NEW DELHI: Ribuan doktor di India memakai lilitan hitam pada lengan sebagai bantahan terhadap individu yang mendakwa yoga dapat menghalang jangkitan Covid-19.
Individu itu juga mendakwa perubatan konvensional sudah membunuh ribuan pesakit Covid-19.
Baba Ramdev yang juga pengasas empayar perubatan tradisional bulan lalu berkata, pandemik ini menunjukkan bahawa perubatan moden sebagai 'bodoh dan kegagalan sains' selain mendakwa 'ribuan telah mati akibat perubatan konvensional'.
Protes 'Black Day' diadakan di mana gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan doktor meminta 'Quack Ramdev' ditahan.
Ribuan doktor di seluruh India pula turut menggesa penahanan 'guru' popular gara-gara dakwaannya bahawa yoga boleh mencegah jangkitan Covid-19.
Persatuan doktor di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS), satu daripada hospital kerajaan terbesar di India, menyatakan komen dibuat Ramdev sebagai 'memalukan'.
Kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai pada bulan lalu dengan menyatakan kononnya ubat-ubatan moden telah meragut ratusan ribu nyawa pesakit wabak tersebut.
Ramdev, penyokong kuat Perdana Menteri Narendra Modi, menarik balik komennya selepas rayuan oleh Menteri Kesihatan India.
Namun, Ramdev kemudian menimbulkan kemarahan dengan mengatakan bahawa beliau tidak memerlukan vaksin Covid-19 kerana dilindungi oleh yoga dan perubatan tradisional Ayurveda.
Syarikat Ramdev, Patanjali Ayurved, bernilai beberapa ratus juta dolar, menjual segala-galanya dari ubat gigi hingga seluar jeans di kedai-kedai sekitar India.
Pada awal tahun lalu, ia melancarkan ubat herba digelar Coronil yang didakwa kononnya dapat merawat Covid-19 malah acara pelancarannya turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan negara itu.
Syarikat itu yang juga jenama ke-13 paling dipercayai di India berdasarkan senarai yang diterbitkan tahun lalu, turut mendakwa mempunyai ubat penyembuh barah, sementara Ramdev juga mengatakan dia dapat 'menyembuhkan' homoseksual dan Aids. - Agensi berita.