Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Di mata ibu, aku tak pernah besar

Apr 24, 2022 | 05:36 AM



DI MATA seorang ibu, aku tak pernah besar. Kalau betul-betul besar, tidaklah aku tersasar dan tergelincir. Tergelincir dari landasan kasih sayang yang membuat aku walang sampai sekarang!



Ibuuu!



Angin yang bertiup seperti datang mengumpulkan sayu ke kalbuku. Terasa air mata akan merembas gugur, kemudian akan menitis satu persatu setelah tergantung di dagu pada bila-bila masa, yang kini bertakung yang tak dapat dibendung. Adakah titisan air mata ini sebuah penyesalan yang lebat atau kasih sayang berulit rindu yang pekat? Atau kedua-duanya dalam satu yang hebat?



Pada tahap ini, aku mengecam diri sendiri. Apa gunanya menangis. Menangis tidak menjanjikan apa-apa. Yang dapat menjanjikan adalah kepedihan dan kepiluan yang sarat. Boleh diterjemahkan sebagai terlalu banyak yang ingin ditangisi yang amat mengusik hati.



Hati yang terusik amat tercetus daripada pertemuanku dengan seorang perempuan tua, (yang lebih kurang seusia ibu kandungku sendiri) beberapa hari yang lalu.



Aku memerhatikan perempuan tua itu dari dalam restoran, menikmati secawan kopi 'O' keras dan sekeping sandwic, melalui dinding kaca.



Keadaan fizikal perempuan tua yang berusia lebih kurang 77 tahun itu cukup meluruhkan hati. Badannya sudah bongkok, berjalan terketar-ketar, malah berjalan pun sudah miring. Sebelah kiri lesu, tak bermaya.



Perempuan tua itu berhenti lalu melabuhkan punggungnya di atas lantai kaki lima sebuah bangunan gah bertentangan dengan restoran aku langgani.



Dia meletakkan sebiji mangkuk plastik dan beg plastik berisi sebotol air dan beberapa helai kain, tahulah aku dia seorang gelandangan sekali gus pengemis.



Dia kelihatan bagaikan mahu menyampaikan banyak cerita kepada orang yang lalu lalang. Tapi tiada seorang pun yang ingin mendengarnya. Hanya berpuas hati dengan memasukkan sesyiling dua ke dalam mangkuk plastik yang usang.



Di tengah-tengah mengemis keihsanan di kaki lima, dia sempat mengoyak-ngoyak kertas surat khabar.



Perbuatan anehnya itu boleh diterjemahkan orang yang lalu lalang sebagai kerja orang tua yang tidak siuman. Tetapi bukan aku.



Tiba-tiba seleraku patah. Segera teringatkan aku kepada ibuku sendiri yang bagiku sepilah sudah. Aku segera keluar dan mendatanginya. Bagaikan disaksikan langit mendung hari Khamis 2 petang.



Perempuan tua itu memandang tepat ke wajahku apabila aku memasukkan wang kertas merah dua helai. Mukanya cengkung dan kering. Matanya yang kuyu merah dan berair jauh ke dalam. Tubuhnya juga kecil kurus macam rotan kena panas. Tapi ketika aku memasukkan wang ihsan kepadanya, wajahnya tak pula kering, matanya tidak pula macam jauh ke dalam dan tubuh pula tidak pula macam kena panas. Ia dibasahkan dan dinyamankan dengan semacam perasaan yang mengelus hatinya. Senyumannya mengawang, walaupun berpalit kepahitan berulit keterharuan. Ada sesuatu yang lebih daripada itu yang ingin disampaikannya.



Aku memperkenalkan diriku sebagai Rohani. Dia memintaku mengulangi namaku kerana kurang pendengaran. Namun daya ingatannya cukup kuat apabila dia mengatakan dia berasal daripada keluarga kecil yang bahagia. Tapi menjadi teramat kecil setelah pemergian suaminya beberapa tahun lalu. Dan dikucilkan oleh anak tunggalnya sendiri yang sudah menjadi seperti si Tanggang. Lebih tepat anak yang boleh dicap seperti kacang yang sudah lupakan kulit!



Apabila tersebut nama si penderhaka itu, wajahnya semuram suasana ketika itu. Ada sesuatu yang kejam telah merampas sinar dari matanya. Aku bagaikan terkena semacam panahan sindiran sulung yang amat tajam.



Aku mendapat tahu yang paling parah adalah matanya. Mata kirinya sudah dua tahun hampir hilang penglihatan. Hanya mampu melihat objek sekadar pada jarak dua kaki.



Aku memanggilnya dengan 'mak cik' saja. Apabila aku mengajukan soalan mengapa dia mengoyak-ngoyak surat khabar menjadi kepingan-kepingan kecil, jawapannya yang panjang lebar dan dalam satu nafas macam kereta api ekspres bagaikan mengoyak-ngoyak pula hatiku sendiri.



Pada tahap itu, aku membayangkan ibu kandungku. Muka ibu yang sebelum ini tidak terbentuk lagi, dan seperti diselimuti awan dan kabus pagi, menjelma terang sekali. Menjadikan aku seorang perempuan muda yang gelisah, dan salah tak sudah.



"Aku koyak bukan untuk suka-suka. Bila aku mengoyaknya, aku rasa hatiku koyak sama. Dikoyakkan anakku sendiri. Aku tak marah kepadanya. Kalau aku marah, aku tak akan melahirkannya. Membesarkannya. Aku lebih berasakan kecewa dan pilu."



Kegelisahan aku bertambah pekat. Manakan tidak? Kerana mendengar keterangan 'mak cik' yang bergigi beberapa batang atas bawah di depanku teringat ibu kandungku yang jauh di mata.



Mak cik itu diam sejenak, mungkin mengumpul kekuatan untuk meluahkan perasaannya yang terbuku lagi.



Aku pun turut diam, cuba mengumpulkan semacam tenaga dan keberanianku sendiri untuk disogokkan lagi dengan kisah pedih seterusnya. Dalam diam, aku dapat rasakan, mak cik itu agak berpelajaran. Daripada lenggok bahasanya dia bukan 'mak cik bawang' yang pernah aku dengar tentang orang-orang tua sebelum ini. Banyak mengajar aku jangan melihat pada luaran atau kulitnya saja.



"Gadis manis, jangan sesekali marah. Marah boleh membawa parah. Ingatlah, ikut rasa binasa, ikut hati mati, ikut nafsu lesu."



Sekali lagi aku terasa bagaikan ditempelak. Lebih tepat dipanah sindiran lagi yang semakin pedas rasanya. Seolah-olah dalam baik, dalam diam, silap hari, sampai masa, aku dikenakan. Seolah-olah mak cik itu tahu akan diriku?



Pada tahap itu, aku berasakan perempuan tua itu seperti dari negeri sunyi. Dia kelihatan sangat sendiri dan tangannya terketar-ketar ketika memegang mangkuk plastik yang warnanya sudah dua macam dan mengangguk-angguk untuk mengucapkan terima kasih kepada seorang lagi insan berhati mulia yang menghulurkan duit syiling. Mukanya ditundukkan setiap kali ada yang lalu menoleh.



Ada gerak hatiku untuk bersapa. Entah mengapa seperti mengepung si pikun yang akan rasakan bagai berada di sisi ibu kandungku sendiri! Aku (yang melutut di lantai) mengusap-usap bahunya yang bongkok dan bernada sayu itu di sebalik serkup hitam yang menutupi kepalanya. Namun menampakkan sedikit rambut panjangnya yang banyak putih daripada hitamnya yang terurai. Baju kurung lusuh pembalut tubuhnya kontot sedikit.



Tidak cukup dengan itu, aku memegang tangannya yang tua dengan seribu kedutan. Ya Allah, sama seperti ibuku juga tentunya. Ternyata aku merasakan kehangatan tanganku sendiri yang suatu masa silam dulu, aku panaskan hempasan pintu yang pastinya menjadikan wajah ibuku diukiri seribu kepedihan berulit kehampaan dan kekesalan.



Pasti juga kulit muka ibu yang berkedut, nampak jelas bergaris tiga di dahi. Matanya tentu disepetkan. Ada sesuatu yang maha pedih hendak dimuntahkannya tapi entah kepada siapa dia hendak mengadu ketika itu. Ya Allah, maafkan aku.



Diam tak diam, aku yang berjean biru tua dan berkemeja 'T' biru air laut, sudah satu jam aku melayaninya, menjadi pendengar yang setia.



Lupa sekejap pada lutut yang lenguh. Lupa sekejap pada rambut panjangku (yang melepasi bahu dan mengerbang menutupi sebahagian muka bujur sirihku) apabila diusap angin dingin. Lupa sekejap pada waktu yang berjalan begitu pantas. Sudah sampai masanya untuk aku meminta diri. Tapi sebelum itu, wang dua helai kertas merah yang aku sedekahkan awal-awal tadi itu terasa tidak mencukupi. Lalu aku belikan dia sebungkus nasi campur dan segelas plastik minuman di gerai makanan tidak jauh dari situ dan menghulurkan kepadanya.



Wajah mak cik yang redup dengan kedutan usia matang di dahi dan pipinya yang cengkung meletuskan nyalaan emosi melalui sehelai kertas yang ditulisnya sesuatu setelah meminta sehelai kertas yang aku carik dari sebuah buku nota kecil dan sebatang pena daripadaku.



Aku memerhatikan dia menulis dan menulis perlahan-lahan dengan buku nota kecilku sebagai pengalasnya dengan tangan terketar-ketar.



Dengan suaranya yang lemah tapi nafasnya tambah kencang terhela, dia berkata, "Jangan baca dulu. Kamu baca nanti dalam perjalanan, ya".



Aku mengangguk.



Dalam bas, aku mengeluarkan sehelai kertas yang telah bertulis dan berlipat sebelumnya dari tas tanganku.



Mataku melotot tajam pada lembaran kertas itu. Hatiku terasa amat ngilu dan dadaku pula begitu sesak apabila membaca kandungannya satu persatu.



Setiap kata yang bertulis nyatalah tidak cantik. Tapi cukup cantik untuk membuat air mataku mula merembes keluar.



Hatiku turut terisi kata demi kata yang terkesan, begitu menggamit untuk pulang menemui ibuku. Jelas, ada sesuatu yang memukul-mukul hatiku. Sekali gus aku tertanya-tanya. Apakah yang Allah mahu tunjukkan kepadaku? Satu lagi panahan sindiran semakin tajam kurasakan.



"Terima kasih, gadis manis. Rugi kalau anak tak mengasihi ibu bapa. Rugi! Tuhan tak pandang wajah kita. Dia pandang hati kita. Oleh itu, jangan sesekali hitamkan hati.'



'Ibuuu!'



Terasa jeritan itu bersipongang dalam diri, apabila aku buka pintu kalbu yang sudah lama tertutup, masuk ibu lalu membawa sekelumit kenangan payau. Masuk gerimis perasaan mengusik hati.



Ayat-ayat terakhir mak cik tua itu benar-benar menyuntik kesayuan dan keterharuan, "Terima kasih kerana beri mak cik wang, makan dan minum. Sebenarnya mak cik hendak bunuh diri hari ini"!



Jantungku bagaikan tersentap. Semacam keterharuan dan kesayuan itu memuncak apabila pada keesokan harinya, mak cik yang hendak membunuh diri itu tidak lagi kelihatan.



Air mataku merembas gugur sepertimana ia gugur lebat dalam perjalanan pulang ke rumah sewa aku tempoh waktu itu.



Aku digodam kebodoh-bodohan apabila aku ajukan soalan kepada sesiapa yang tahu akan mak cik yang mengemis di kaki lima. Jawapannya sama saja, "Mana ada lagi pengemis tua? Bukankah perempuan tua itu sudah terkorban dalam satu nahas jalan raya beberapa bulan yang lalu?"



Ya Allah! Aku tidak dapat memikirkan yang lain-lain, selain mak cik misteri itu yang bagiku merupakan seketul jasad yang kaku. Kaku yang dicetuskan usia senja. Usia senja yang diterangi penyakit seorang manusia bernama anak lelaki yang alpa dan tak kenang jasa. Kerana perempuan cantik dan kaya, dia habis! Habis kasih sayang terhadap ibu kandung.



Memang layakkah kalau dia disumpah menjadi batu? Seorang ibu diperlekehkan, tidak menyangka akan membebatkan seluruh urat nadinya. Oh, aku tidak mahu begitu jadinya kepada orang tuaku sendiri. Ya Allah, adakah pertemuan dan pengalaman payau ini satu hikmah? Merangsangku untuk kembali ke pangkuan orang tuaku sendiri sebelum terlambat? Terlambat, sampai aku sendiri nanti disumpah lebih dahsyat daripada batu? Aku terasa ada semacam suara mengherdikku habis-habis: 'Kata periuk, belanga hitam'.



Kini, petang Sabtu ini, segera aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam tas tanganku.



Penerima panggilan agak terkejut, tentunya tidak menduga sama sekali. Telefon berpindah tangan. Di hujung talian sebelah sana, aku terdengar dengan suara yang terketar-ketar, satu persatu keluar perlahan-lahan, semakin ke hujung semakin bergetaran panjang, "Anak ini siapa? Aku ada anak ke"?



"Ya Allah, ibu kena demensia ke?"



Pada tahap ini, aku terasa amat berdosa. Bagaimana jika ibu sudah benar-benar hilang ingatan? Bagaimana ibu benar-benar sudah tidak mengenaliku lagi?



Bagaimana hendak aku padamkan api fikiran yang terbebat ini? Apa lagi yang hendak aku tunggu?



Aku mengetap bibir. Menahan sebak di dada. Mataku semakin berair.



Apabila telefon berpindah tangan semula kepada anak Mak Long Zaitonku, Munah, sangkaan aku ternyata meleset.



Sepupuku yang berusia 33 tahun, tiga tahun lebih tua daripadaku, menjelaskan dengan panjang lebar:



"Ibumu masih merajuk dan kecewa dengan kamu, Rohani. Pulanglah. Jangan sampai ibumu bengkak otaknya yang menutup saluran ingatannya sepenuhnya. Jangan sampai benar-benar dia tak dapat menyebut nama kamu, yang telah terjadi seperti anak jiran kita di hujung jalan.



Ingat tak anak Mak Cik Bedah, Kamariah? Kamariah yang macam kamu juga. Kepala batu. Buat sesuatu tak fikir panjang. Ikutkan nafsu saja.



Kalau begitu, mengalir air mata darah sekalipun tak berguna. Orang sudah uzur macam-macam boleh terjadi. Baru semalam, Mak Cik Bedah, jiran yang pernah menjaga kamu semasa kecil dulu sudah berpulang."



Aku terkilan. Membuat aku terdiam. Memandangkan aku membisu, Munah menambah," Mak Cik Bedah diserang angin ahmar. Dia dikejarkan ke hospital dengan ambulans di mana imbasan CT kecemasan dilakukan.



Selepas membuat imbasan itu, didapati urat dalam otaknya pecah dan darah sudah merebak ke satu suku otaknya dalam hanya enam jam. Dia berada dalam keadaan koma dan tenat di ICU.



Ahli-ahli keluarga membuat keputusan untuk tidak melakukan sebarang pembedahan ke atasnya atas sebab usianya yang lanjut dan tak mahu dia lebih menderita."



Bahuku terenjut-enjut.



"Bahagian kiri tubuh Mak Cik Bedah yang turut menghidapi penyakit darah tinggi semakin lemah. Doktor kata peluangnya sangat tipis. Seisi keluarga bersedia untuk menerima berita paling buruk, tapi tak putus berdoa. Mereka terus memantau keadaan. Dalam hati mereka berbisik, 'Permudahkanlah dan tak usahlah menyusahkannya, Ilahi'."



Aku diam lagi. Tapi bahuku tidak pula. Semakin galak terenjut-enjut menahan sebak yang bukan main.



"Pulanglah, Rohani. Ibu kamu, masih belum begitu seteruk Mak Cik Bedah. Masih kuat daya ingatannya walaupun sesekali ingat-ingat lupa. Kamu tak bersalah, Rohani. Cuma terkhilaf. Terkhilaf memilih jalan sendiri untuk kahwin lari dengan si Izzat. Izzat yang tidak mulia. Mulia apa namanya kalau sikapnya tak sedikit pun mulia.



Kemanusiaannya telah bertukar menjadi ular membelit mangsanya, ia itu kamu, di celah belukar cinta konon.



Kasih sayangnya tak berbekas. Sudahnya di sini, di desa ini, khuatir ibumu mengalir tak sudah di jiwanya. Risau berkicau di sukma kami yang menyayangi kamu. Kerana apa? Kerana di kejauhan, Izzat penyanggak yang kamu amat kasihi (dan bukan Johari pilihan ibumu), orang yang bukan orang itu sudah menjadi ular yang memusnahkan hidup kamu. Kamu seperti habis manis, sepah dibuang. Tapi kamu belum terbuang, kami di sini menantikan kepulanganmu, dengan pintu hati yang terbuka luas."



Diam lagi. Bersambung lagi kemudian oleh Munah, "Ibumu pernah menegur jangan terlalu percaya akan Izzat yang nampak jujur kerana 'betapa lurus paku, hujungnya berkeluk juga' dia. Betul bukan? Orang macam Izzat yang biasa jahat, walau nampak baik hatinya tetap jahat."



Aku mengetap bibir. Kemudian, aku hanya dapat membalas dengan ayat-ayat pendek, tapi cukup panjang untuk meyakinkannya, "Tunggu aku, Munah! Selepas maghrib, insya-Allah, aku sampai. Sampai untuk mendakap ibu. Aku amat merinduinya!"



Kali ini giliran suara Munah pula kedengaran bergetaran panjang di hujung talian. Pastinya dia juga sebak dan terharu. Telefon dimatikan, tapi dihidupkan pula dengan tekad yang menggelinjang seluruh urat nadiku.



Apabila azan asar berkumandang, hatiku terasa amat mengelus jiwa. Betapa tidak, kerana azan memang tak dapat dinafikan penuh emosi, penuh bersemangat, penuh bernyawa dan penuh cinta.



Cinta kepada orang lain terutama ibu dan kepada Tuhan yang menggerakkan hatiku untuk pulang ke desa mencari umi tersayang.



Di atas sejadah aku baca 10 ayat pertama surah al-Kahf bagi mengelak hati yang bengkok. Agar tidak menyimpang. Agar tidak serong. Biar jelas halanya. Hala jalan pulang. Pulang menghidu wangi tanah desa yang setia menanti mengelus hati anak umi.



Ya, apabila sampai nanti, aku akan menyegarkan ibuku agar tidak lagi sering lupa dan celaru. "Saya anak mak. Mak ingat kepada Rohani, bukan?"



Dan tentulah aku mengharapkan begini, "Aku kenal kamu! Kamu anakku!"



Kalau begitu jadinya, aku yang telah lama merana dan merindukan seseorang perempuan bernama ibu, akan berasa bahagia, seolah-olah memperolehi sebiji buah berair yang dapat menghilangkan dahaga kasih sayangnya.



Kalau begitu jadinya juga, aku akan menekankan yang aku sudah besar. Besar untuk mengungkapkan erti kasih sayang yang sebenar sebagai orang yang benar-benar sudah besar. Insya-Allah, tak lagi tersasar.




BIODATA PENULIS



PETER Augustine Goh ialah nama pena Iskandar Goh.



Bidang penulisannya termasuklah cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama televisyen dan radio serta ulasan sastera.



Pesara polis Singapura ini kini seorang pembimbing penulisan kreatif untuk sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan penterjemah bebas.



Buku-buku terbaharunya ialah sebuah kumpulan cerpen dan sebuah kumpulan puisi (sajak) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >