Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Cinta teater terapi jiwa, minda seniman muda

Dec 10, 2020 | 05:30 AM



BUNGA-BUNGA cinta terhadap seni teater berputik dalam hati Encik Irfan Kasban ketika masih meniti kehidupan sebagai pelajar Diploma Sains Makanan Gunaan dan Khasiat di Politeknik Temasek (TP).



Beliau menyertai pertandingan teater belia, Pesta Peti Putih, anjuran bersama Teater Ekamatra dan Jabatan Teater, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).



Kemenangan Skrip Terbaik dan Piala Pusingan bagi pasukan TP itu membuka dunia baru buat Encik Irfan, kini 33 tahun, menerokai dalam membentang pengamatannya terhadap isu sosial dan kemanusiaan yang meruncing.



Sepanjang perjalanan seninya, artis bersekutu Teater Ekamatra ini berupaya memahami segala aspek teater Melayu dan Inggeris meliputi amanah selaku penulis naskhah, pengarah, pelakon dan pereka seni.



Tahun ini, di sebalik ujian pandemik Covid-19 yang melanda dan menjejas kegiatan awam penggiat seni, Encik Irfan bersyukur kerja seninya diiktiraf dengan beliau dipilih sebagai antara empat pemenang Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC).



Tiga penerima lain ialah pengarah, penulis dan penyunting filem, Cik Nicole Midori Woodford, 34 tahun; vokalis muzik klasikal India Selatan, Cik Sushma Soma, 33 tahun; dan seniman berbilang disiplin, Dr Yanyun Chen, 34 tahun.



Anugerah Seniman Muda diperkenal pada 1992 dan mengiktiraf kecemerlangan seni dan potensi bakat muda berusia 35 tahun ke bawah.



Visi seni yang jelas lagi membawa kesan positif pada persada seni Singapura dan daya kepimpinan seniman muda ini menjadi faktor pemilihan mereka bagi anugerah ini.



Sejauh ini, 163 seniman muda telah meraih anugerah ini bagi melanjutkan nyala rasa mereka dalam pelbagai cabang seni.



Mereka diberi geran $20,000 bagi memburu ilmu seni atau memperkasa pembangunan seni mereka dalam tempoh dua tahun selepas menerima anugerah itu.



Ketika dihubungi kelmarin, Encik Irfan berkata:



"Apa sahaja yang menggembirakan ibu saya bermakna buat saya. Anugerah ini pastinya membuatkan ibu teruja melihat perjalanan seni saya dihargai.



"Saya juga berterima kasih kepada ramai insan seni yang banyak membantu dan membimbing saya mengecapi impian menyumbang kepada masyarakat menerusi teater."



Sebelum teater, Encik Irfan tertarik pada bidang penulisan lirik dikir barat ketika bergiat dalam kegiatan dikir barat di bangku sekolah.



Teater pula menjadikannya peka tentang setiap aspek penerbitan. Daripada setakat menulis skrip dan mengarah, beliau berlakon bagi memahami proses yang diharungi pelakon yang diarah.



Beliau juga berminat meneroka seni secara berbilang disiplin, baik filem, sastera, seni visual mahupun tarian yang mampu dijadikan bahan perbincangan penonton dan aktivis teater merentas generasi.



"Kehidupan kini begitu sukar dan menakutkan. Ia rapuh. Kadangkala kita tertanya-tanya, 'Mengapa kita berada di muka bumi ini?' Saya melihat seni ini sebagai membuka ruang berfikir dan membantu.



"Melalui teater, saya harap kita dapat mencari penawar dan terapi dengan soalan-soalan yang bermain dalam minda berlegar dan terjawab," katanya lagi.



Beliau juga gembira penggiat seni muda yang dibimbing dalam program MEREKA giat menyumbang kepada teater dengan ada yang membuka kolektif seni sendiri atau diiktiraf seperti Cik Nabilah Said yang memohon sebagai calon baru Anggota Parlimen Dilantik (NMP).



Encik Irfan menganggap naskhah monolog 94:05 tulisannya (antara sebahagian trilogi Hantaran Buat Mangsa Lupa) yang dipentaskan sempena Pesta Pinggiran M1 2012 sebagai yang membawa kesan terbesar dalam kerjaya seninya.



Karya yang selalu mengingatkan tentang resam kehidupan, jelasnya, berpandukan Surah Al-Insyirah, atau Alam Nashrah. Ia menyingkap semula kehidupan dan ingatan watak Ahmad bin Abdullah yang diulit dengan isu kesihatan dengan kematian itu begitu dekat hari demi hari.



Ahmad berulang kali membaca ayat kelima surah ini yang membawa maksud "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan..."



Kata Irfan:



"Dalam pandemik ini, anak seni sentiasa mencari jalan berkarya. Ada beberapa pementasan Zoom yang saya jayakan. Jadual saya juga terisi sampai tahun depan.



"Menerusi kolektif seni Compound, saya terlibat dalam persembahan sonik (seni bunyian) The Silence of A Falling Tree bagi Pesta Seni Antarabangsa Singapura (Sifa)."



Pesanannya buat penggiat seni muda?



"Berbuat baik kepada diri dan orang sekeliling. Tidak mudah menjadi penggiat seni bebas. Jika anda rasa penat, anda perlu ruang merehatkan diri dan minda sebelum kembali dengan idea segar.



"Kritikan seni pasti ada di mana-mana tetapi percayalah, anda telah menyumbang sebaiknya dalam kerja seni anda. Justeru, usah putus asa," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >