Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Covid-19: Antara cabaran dan peluang

Apr 18, 2020 | 05:30 AM



PENYAKIT berpunca daripada virus Covid-19 telah menjadi ancaman terbesar dalam sejarah manusia masa kini. Ia menjangkiti lebih dua juta manusia di seluruh dunia dan lebih 100,000 pula telah meninggal dunia.



Angka-angka yang mengerikan ini mungkin terus meningkat sebelum jangkitan ini dapat diredakan.



Bagi mereka yang tinggal di negara yang sedang dilanda perang atau yang menjadi pelarian dan berasak-asak di pusat tumpangan sementara, keadaan mereka akan lebih malang kerana tidak mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang baik atau sistemnya telah lumpuh, seperti di Syria atau petempatan pelarian Rohingya di Bangaladesh.



Di samping itu Covid-19 memberi kesan buruk yang dahsyat kepada ekonomi dunia. Semua negara menjangkakan kemerosotan Keluaran Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) yang agak besar malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi dunia mengalami kemerosotan 3 peratusan mata.



Sekarang sahaja ia telah menjejas teruk perkhidmatan penerbangan dan pelancongan.



Lebih banyak syarikat mungkin menjadi muflis dan angka pengangguran akan meningkat jika serangan virus ini berpanjangan.



Bajet rangsangan ekonomi bagi mengurangkan beban rakyat telah diperuntukkan oleh pemerintah bernilai $60 bilion diharap dapat mengurangkan tekanan kepada rakyat dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME).



Negara kita bernasib baik kerana mempunyai simpanan (reserve) yang besar tetapi ada negara yang mengharapkan pinjaman kerana pengurusan ekonomi yang mencabar seperti Pakistan.



Negara terkaya seperti Amerika Syarikat pula mengumumkan peruntukan $3 trilion.



PERANCANGAN DIPERLUKAN



Di sebalik suasana suram, Covid-19 juga membawa kesan positif jika kita bersedia membuat perubahan dan mengambil kesempatan daripada kesan negatif ini.



Bukan semua yang suram menjadi kelam.



Perjuangan Rasulullah saw ketika di Makkah amat hebat. Baginda menerima tekanan dan ancaman, bukan daripada virus bahkan daripada manusia-manusia yang hatinya gelap dan mata tidak melihat kebenaran kerana diselubungi perasaan taksub dan perasaan benci.



Dakwah baginda kurang berjaya seperti yang diharapkan kerana tembok yang menghalangnya begitu kukuh.



Namun Baginda tidak berdiam diri dan Allah mengilhamkan kepadanya dengan 'plan B' - dengan berhijrah ke Madinah.



Baginda diterima dengan baik sehingga berjaya dengan cemerlang dalam perjuangannya.



Pengajaran ini hendaklah sentiasa tersemat dalam hati kita - pengajaran yang menjadikan kita gagah menghadapi apa jua cabaran seperti peribahasa "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".



Kita tidak harus mudah mengaku kalah.



BAZAR RAYA



Pemerintah memutuskan tiada bazar Raya pada tahun ini.



Awalnya, ia menimbulkan keresahan kepada peniaga dan ada antara mereka yang melahirkan kebimbangan kerana sebahagian kecil daripada mereka menyuarakan hampir 70 peratus perniagaan mereka akan terjejas.



Bagi masyarakat pula, peluang membuat pilihan yang rencam untuk menyambut Hari Raya akan berkurangan.



Sama ada sedar ataupun tidak keadaan ini mendidik masyarakat agar mengubah minda bagi menyesuaikan diri dengan cabaran yang dihadapi.



Ramai yang beralih kepada perniagaan secara online yang dengan sendirinya mengurangkan modal dengan tidak membayar sewa. Pada masa yang sama, mereka mempunyai lebih banyak masa di rumah.



Kalau sebelum ini ada sebahagian daripada anggota masyarakat yang berpusu-pusu ke bazar hingga jumlah jemaah tarawih berkurangan terutama pada penghujung Ramadan, dengan tiadanya bazar ia memberi kesempatan yang luas untuk menghidupkan malam-malam akhir Ramadan, mencari lailatulqadar kerana 'lailatul bazar' tidak ada pada Ramadan tahun ini.



Peluang ini perlulah dimanfaatkan agar dapat membantu meningkatkan ketakwaan yang menjadi matlamat puasa Ramadan.



PEMBELAJARAN 'ONLINE'



Demi menjaga maslahat umum dan mengurangkan ruang kepada virus ini berjangkit, masjid-masjid di negara kita telah ditutup. Semua pengajian telah dihentikan dan membuat ramai berasa gelisah.



Namun, ia tidak berpanjangan kerana sikap positif kepimpinan masjid dan pegawai agamanya yang mencari ruang agar pembelajaran dapat diteruskan.



Kini, pembelajaran online telah menjadi sebahagian daripada usaha menambah ilmu.



Masyarakat perlu menerima perubahan dan menyesuaikan diri dengan keadaan.



Ia bukan perkara mudah terutama warga emas yang paling ramai menyemarakkan masjid dengan menghadari pelbagai kuliah seperti Kuliah Duha.



Mereka kini terpaksa berjinak-jinak dengan dunia digital dengan ramai anak-anak yang membantu.



Menerusi pembelajaran begini, kuliah dapat dirakam dan diulang.



Belajar dengan menatap guru adalah lebih utama kerana dapat berinteraktif dengan mengemukakan soalan spontan semasa belajar di samping mereka dapat beriktikaf di masjid, menemui teman-teman bertanya khabar.



Insya-Allah peluang seperti ini akan kembali jika bahaya Covid-19 telah berlalu.



MEMASJIDKAN RUMAH



Terdapat sebuah hadis bermaksud tujuh golongan akan mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya:



1. Imam yang adil



2. Pemuda yang membesar dalam beribadah kepada Allah



3. Lelaki yang terpaut hatinya pada masjid



4. Dua orang saling berkasih kerana Allah dan berhimpun kerana-Nya juga berpisah kerana-Nya



5. Lelaki yang diajak bermesra dengan wanita yang punya kedudukan lagi cantik lalu ia berkata: "Sesungguhnya aku takutkan Allah"



6. Lelaki yang bersedekah dan merahsiakannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan tangan kanannya



7. Lelaki yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi dan berlinang air matanya.



Hadis ini disepakati para ulama hadis.



Buktikanlah hati terpaut dengan masjid dengan 'memindahkan masjid' ke rumah kita dengan melaksanakan solat pada awal waktu dan mendirikan solat secara berjemaah bersama keluarga serta wujudkan keharmonian seperti keadaan di masjid, dan melaksanakan amalan sunah yang berkekalan.



Generasi lalu sering mengungkapkan bahawa mendirikan rumah tangga sama seperti mendirikan masjid. Ia mempunyai pengertian yang luas dan tanggungjawab yang berat.



Mungkin ini peluang merealisasikan ungkapan itu dan ia lebih banyak bergantung pada sikap dan keimanan kita.




  • Penulis Naib Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan mantan Pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >