Subuh
5:48
Syuruk
7:05
Zuhur
1:10
Asar
4:16
Maghrib
7:13
Isyak
8:21

'Fatalis' buka pintu kerjasama bakat muda, 'otai'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

'Fatalis' buka pintu kerjasama bakat muda, 'otai'

Qis Maraj, 2Kangkata rapatkan jurang generasi dengan saling tukar idea
Jul 13, 2021 | 05:30 AM

ORANG lama dalam industri muzik membawa bersamanya pengalaman manakala anak muda yang baru bertatih dalam persada seni pula menyuntik kesegaran dan pembaharuan.

Lantaran itu, kerjasama yang terjalin antara artis dua generasi menjadi perkara yang sering diketengahkan sejak akhir-akhir ini di seberang Tambak.

Wany Hasrita bekerjasama dengan idolanya, Datuk Jamal Abdillah dalam lagu 'hit' Belenggu Rindu.

Rapper muda Bunga pula menggabungkan idea kreatifnya dengan kepopularan Noraniza Idris sebagai penyanyi irama Malaysia bagi lagu Intan Payung.

Di Singapura pula, rapper yang kian meningkat naik namanya, Qis Maraj, 21 tahun, baru-baru ini, menghasilkan lagu Fatalis, dengan menampilkan orang lama dalam dunia hip hop setempat, 2Kangkata, atau Samsolnahar Sibengat, 51 tahun.

2Kangkata merupakan sebahagian kumpulan hip hop Singapura, Ahli Fiqir, suatu ketika dahulu.

Kumpulan ini berjaya menebarkan sayapnya ke Malaysia dengan lagu hit seperti Angguk-Angguk Geleng-Geleng dan Tik Tok Simpati.

Ketika dihubungi menerusi Zoom, Qis, pelajar Politeknik Singapura, yang nama sebenarnya, Nurbalqis Mohamed Muzamil, berkata:

"Selama ini, saya selesa bikin muzik sendiri dan bekerja tanpa ikatan sebarang label.

"Saya bebas bereksperimen tetapi pada satu peringkat perjalanan seni saya, saya menyedari saya perlu beranikan diri dan rajin-rajin bertanya dengan mereka yang lebih tahu.

"Saya mengenali anak Uncle Sam (panggilan buat 2Kangkata) dan menerusinya, saya mengenali pula seorang tokoh hip hop yang memberi saya peluang meraih pengalaman baru, menambah ilmu penulisan lirik dan menikmati proses kerjasama yang membina lagi menyeronokkan.

"Beliau peringkat usia bapa saya tetapi memiliki jiwa yang memahami cita rasa anak muda dan memberi kebebasan bagi saya berkarya.

"Tak pernah beliau atau penerbit Sazery Suhady mengganggu kerja kreatif saya atau menafikannya. Mereka malah beri tunjuk ajar dan saranan menjadikannya lebih baik."

Menurut Qis yang antara lain meminati rapper kelahiran Trinidad & Tobago, Nicki Minaj, Fatalis tercipta daripada keinginannya menghasilkan lagu dengan lirik lebih matang yang berbeza daripada lagu ciptaan awalnya mengenai dunia remaja seperti Frenemy, Pergi dan Blah.

Menurut Qis, satu perkara yang beliau belajar daripada 2Kangkata adalah peranan judul lagu sebagai pemikat perhatian pendengar.

Kebiasaan menggunakan tajuk yang sama sahaja berulang kali harus dielakkan.

Apabila digunakan perkataan baru seperti 'Fatalis', pendengar akan terdorong mengetahui makna kekata itu sendiri.

"Bab judul lagu memang Uncle Sam cerewet. Beliau minta saya fikir selama beberapa hari.

"Dalam saya menghasilkan lagu tentang harapan seorang manusia yang berdoa akan ada perubahan pada dirinya, saya kira kalau saya gunakan judul Doa, ia terlalu asas.

"Maka saya buka kamus dan tinjau beberapa perkataan dan terjumpa perkataan 'fatalis'. Ia bermakna orang yang berserah kepada nasib.

"Lagu ini adalah peringatan kepada kita yang ingin berubah tetapi asyik kembali ke jalan yang salah. Kerap kali manusia salahkan nasib. Mereka tak nak berusaha untuk berubah. Itulah teras lagu Fatalis," jelasnya.

2Kangkata pula seronok memberi pandangan 'orang lamanya' pada penghasilan lagu Fatalis.

"Saya kagum dengan cara Qis bekerja sendiri. Dia bikin lagu, adun segalanya, tulis lirik dan nyanyikannya 'sendirian berhad'. Kemahirannya dalam dunia teknologi muzik itu memang sesuatu yang wajar dia manfaatkan sepenuhnya.

"Orang lama macam saya dan rakan saya, Mawar Berduri pun tak mampu bikin macam Qis. Apa yang boleh saya pesan kepadanya agar jangan takut-takut mengetengahkan bakatnya sebab dia miliki pakej suara dan penampilan.

"Lebih penting lagi, dia menghormati dan menghargai orang lain. Baik baginya teroka kandungan lagu di luar kebiasaan lagu kisah remaja. Fatalis ini adalah permulaan yang baik.

"Apabila kerja dengan Qis, saya teringatkan Mawar juga. Sebab mereka tahu bagaimana nak 'pose' depan kamera. 'Natural' dan lebih dari itu, menjadikan pengalaman merakam di studio sampai dinihari satu proses yang menghiburkan," kongsi 2Kangkata.

Ada beberapa projek kerjasama yang dirancang antara 2Kangkata, Sazery, Mawar Berduri dan Qis.

Qis menambah:

"Kalau kerja dengan Uncle Sam, ayah saya pun tak bimbang. Kalau saya pulang lewat, beliau tahu ada yang menjaga saya dengan baik dan boleh beri nasihat."


"Selama ini, saya selesa bikin muzik sendiri dan bekerja tanpa ikatan sebarang label. Saya bebas bereksperimen tetapi pada satu peringkat perjalanan seni saya, saya menyedari saya perlu beranikan diri dan rajin-rajin bertanya dengan mereka yang lebih tahu. Saya mengenali anak Uncle Sam (panggilan buat 2Kangkata) dan menerusinya, saya mengenali pula seorang tokoh hip hop yang memberi saya peluang meraih pengalaman baru, menambah ilmu penulisan lirik dan menikmati proses kerjasama yang membina lagi menyeronokkan. Beliau peringkat usia bapa saya tetapi memiliki jiwa yang memahami cita rasa anak muda dan memberi kebebasan bagi saya berkarya."
- Rapper muda Singapura, Qis Maraj.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3