Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

BAHASA & BUDAYA

Eurosentrisme dalam Pengkajian Alam Melayu

Siri Cendekiawan Lestari (CLS) anjuran Yayasan Warisan Melayu (MHF) mengetengahkan beberapa ilmuwan masyarakat untuk membincangkan isu-isu yang dekat dengan hati Melayu/Islam. Minggu ini, BERITA HARIAN menyiarkan Bahagian Pertama kuliah Syed Farid Alatas, seorang profesor sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Aug 23, 2021 | 05:30 AM



KERTAS ini bertujuan mendedahkan serta menggambarkan andaian-andaian Eurosentrisme yang menggaris-bawah sebahagian besar daripada kajian mengenai sejarah kepulauan Melayu-Indonesia.



Orientasi Eurosentrisme atau Orientalisme inilah yang menentukan sebahagian besar daripada penyusunan sejarah dan huraian mengenai masyarakat kita, dan, kadang-kadang, tiada membawa kita kepada suatu gambaran yang benar.



Eurosentrisme, yang berasal daripada tradisi kesarjanaan Eropah-Amerika, muncul dengan permulaan kajian Melayu-Indonesia pada abad ke-19.



Orientasi ini mempengaruhi ahli-ahli sejarah Melayu-Indonesia dalam erti bahawa ada segolongan daripada mereka yang menjadi pengikut tradisi itu.



Akibatnya, sesetengah ciri Eurosentrisme dikekalkan dalam kesarjanaan tempatan di Dunia Melayu.



Sejak kurun ke-19, telah menjelma kesedaran akan kekurangan kecocokan antara ilmu kemasyarakatan Barat dan kenyataan sosial di Dunia Melayu.



Pelbagai contoh ketidaksesuaian fahaman, teori-teori dan andaian-andaian Barat telahpun diperhatikan dalam karya-karya kritik tentang kedudukan ilmu-ilmu kemasyarakatan di Dunia Melayu.



Kenyataan bahawa ilmu-ilmu kemasyarakatan muncul di Barat, diamalkan di Dunia Melayu pada mulanya oleh sarjana-sarjana penjajah dan Eropah selainnya, dan akhirnya ditanamkan dalam kalangan sarjana tempatan semasa dan selepas kemerdekaan, membangkitkan persoalan kesesuaian ilmu-ilmu ini untuk masyarakat alam Melayu.



Beberapa sarjana pada kurun ke-19 dan lebih ramai lagi pada zaman pascapenjajahan telah mencatat bahawa ilmu-ilmu kemasyarakatan tidak boleh dipindahkan daripada suatu latar sejarah dan ekonomi-sosial tertentu kepada yang lain tanpa memutarbelitkan pemahaman terhadap kenyataan itu.



Secara ringkas, masalah ketidaksesuaian ilmu-ilmu kemasyarakatan Barat telah dikenal pasti dan keperluan membangkitkan pengganti yang sesuai telah diakui.



Masalah ketidaksesuaian ini berkaitan dengan suatu orientasi yang dinamakan Eurosentrisme atau Orientalisme yang berterusan menguasai pengkajian Melayu-Indonesia.



Dalam kertas ini, masalah Eurosentrisme ditakrifkan dan beberapa contoh apa yang dimaksudkan dengan pendekatan bukan Eurosentrik dihasilkan.



Saya mulai dengan melukiskan secara kasar masalah ketidaksesuaian dan kaitannya dengan masalah Eurosentrisme, serta penyenaraian ciri-ciri Eurosentrisme seperti yang terdapat dalam pengkajian Melayu-Indonesia.



Bahagian ketiga memberi perhatian kepada beberapa contoh penerapan bukan Eurosentrik kepada sejarah dan masyarakat Nusantara.



Zaman penubuhan ilmu-ilmu kemasyarakatan dan institusi-institusi di mana mereka diajar dan berkembang di Dunia Melayu telah dimulakan oleh sarjana dan pentadbir penjajahan sejak kurun kelapan belas, dan juga oleh orang Eropah selainnya secara langsung dan tidak langsung.



Bidang ilmu mengenai Kepulauan Melayu-Indonesia yang menjelma akibat daripada usaha mereka dihinggapi beberapa masalah yang berasaskan kepada Eurosentrisme.



Ilmu-ilmu kemasyarakatan dan kemanusiaan di Dunia Melayu sedang berada dalam keadaan kebergantungan intelektual kepada teori, gagasan dan institusi Barat, kepada pusat-pusat ilmu di Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.



Dalam keadaan kebergantungan ini ilmuwan-ilmuwan kita menjadi minda tertawan atau terbelenggu dan, pada umumnya, menerima dan menerapkan teori, faham dan agenda penyelidikan dari Barat tanpa mempersoalnya.



Peneliti Barat mengenai Dunia Melayu dibaca di Dunia Melayu tetapi peneliti dari Dunia Melayu tidak semestinya dibaca di Barat.



Tambahan pula, peneliti Dunia Melayu tidak menguasai bidang pengkajian Melayu-Indonesia pada peringkat antarabangsa.



Masalah di sini adalah bahawa sebahagian daripada ilmu dari Barat bersifat Eurosentrik.



Ciri-ciri ilmu yang bersifat Eurosentrik adalah seperti berikut:



1. Pemikir dan gagasan tempatan dan serantau diketepikan dalam erti mereka tidak dianggap sebagai sumber teori dan faham.



Contohnya, Ibn Khaldun dan José Rizal. Bahasa kita dianggap hanya sebagai alat komunikasi dan terjemahan daripada bahasa Inggeris, dan bukan sebagai penyimpan konsep, sebagai khazanah atau sumber faham.



Contohnya, faham merantau, orang darat-orang laut, masyarakat menetap (hulu-hilir) dan masyarakat mengembara (orang laut).



2. Kadangkala faham dan teori dari Barat memutarbelitkan kenyataan kita.



Contohnya, daripada kajian Belanda tentang agama Hindu di Indonesia.



Mereka mengatakan bahawa ada orang yang menganuti agama Hindu pada zaman dahulu. Ini merupakan suatu pemutarbelitan sejarah kerana pada kurun-kurun dahulu masih belum wujud agama itu.



Apa yang difahami sebagai agama Hindu di India sebenarnya terdiri daripada pelbagai agama.



Orientalis yang meneliti tentang India mengandaikan bahawa semunaya adalah bahagian daripada satu agama yang mereka (Orientalis) menamakan Hinduisme.



Mereka mengandaikan setiap golongan yang ditemui di India adalah suatu denominasi dalam suatu agama.



Andaian ini mungkin disebabkan oleh mereka meneliti agama-agama India dengan kaca mata agama Masihi di mana pelbagai denominasi wujud.



Pada pihak lain, pemutarbelitan seumpama ini tidak terdapat dalam karya Abu Rayhan Al-Biruni (cendekiawan Iran) yang pernah menetap di India selama tiga belas tahun dan menulis tentang agama-agama di India (adyan al-Hind).



Para Orientalis sebenarnya mencipta suatu agama yang baru yang lambat-laun menjadi suatu kenyataan di India pada zaman penjajahan.



Orang Belanda yang menemui penganut agama Visnu dan Siva mungkin telah menyimpulkan bahawa kedua-duanya adalah bahagian daripada agama Hinduisme, sedangkan tidak mungkin orang Bali pada zaman prapenjajahan menganggap diri mereka sebagai orang Hindu.



3. Orientalis, dalam kajian mereka terhadap sejarah, budaya dan masyarakat bukan Barat sering kali menegaskan dimensi negatif yang sehaluan dengan pandangan rendah mereka terhadap bukan Barat.



Contohnya, nilai-nilai feudal yang menggaris bahawa sastera Melayu diketengahkan seolah-olah tidak ada tradisi bukan - atau anti-feudal dalam sastera Melayu.



Ini didorong atau dipengaruhi oleh prasangka mereka terhadap masyarakat Melayu.



MENTAKRIF MASALAH DALAM ILMU-ILMU KEMASYARAKATAN



Begitu sungguh perhatian terhadap masalah ini sehingga muncul rumusan pelbagai pandangan teoretik terhadap keadaan ilmu-ilmu kemasyarakatan di Dunia Ketiga yang mengajukan penilaian kritik akan pengaruh ilmu-ilmu kemasyarakatan Barat atas bidang-bidang ilmiah di Dunia Ketiga.



Sejak abad ke-19, para sarjana alam Melayu dan cendekiawan lain telah membahas keadaan ilmu-ilmu kemasyarakatan di rantau ini.



Penilaian mereka sering melibatkan kritik terhadap Eurosentrisme dan Orientalisme dan penanaman secara tidak kritikal ilmu-ilmu kemasyarakatan Amerika dan Eropah di Alam Melayu.



Banyak karya jenis ini terbit di Singapura, termasuk tulisan-tulisan Syed Hussein Alatas dan Syed Farid Alatas dalam konteks pengkajian Melayu.



Masalah serupa diungkapkan kali pertama di Indonesia, bukan oleh orang Indonesia sendiri, tetapi oleh sarjana Belanda.



Yang mula-mula menentang Orientalisme ilmu-ilmu kemasyarakatan, daripada kalangan Belanda khususnya, dan daripada kalangan orang Eropah secara umum, adalah Jacob Cornelis van Leur, seorang sarjana yang tragisnya mati muda dalam pertempuran di Laut Jawa melawan orang Jepun.



Ia kritis terhadap kecenderungan Erosentris yang ditemukan dalam pengetahuan Belanda mengenai Hindia Belanda.



Ia menulis dalam bahasa Belanda, tetapi beberapa eseinya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.



Van Leur terkenal kerana tulisannya yang menentang perspektif dari 'geladak kapal, dinding-dinding benteng, balkoni tinggi rumah-rumah dagang, meskipun ia sendiri tidak objektif dalam menilai, misalnya, pengislaman Indonesia.



Sebagai contoh, ia mempertanyakan ketepatan abad ke-18 sebagai sebuah kategori dalam sejarah Hindia Belanda, kerana merupakan kategori yang dipinjam daripada sejarah Barat.



Secara perlahan, orang Indonesia sendiri mulai menulis tentang masalah Orientalisme dan bias-bias lain yang muncul dalam penulisan sejarah Indonesia.



Beberapa sarjana juga menyoroti masalah imperialisme intelektual dan gagasan-gagasan terkait.



Pada 1950-an, Syed Hussein Alatas dari Malaysia merujuk pada import secara besar-besaran gagasan-gagasan Dunia Barat ke dalam masyarakat Timur yang dilakukan tanpa pertimbangan sewajarnya dari segi konteks sosial-sejarah.



Ini disebutnya sebagai masalah asas kolonialisme.



Lebih lanjut ditunjukkan bahawa cara berpikir penduduk terjajah memiliki kaitan dengan imperialisme politik dan ekonomi.



Demikian pula ungkapan imperialisme cendekia atau akademik.



Daripada catatan-catatan tadi, berbagai-bagai persoalan yang telah dikenal pasti oleh sejumlah ilmuwan dan pemikir Asia dapat dijabarkan menurut ciri-ciri berikut:



1. Ada bias Erosentris sehingga ide, model, pilihan masalah, metodologi, teknik, bahkan rencana penyelidikan berasal daripada karya Amerika, Inggeris, dan hingga tingkatan tertentu, Perancis dan Jerman.



2. Ada pengabaian umum terhadap tradisi falsafah dan sastera tempatan.



Meski mungkin ada kajian mengenai sastera dan atau falsafah tempatan, tradisi semacam ini tetap menjadi bahan kajian, tidak dianggap sebagai sumber konsep ilmu-ilmu kemasyarakatan.



3. Kurangnya kreativiti atau ketidakmampuan para ilmuwan sosial di luar arena budaya Ero-Amerika untuk melahirkan teori dan metode yang asli.



Terasa adanya kekurangan gagasan asli yang menumbuhkan faham baru, perspektif teoritis baru, aliran pemikiran baru, atau inovasi dalam metode penyelidikan.



4. Mimesis (peniruan) terlihat dalam penerimaan pengetahuan yang tidak kritik terhadap model ilmu-ilmu kemasyarakatan Barat.



5. Terkait dengan ini adalah masalah auto-Orientalisme, yakni internalisasi gagasan-gagasan Orientalis yang berkembang di Barat, kemudian dikonsumsi di wilayah-wilayah yang merupakan objek konstruksi Orientalis.



6. Teori-teori Orientalisme dan Erosentrisme, yang membincangkan binaan secara wacana (discursive construction) Timur dan sejarah dunia, juga merujuk kepada satu segi ketidakjituan, iaitu ketidakselarasan antara andaian dengan kenyataan.



Umpamanya, banyak antara pemerhatian Marx dan Weber terhadap masyarakat-masyarakat bukan-Eropah bukan hanya salah secara fakta, bahkan mereka berasaskan kepada andaian-andaian tiada berdasar sepanjang yang menyangkut ciri-ciri utama masyarakat-masyarakat 'Timur'.



Akibat Orientalisme adalah masalah ketidakjituan atau ketidaksesuaian dalam ilmu-ilmu kemasyarakatan di Dunia Melayu, termasuk pendekatan ilmiah terhadap sejarah rantau ini.



7. Wacana Eropah mengenai masyarakat bukan Barat cenderung mengarah pada pembinaan esensialis, yang 'memastikan' bahawa dirinya adalah kebalikan dari Eropah: terbelakang dan tidak rasional.



8. Tiadanya sudut pandang minoriti.



Sebagai contoh, Evan mencatat bahawa dalam berlimpahnya data yang dikumpulkan para etnografer Cina, Vietnam dan Laos, 'tidak ada tradisi untuk mencatat "suara-suara" minoriti'.



Dalam tradisi Islam, garis pemisah yang diungkapkan adalah mustazafinmustakbirin, yang diperolehi daripada Al-Quran.



Jika kita memahami istilah 'minoriti' bukan hanya dalam erti minoriti etnik tetapi juga semua kelompok yang tidak beruntung dan terpinggirkan, maka dapat kita tegaskan bahawa ilmu-ilmu kemasyarakatan semacam itu dikuasai oleh perspektif elitis.



9. Persekutuan dengan negara. Peranan yang dimainkan disiplin-disiplin seperti antropologi dan geografi pada masa kolonial terus berlanjut pada zaman sekarang.



Sebagai contoh, antropologi diperguna negara untuk mewujudkan integrasi, kawalan atas dasar negara, dan penciptaan sebuah budaya kebangsaan.



Sering kali peranan sedemikian mewujudkan penyelidikan dan penulisan yang bersifat negara sentrik, iaitu yang didekati dari segi pendapat dan kepentingan pihak yang memerintah dan menguasai atau mempengaruhi jentera pemerintahan.



10. Persoalan-persoalaan tadi berada dalam konteks imperialisme akademik, yakni penguasaan intelektual Dunia Ketiga oleh kuasa-kuasa ilmu-ilmu kemasyarakatan (Amerika Syatikat, Inggeris dan Prancis).



  • Syed Farid Alatas ialah profesor sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau pernah menjadi ketua Jabatan Pengajian Melayu di NUS dari 2007 hingga 2013. Bidang penyelidikannya ialah sosiologi Islam, teori sosial, agama dan reformasi, dialog intra dan antara agama, dan penelitian mengenai Eurosentrisme dan Orientalisme dalam penghasilan ilmu.

Bahagian kedua kuliah Profesor Syed Farid Alatas akan disiarkan dalam ruangan Bahasa & Budaya minggu depan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >