Mencari pekerjaan tetap di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini tidak mudah, terutamanya sedang pasaran buruh dalam keadaan lemah sekarang. Ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru tamat pengajian di institut pengajian tinggi, yang terpaksa perlu bersaing dengan orang lain yang lebih berpengalaman dan berkemahiran. Namun, ada peluang bagi lulusan baru menimba pengalaman industri menerusi Program Pelatih SGUnited, yang kali pertama diumumkan pada Mac lalu. Di bawah program itu, hingga 21,000 peluang latihan akan disediakan bagi mereka yang baru atau bakal tamat pengajian. Berikut kisah dua individu yang merebut peluang di bawah Program Pelatih SGUnited itu.
MEMBESAR dengan koleksi permainan video yang luas semasa kanak-kanak, Encik Azizi Azfar Zahari secara semula jadi mempunyai minat mendalam dalam industri media digital interaktif dan pembangunan permainan.
Malah, sebelum menggenggam ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan (kejuruteraan komputer) dari Universiti Nasional Singapura (NUS) Mei lalu, Encik Azizi sudah aktif mencari pekerjaan dalam industri itu, yang disifatkan beliau sebagai industri ideal baginya.
Bagaimanapun, perjalanannya mencari pekerjaan tidak mudah, terutamanya dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.
Banyak temu duga pekerjaannya ditangguh kerana beberapa syarikat perlu membuat aturan bagi ia dijalankan dalam talian sepenuhnya.
Menurut Encik Azizi, 25 tahun, beliau memohon lebih 10 pekerjaan, termasuk peranan dalam pembangunan laman dan pembangunan permainan sebelum akhirnya mendapat tawaran daripada syarikat Ubisoft Singapore di bawah Program Pelatih SGUnited.
Beliau menyertai syarikat itu sebagai perantis Ubisoft Apprenticeship [C++][C++]ampus[/C++][C++] Julai lalu.
"Saya kali pertama mendapat tahu tentang peluang ini daripada sekolah saya, tetapi dirujuk kepadanya sekali lagi oleh Ubisoft Singapore lepas saya memohon kerja lain.
"Yang menarik saya kepada (program pelatih ini) ialah peluang meraih pengalaman amali, praktikal bersama kumpulan pemprograman Ubisoft dan menghadiri kelas pemprograman yang dijalankan serentak oleh DigiPen.
"Saya rasa inilah yang saya perlukan untuk membangunkan lagi kemahiran saya," kata beliau.
Di bawah program pelatih selama lapan bulan itu, Encik Azizi menggalas peranan sebagai perantis pengaturcara ciri-ciri permainan video, dengan tugas mengusahakan pembangunan permainan di samping pengaturcara lain yang lebih berpengalaman.
Ini sekali gus membolehkan beliau meneroka lebih mendalam kerjaya pengaturcara dalam industri itu dan menggunakan apa yang dipelajari dalam kelas, bersama pandangan lanjut oleh rakan sekerjanya.
Encik Azizi menambah bahawa yang terbaik mengenai program pelatih itu ialah peluang bekerjasama dengan kumpulan berpengalaman.
Meskipun terdapat cabaran semasa bekerja kerana beliau tiada pengalaman dalam pembangunan permainan, Encik Azizi mengatasinya dengan belajar secara perlahan-lahan dan mendapatkan bimbingan daripada rakan-rakan.
Misalnya, beliau berkata ada pelbagai alat yang digunakan dalam industri itu yang tidak pernah beliau gunakan sebelum menyertai program pelatih tersebut.
Encik Azizi bercita-cita terus membina kerjaya sebagai pengaturcara ciri-ciri permainan video selepas tamat menjalani program pelatih itu kelak.
Beliau juga berharap dapat meraih pemahaman lebih baik dalam proses pembangunan di sebalik permainan dalam industri itu, dan terus mengasah kemahiran teknikalnya bagi kerjaya jangka panjang sebagai pengaturcara ciri-ciri permainan video.
"Satu nasihat yang ingin saya beri kepada lulusan baru seperti saya ialah jangan membiarkan permohonan pekerjaan dan hasilnya melunturkan semangat anda. Anda tidak pernah tahu peluang apakah yang menanti anda," katanya.
"Satu nasihat yang ingin saya beri kepada lulusan baru seperti saya ialah jangan membiarkan permohonan pekerjaan dan hasilnya melunturkan semangat anda. Anda tidak pernah tahu peluang apakah yang menanti anda."
- Encik Azizi Azfar Zahari, lulusan kejuruteraan (kejuruteraan komputer) baru NUS, yang menyertai skim perantis pengaturcara ciri-ciri permainan video bersama syarikat Ubisoft Singapore di bawah Program Pelatih SGUnited.