. Walaupun tidak bergerak, tubuhnya mengeluarkan haba hangat dan sesekali kedengaran dengusan.



"Beritahu Beta. Apakah gerangan makhluk di sana?"



Untuk seketika, tiada jawapan yang diberi. Kemudian, Tengkolok berbisik, "Itu mesin jahit Singer, Tuanku..."



"Beta suka tapak ini. Dari hari ini, Beta akan pacakkan kuasa kerajaan Beta di bumi ini: Kota Singer!"



Pengawal-pengawalnya mengangguk, patuh. "Dirgahayu Kota Singer!"



200 tahun berlalu.



Mesin basuh di tengah hutan semakin dikenali. Pokok-pokok ditebang dan lantai hutan dibersihkan, laluan-laluan kecil dan besar dibina untuk memudahkan perjalanan pakaian-pakaian berkelana ke sana.



Ruang udara hutan itu diselang-selikan dengan tali-tali buat jemuran pakaian-pakaian. Margastua dan unggas sudah jarang-jarang kelihatan di kawasan itu.



Walaupun dilanda perubahan pesat, ada perkara kekal setia. Keturunan Cik Cheongsam, Sang Sari, Pak Batik dan Tun Kebaya banyak yang sudah bertapak di Kota Singer.



Mereka tahu bahawa keakraban, kasih sayang dan semangat kekitaan yang diputik datuk moyang mereka perlu terus dilestarikan. Ini tempat mereka sekarang. Ini tanah air mereka.



Walaupun warna, corak dan identiti mereka sudah lama pudar menjadi putih kesemuanya. Bro Batik melihat di sekelilingnya; pakaian-pakaian serba putih berlegar-legar menjalankan tugasan harian. Dia tersenyum lemah.



Di sebelah mesin baju keramat itu, tersergam tugu peringatan sempena pembuka Kota Singer. Namanya terpahat di kaki tugu tersebut:



Nila. Sang Nila Pertama.




BIODATA PENULIS



Mohamed Naguib Ngadnan penerima dua Anugerah Persuratan: Pada 1999 dengan



cerpen bertajuk 'Satu Perjalanan' (Penghargaan), dan pada 2013 dengan sajak



bertajuk 'Kita Yang Dijilat Gincu Peluru'.



Beliau juga peserta finalis dalam Peraduan Menulis



Cerpen Mencari Kristal 2016 anjuran BH dan NAC.



Pada 2019, beliau telah mendapat tempat pertama dalam sayembara Golden Point Award bagi kategori Cerpen dengan cerpen bertajuk 'Saudagar Pagar'.



Buku solo himpunan cerpen-cerpen beliau 'Saudagar Pagar' yang diterbitkan pada 2021 telah disenarai pendek untuk Hadiah Sastera Singapura 2022.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >