Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

DUNIA K-WOOD

Stesen rel saksi cita dan cinta terbina

Dua bintang filem Korea, 'Miracle: Letters to the President', teruja jayakan kisah impian genius matematik
Dec 01, 2021 | 05:30 AM



BAGAIKAN terjebak dalam nostalgia era 1980-an yang menyeronokkan, dengan paparan kehidupan yang sederhana tetapi membuka mata tatkala menonton filem Korea, Miracle: Letters to the President.



Impian si remaja bijak Matematik, Joon-kyung, untuk membina sebuah stesen kereta api kecil di kawasan desa sungguh murni.



Bersama bapanya Tae-yoon, seorang jurutera, temanitanya Ra-hee, kakaknya Bo-gyeong dan orang kampung di kawasan terpencil wilayah Gyeongsang Utara, Joon-kyung mampu merealisasikan impiannya itu pada 1988.



Miracle: Letters to the President adalah kisah cereka yang berdasarkan kehidupan sebenar sebuah keluarga yang menetap di desa terpencil yang mempunyai landasan kereta api tetapi tidak memiliki stesen.



Filem ini kini boleh ditonton menerusi khidmat permintaan video (VOD) Singtel dan Starhub, lantas Berita Harian berpeluang menjelajah isi hati dua pelakon utamanya, Park Jeong-min, 34 tahun, selaku Joon-kyeong, dan Im Yoon-ah (Yoona), 31 tahun, sebagai Ra-hee, menerusi wawancara e-mel berikut.



Park, yang berlakon sejak 2011 mula dikenali ramai pada 2017 tatkala kembali dalam dunia pentas sebagai Romeo dalam adaptasi teater William Shakespeare versi Korea, Romeo and Juliet.



Yoona, seorang anggota kumpulan K-Pop, Girls' Generation, sejak 2007 mencipta kejayaan dalam dunia lakonan apabila merangkul Anugerah Pelakon Wanita Baru Terbaik menerusi drama You Are My Destiny (2008) pada Anugerah Drama KBS ke-23 dan Anugerah Seni Baeksang ke-45.



Ikuti wawancara berikut dengan mereka.



SOALAN (S): Apakah perasaan anda dapat memainkan peranan sebagai si 'genius' matematik? Apakah matematik merupakan mata pelajaran kegemaran anda di sekolah?



PARK: Sewaktu saya di bangku sekolah, subjek terbaik saya adalah matematik. Keindahan matematik terletak pada angka yang tidak mampu membohongi. Ia berbeza daripada subjek lain yang memberi ruang buat anda memberi takrifan berbeza bergantung pada jawapan anda.



Saya paling berminat dengan kebenaran matematik itu sendiri.



S: Jelaskan tentang peranan anda sebagai Ra-hee. Bagaimana Ra-hee seiring sejalan melengkapi teman lelakinya, Joon-kyung?



YOONA: Ra-hee adalah wanita yang sangat berani dan comel yang dapat melihat betapa luar biasanya Joon-kyung. Dia kemudian memberi teman lelakinya itu galakan.



Saya fokus pada usaha meluahkan dan menyampaikan emosi Ra-hee sejujurnya yang saya mampu tanpa bersikap mengira.



Skrip filem ini sudah memaparkan daya tarikan Ra-hee dengan begitu baik. Justeru, saya merasakan cukuplah untuk mengikuti skrip yang ada itu sahaja bagi menampilkan pesona Ra-hee.



S: Apakah cabaran peranan anda? Apakah anda memang gemar menaiki kereta api? Di manakah tempat yang anda kunjungi yang benar-benar saujana mata memandang?



PARK: Setiap kali menjayakan filem yang berdasarkan kisah sebenar, pastinya ada cabaran.



Bagaimanapun, memandangkan filem ini dihasilkan semula di bawah motif Stesen Yangwon, agak sukar sedikit melihat filem ini bagai memapar kisah sebenar.



Sewaktu saya di sekolah menengah, saya melalui fasa putus cinta dan saya membuat keputusan menaiki kereta api. Itulah kembara kereta api saya yang pertama. Saya menggigil kesejukan dalam kereta api itu.



YOONA: Bahagian paling mencabar ketika menjalani penggambaran filem ini adalah loghat yang perlu saya gunakan.



Saya harus berbual dengan loghat Bonghwa dari wilayah Gyeongsang Utara. Justeru, keutamaan yang saya harus perhatikan adalah memastikan saya selesa dengan dialek berkenaan kerana kalau sebutan saya kedengaran dibuat-buat, sukar buat penonton menghayati filem ini.



Nasib baik, datuk nenek saya datang dari Yeongju di wilayah Gyeongsang Utara dan saya pula membesar dengan mendengar loghat mereka. Justeru, dialek Bonghwa kedengarannya tidak begitu janggal.



Walau apa pun, ini tetap kali pertama saya berbual dalam loghat itu. Justeru, saya berlatih serajinnya dengan merakam dialog saya dan membandingkannya tanpa henti dengan dialek asal.



Dalam pada itu, saya pernah menaiki kereta api bersama teman-teman saya dan seingat saya, memang ia sangat menyeronokkan.



Kebanyakan tempat yang kami kunjungi di Gangwon-do dalam penggambaran filem Miracle: Letters to The President ini mempunyai pemandangan yang cantik!



S: Apakah yang anda pelajari daripada menjayakan filem ini?



PARK: Saya belajar untuk menjadi insan yang baik hati. Kebiasaannya saya bersikap dingin dan pesimistik tetapi hati saya yang 'tajam' mengesan menjadi lebih lembut setelah menemui watak-watak dalam filem ini.



Saya berbeza sebelum ini dan setelah menjayakan filem ini, saya rasa lebih relaks.



YOONA: Saya biasanya akan meluahkan emosi saya secara sangat jujur tetapi saya tidak mudah didorong seperti Ra-hee. Saya lebih berhati-hati manakala Ra-hee pula bertindak tanpa teragak-agak dan sikap ini sangat saya kagumi. Itulah sesuatu yang ingin saya pelajari daripada Ra-hee.



S: Apakah antara nilai yang penonton perolehi daripada menonton filem ini?



PARK: Berdasarkan pengalaman hidup setiap orang, pastinya pengajarannya berbeza. Satu perkara yang saya berani katakan adalah ini bukan filem kosong di mana tiada nilai yang boleh anda dakap sebagai pengajaran. Saya harap semua orang seronok menonton filem ini.



YOONA: Miracle: Letters to the President adalah filem menyejukkan hati yang boleh dinikmati lelaki dan wanita daripada semua peringkat usia. Saya percaya filem ini membawa penawar dan ia adalah filem yang membawa rasa yang baik-baik sahaja dan pastinya menyelinap di ruang hati setiap orang.



S: Apakah babak yang tidak boleh anda lupakan?



PARK: Saya fikir filem ini menyampaikan kata-kata yang tidak mampu saya ucapkan kepada ibu bapa saya. Keluarga dan impian. Memikirkan budak lelaki dalam filem ini hanya memiliki keluarga dan impian, saya amat tersentuh sebab terasa seperti saya melihatnya dalam diri saya sendiri.



YOONA: Saya suka babak di mana Joon-kyung dan Ra-hee keluar dating. Comel! Ada satu babak di mana Joon-kyung berjalan seorang diri di landasan kereta api dengan musim berubah bagi menunjukkan kepada penonton masa sudah beredar. Adegan ini cantik sehinggakan saya menitiskan air mata apabila menontonnya.



S: Apakah projek terkini anda?



YOONA: Saya sedang menjalani penggambaran drama Big Mouse. Saya menyahut cabaran baru dengan menjayakan watak Go Mi-ho. Filem ini dijadualkan ditayangkan sekitar separuh pertama tahun depan.



Saya juga sudah tamat penggambaran Happy New Year dan Confidential Assignment 2 yang juga dijadualkan ditayangkan tahun depan.



Saya benar-benar rasakan penonton akan dapat menyaksikan sisi saya yang baru dengan pelbagai peranan berkenaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >